IMOLA (Italy): Pemandu pasukan McLaren, Lando Norris, berkata beliau teruja mengenai baki musim perlumbaan Formula Satu (F1) semasa, selepas memberi saingan kepada pemandu Red Bull, Max Verstappen, dalam Grand Prix Emilia Romagna di Imola, Italy, pada 19 Mei.
Dalam perlumbaan itu Norris hanya 0.7 saat di belakang Verstappen, yang menduduki tempat pertama.
Dua minggu lalu, Norris memenangi perlumbaan di Miami, Amerika Syarikat – kemenangan sulungnya.
Norris percaya kejayaannya menaiki podium Imola membuktikan bahawa beliau dan kereta McLaren yang dipandunya telah menempatkannya di kedudukan sebagai pencabar konsisten pada masa ini.
Pemandu asal Britain berusia 24 tahun itu berkata:
“Saya harap, ia berterusan begini kerana ia amat menyeronokkan, sukar, dan membuat anda berasa teruja akan setiap hujung minggu.
“Justeru, ia sesuatu yang saya nantikan dalam baki musim kali ini.”
Norris berkata tiada sebab untuk menafikan bahawa beliau dan McLaren berupaya mencabar Verstappen dalam kebanyakan litar lumba pada masa ini.
“Kami juga di kedudukan kedua semasa berlumba di China (sebelum Miami). Jadi kami menduduki tempat kedua, pertama, dan kedua. Ia satu petanda baik,” ujarnya.
Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri, pula berkata McLaren harus berasa yakin bahawa mereka mampu memberi persaingan di sembarang litar mereka berlumba,” katanya.
Sementara itu, Norris akur bahawa nasib keputusan perlumbaan ada kaitan dengan peringkat kelayakan.
Verstappen meraih 0.1 saat di hadapan semasa di selekoh pertama awal pada pusingan kelayakannya.
Beliau berjaya berada di hadapan Piastri dengan hanya 0.074 saat.
Piastri, pelumba asal Australia, pula hanya 0.017 saat lebih pantas daripada Norris.
Namun, Piastri terpaksa bermula di petak kelima gara-gara dikenakan penalti akibat kesilapan operasi oleh pasukannya.
Norris berkata: “Peringkat kelayakan menempatkan kami di hadapan sedikit.
“Jika tidak kerana masa yang pantas sedikit oleh Verstappen, kami mungkin berada di hadapan.
“Dan jika tidak kerana penalti yang dikenakan ke atas Oscar (Piastri), kami mungkin berupaya berada di dua tempat teratas.”
Namun, Norris akur bahawa Verstappen mempunyai kereta terbaik dalam perlumbaan itu, dan pemandu asal Belanda tersebut berupaya memanfaatkan kelebihan lapan saat di pit perhentian.
Meskipun begitu, Verstappen menghadapi cabaran dengan tayar yang keras dalam perlumbaan itu.
Dan setelah jurang perlumbaan lebih stabil selepas 20 pusingan, McLaren mengambil kesempatan daripada cabaran yang dihadapi Verstappen dan mula memberi saingan kepada Red Bull.
Norris berkata sekiranya ada tambahan satu atau dua pusingan lagi, beliau berupaya memintas Verstappen untuk memenangi perlumbaan itu.
“Buat pasukan kami, ia sesuatu yang positif,” kata Norris.
“Ia memberi kami keyakinan yang mencukupi. Kami sekarang di landasan yang cukup baik.
“Kami berupaya memberi saingan kepada pasukan Ferrari dan Red Bull.
“Di sinilah kami sepatutnya berada dan inilah yang perlu kami terus lakukan.
“Jadi, sekiranya kami tidak memberikan yang terbaik dalam perlumbaan itu, saya fikir kami pasti akan kecewa,” ujarnya.
Keputusan di Imola kena-mengena dengan penambahbaikan utama yang diberikan kepada kereta McLaren yang dipandu Norris.
Kereta McLaren yang dipandu Piastri juga telah mendapat penambahbaikan semasa di Imola.
Keputusan itu juga bak menandakan bahawa McLaren adalah pencabar utama Red Bull, meskipun kereta Ferrari yang dipandu Charles Leclerc, yang mendapat tempat ketiga di Imola, juga menjalani penambahbaikan.
Verstappen berkata: “Anda boleh lihat sekarang perlumbaan semakin sengit.
“Memang saya mempunyai kelebihan dari sudut tayar kami. Tapi saya menghadapi kesukaran juga di litar.
“Akhirnya, kedudukan kami tetap sama seperti semasa peringkat awal perlumbaan. Ia memang sengit sekali,” katanya.
Norris berkata McLaren masih perlu lebih maju sebelum dapat menewaskan Red Bull secara konsisten, tetapi masih berdaya beri saingan yang baik.
“Saya tidak fikir kami berada pada tahap terbaik mereka pada masa ini.
“Seperti yang anda lihat, mereka mempunyai beberapa bahagian yang lebih baik daripada kami, tetapi ada juga beberapa bahagian di mana kami lebih baik daripada mereka, dan kami akan terus memperbaikinya,” tambah Norris. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg