Pemandu McLaren, Lando Norris, meletakkan lebih tekanan pada musuh terdekatnya, Max Verstappen dari Red Bull, dalam perebutan kejohanan pemandu, ketika beliau meraih kemenangan sulungnya di perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura Formula Satu (F1) pada 22 September.
Di Litar Jalanan Marina Bay, Norris, yang bermula dari petak pertama, mendominasi perlumbaan malam itu dari awal hingga akhir untuk muncul sebagai pemandu pertama melepasi garisan penamat selepas 62 pusingan.
Warga Britain berusia 24 tahun itu mencatat masa 1 jam 40 minit dan 52.571 saat, atau 1:40:52.571, untuk mengatasi Verstappen (+20.945), yang tidak mampu bersaing dengan kelajuan kereta McLaren sepanjang perlumbaan dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri (+41.823) melengkapkan tempat di podium sebagai pemandu ketiga terpantas untuk menghasilkan hujung minggu yang sempurna untuk McLaren.
Kemenangan Norris mencipta sejarah baru buat McLaren, yang kali terakhir menaiki tangga teratas podium di Singapura adalah pada 2009 hasil kejayaan Lewis Hamilton.
Norris kini telah memenangi tiga perlumbaan pada musim 2024, yang membawa pungutan matanya dalam kedudukan kejohanan pemandu kepada 279 mata – hanya kurang 52 mata daripada pendahulu, Verstappen.
Sementara itu, prestasi mantap daripada Norris dan Piastri membantu McLaren melanjutkan kedudukan mereka di hadapan dalam kejohanan pembina kereta.
McLaren memperolehi 516 mata selepas 18 perlumbaan, diikuti oleh Red Bull (475 mata) dan Ferrari (441 mata).
Ada baki enam perlumbaan dalam kalendar F1, dengan yang seterusnya di Amerika Syarikat dari 18 hingga 20 Oktober.
Edisi 2024 GP Singapura menyaksikan seramai 269,072 peminat menghadiri acara sepanjang tiga hari itu.
Keputusan GP Singapura F1 2024
1) Lando Norris (McLaren)
2) Max Verstappen (Red Bull)
3) Oscar Piastri (McLaren)
4) George Russell (Mercedes)
5) Charles Leclerc (Ferrari)
6) Lewis Hamilton (Mercedes)
7) Carlos Sainz (Ferrari)
8) Fernando Alonso (Aston Martin)
9) Nico Hulkenburg (Haas)
10) Sergio Perez (Red Bull)
11) Franco Colapinto (Williams)
12) Yuki Tsunoda (RB)
13) Esteban Ocon (Alpine)
14) Lance Stroll (Aston Martin)
15) Zhou Guanyu (Kick Sauber)
16) Valtteri Bottas (Kick Sauber)
17) Pierre Gasly (Alpine)
18) Daniel Ricciardo (RB)
19) Kevin Magnussen (Haas)
20) Alex Albon (Williams)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg