Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Geylang International rancang bentuk akademi sendiri hujung 2025

Mereka sedang berusaha dapatkan lokasi padang sesuai untuk dijadikan pusat latihan tetap
Aug 28, 2025 | 6:27 PM
Geylang, Akademi, Noor Ali
Geylang International akan menubuhkan Akademi Bola Sepak Geylang International (GIFA) pada hujung 2025. - Foto fail

Pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), Geylang International, akan melakar sejarah baru dengan menubuhkan akademinya sendiri pada hujung 2025.

Dinamakan Akademi Bola Sepak Geylang International (GIFA), ia akan memberi tumpuan kepada seawal enam hingga 12 tahun, sekali gus memacu pasukan itu menjadi kelab terbaik dalam pembangunan bola sepak.

Namun, cabaran terbesar ketika ini ialah mendapatkan lokasi padang yang sesuai untuk dijadikan pusat latihan tetap akademi tersebut.

Demikian dikongsi Ketua Jurulatih Geylang International, Noor Ali, dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH).

“Untuk akademi, kami belum ada lokasi tetap namun, kami masih mencari tempat yang sesuai.

“Kami ada beberapa pilihan, tetapi kami mahu pastikan lokasi yang dipilih ialah yang paling tepat.

“Kami sedang berusaha sedaya upaya dan menjelang hujung tahun ini (2025), kami akan mempunyai akademi kami sendiri,” ujar beliau.

Noor Ali mengakui kekangan itu bukanlah mudah terutama sekali apabila Geylang merupakan pasukan yang mampu memberi tentangan hebat kepada Lion City Sailors (LCS) di peringkat belia.

“Mendapatkan lokasi dan padang yang sesuai merupakan perkara paling sukar bagi kami.

“Ia turut menyedihkan kerana kalau kita lihat pada sistem bola sepak belia di Singapura pada lima tahun kebelakangan ini, Geylang ialah pasukan yang paling hampir dengan LCS dengan kami sentiasa memberi tentangan yang hebat.

“LCS mempunyai kelebihan kemudahan, itu sesuatu yang kami tiada,” katanya.

Ketua Jurulatih Geylang International, Noor Ali, berkongsi mengenai Akademi Bola Sepak Geylang International dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Ketua Jurulatih Geylang International, Noor Ali, berkongsi mengenai Akademi Bola Sepak Geylang International dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini. - Foto fail

LCS sudah menjadi perintis dalam arena bola sepak belia Singapura dengan melaburkan $1 juta untuk Akademi Bola Sepak Lion City Sailors pada 2020.

Dana tersebut merangkumi pasukan kakitangan yang akan ditugaskan khusus untuk memenuhi keperluan para pemain akademi, termasuk pakar pemakanan, psikologi sukan, penganalisis video dan doktor sukan.

Kos latihan, insurans dan pakaian akan ditanggung sepenuhnya untuk semua pemain, manakala kem dan kejohanan di luar negara akan disubsidi sebanyak 50 peratus.

Para penerima biasiswa terpilih juga akan menerima insentif tambahan berupa elaun untuk pengangkutan, buku, komputer riba dan sekolah.

Ini di samping pusat latihan khusus yang terletak di Mattar Road.

Pusat itu menjadi tempat latihan bagi pasukan utama Sailors yang beraksi dalam SPL, pasukan bawah 21 tahun kelab tersebut, pemain akademi serta pasukan wanitanya.

Ia dilengkapi bilik fisioterapi, gimnasium, bilik analisis serta kemudahan pembelajaran untuk pemain akademi, di samping lima padang bola sepak – dua padang 11 sepasukan dan tiga padang tujuh sepasukan.

Pada 2024, Akademi Bola Sepak LCS diberikan penarafan dua bintang oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Penarafan dua bintang itu mengiktiraf sistem pembangunan akademi tersebut untuk pemain belia elit berumur tiga hingga 18 tahun.

Mengulas lanjut mengenai GIFA, Noor Ali berkata beliau sudah mengimpikan untuk menubuhkan akademi untuk Geylang sebelum ini kerana potensinya untuk menjadi kelab pembangunan yang terbaik.

“Kalau kita ada program yang teratur dan lengkap, saya percaya Geylang boleh jadi satu kelab pembangunan yang sangat baik.

“Saya ingin menubuhkan akademi yang bukan sahaja fokus pada keputusan untuk meraih kemenangan, tetapi akademi yang membentuk pemain,” katanya.

Noor Ali juga ingin menerapkan program belia yang konsisten, sesuatu yang beliau cedok ketika menjalani penempatan selama setahun dengan kelab Jepun, Matsumoto Yamaga FC, pada 2018.

Ketika itu, beliau melatih pasukan B, bawah 18 tahun kelab tersebut sehingga meraih kejuaraan dalam liga remaja.

Berkongsi pengalamannya di Jepun, Noor Ali menyifatkan program bola sepaknya sangat konsisten.

Walaupun tahap kejurulatihan di setiap peringkat umur berbeza, konsep keseluruhannya sama, menjadikan setiap pemain jelas dengan apa yang ingin dicapai.

Maka, apabila pemain tersebut mencapai 10 hingga 12 tahun – peringkat umur sebelum memasuki kategori kompetitif pada 13 dan 14 tahun – ia membantu pasukan jurulatih untuk membangunkan kemahiran individu pemain dengan lebih berkesan, katanya.

Hal itu sejajar dengan pemilihan peringkat umur bagi GIFA.

“Apabila pemain ini bermula di sini dari umur empat hingga 12 tahun, ia lebih mudah bagi mereka untuk beralih ke kategori bawah 13 tahun.

“Mereka juga lebih jelas mengenai laluan perkembangan mereka untuk menyertai sistem Pusat Kecemerlangan (COE),” kata Noor Ali.

Beliau berharap melalui GIFA, pemain semuda enam tahun dapat merasakan semangat kekitaan bersama kelab itu.

“Di usia sedemikian, saya ingin pemain ini berkata, “Eh, saya pemain Geylang,” dan bukan tunggu sehingga umur 13 atau 14 tahun untuk rasa demikian,” kongsinya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg