Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Norfasarie tidak puas hati anaknya Mika Bazil Baihakki tidak disertakan dalam skuad nasional

Aug 27, 2025 | 4:22 PM
Mika Bazil Baihakki seorang pemain belia kebangsaan bola sepak bawah umur 17 tahun (U17) tidak disertakan dalam skuad bagi pertandingan bagi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dan diberitahu tidak akan dipertimbangkan untuk kejohanan AFC U17 pada November akan datang. 
Mika Bazil Baihakki seorang pemain belia kebangsaan bola sepak bawah umur 17 tahun (U17) tidak disertakan dalam skuad bagi pertandingan bagi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dan diberitahu tidak akan dipertimbangkan untuk kejohanan AFC U17 pada November akan datang.  - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM/NORFASARIE

Adakah wajar bagi seorang pemain bola sepak remaja tidak disertakan dalam pasukan kebangsaan hanya kerana dia ingin menumpukan kepada peperiksaan yang bakal menjelang?

Itulah yang menjadi persoalan tatkala seorang pemain muda kebangsaan Bawah 17 tahun (U17) didakwa tidak disertakan bagi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Mika Bazil Baihakki yang merupakan anak sulung bekas pemain kebangsaan, Baihakki Khaizan dikatakan ingin membuat persiapan untuk peperiksaan GCE peringkat ‘N’ tidak lama lagi, dakwa ibunya.

Namun ibunya itu yang merupakan selebriti dan usahawan setempat Norfasarie Mohamed Yahya, berkata Mika yang berusia 15 tahun tidak disertakan dalam skuad kebangsaan dan diberitahu tidak akan dipertimbangkan untuk kejohanan AFC U17 pada November ini.

Dalam catatan Instagramnya pada lewat malam 26 Ogos, Norfasarie mendakwa:

“Anak saya, Mika Bazil, berterus terang dengan pihak pengurusan bahawa dia perlu kekal di Singapura semasa musim cuti pada September untuk menghadiri kelas tambahan dan membuat persiapan bagi peperiksaan GCE peringkat ‘N’ yang bermula pada 15 September, hanya sehari selepas pasukan pulang dari Bahrain.

“Namun, bukannya diberi sokongan, Mika sebaliknya dihukum. Dia digugurkan daripada skuad, diminta memulangkan kit, dan dimaklumkan bahawa dia tidak akan lagi dipertimbangkan untuk Kejohanan AFC U17 pada November nanti.

“Bukan kerana prestasi yang lemah. Bukan kerana masalah disiplin. Tetapi semata-mata kerana dia membuat pilihan yang bertanggungjawab untuk mengutamakan pelajarannya.”

Menurut Norfasarie lagi, Mika bukan seorang saja pemain yang terkesan dengan arahan ini.

Sekurang-kurangnya sembilan lagi pemain belia juga akan menduduki peperiksaan peringkat ‘N’, dan ada antara mereka yang ingin menetap di Singapura untuk ulangkaji, tetapi khuatir akan kesannya.

“Saya tidak akan melupakan hari ini – hari di mana kewajipan terhadap pendidikan dihukum, bukannya dihormati. Inilah sebabnya mengapa Singapura terus ketinggalan dalam bidang sukan!” kata Norfasarie yang merupakan ibu kepada anak empat itu lagi.

Berita Harian (BH) menghubungi pengurus Norfasarie dan Mika Bazil, Encik Dinie Rahman yang mengatakan keluarga itu tidak mahu dihubungi ketika ini.

“Kami ingin menjelaskan bahawa sehingga kini tiada sesiapa yang menghubungi kami secara langsung berkaitan isu ini,” kata Encik Dinie.

Menjawab pertanyaan Berita Harian, seorang jurucakap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata pada 27 Ogos pemain bola sepak serta keluarga mereka telah dimaklumkan “berbulan-bulan lebih awal” tentang keperluan serta komitmen bagi kelayakan U17 itu.

Bagi pemain yang kemudiannya berasa tidak mampu atau tidak mahu memberikan komitmen sepenuhnya, ia “telah dinyatakan dengan jelas” bahawa keputusan mereka akan dihormati tetapi mereka tidak akan dipertimbangkan untuk pemilihan bagi kelayakan Piala Asia U17.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg