Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nottingham Forest ubah cara permainan untuk berjaya

Catat kemenangan 2-1 ke atas Tottenham, walaupun hanya dapat 30 peratus penguasaan bola
Apr 27, 2025 | 5:30 AM
EPL, liga perdana england, Nottingham forest, tangga keempat
Ramai penyokong bola sepak kagum dengan kejayaan Nottingham Forest musim ini, yang kini berada di tangga keempat Liga Perdana England (EPL). - Foto REUTERS

LONDON: Pengurus legenda, Brian Clough, merupakan seorang daripada hanya empat pengurus yang pernah memenangi Liga Perdana England (EPL, dahulu dikenali sebagai Divisyen Satu) dengan dua pasukan berbeza, iaitu Nottingham Forest dan Derby County.

Beliau juga terkenal dengan pandangan unik terhadap permainan bola sepak, dan pandangannya tentang gaya hantaran jauh tidak terkecuali.

Clough menggemari gaya bola sepak yang menggunakan hantaran pendek dan permainan berasaskan kawalan bola, namun beliau juga pasti teruja melihat pendekatan berani yang diambil oleh Nottingham Forest musim ini.

Pada 21 April, pasukan itu berjaya mencatat kemenangan 2-1 yang sangat mengagumkan ke atas Tottenham, walaupun hanya mendapat 30 peratus penguasaan bola.

Gaya bola sepak hantaran jauh merupakan corak utama permainan Forest sepanjang musim ini dan ini dapat dilihat apabila Forest berada di tangga terbawah dalam statistik purata penguasaan bola dalam EPL.

Namun pasukan yang musim lepas mendapati sukar untuk kekal dalam EPL itu kini berada di tangga keempat dan bersaing untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.

“Kami ada cara bermain yang jelas, dan kami telah temui identiti kami,” kata pengurus Forest, Nuno Espírito Santo, kepada pihak media.

“Kami menjaringkan gol menentang Tottenham, tapi mereka juga ada peluang pada separuh masa kedua. Kami perlu pertahankan kelebihan kami. Musim ini kami berjaya bersaing dengan baik dan bertarung untuk setiap hantaran bola,” tambahnya.

Sekiranya Forest berjaya menamatkan musim di tangga empat teratas dengan kadar penguasaan serendah itu, mereka akan menjadi pasukan pertama berjaya melakukannya.

Leicester City pernah mengejutkan dunia bola sepak dengan menjuarai EPL pada musim 2015-16 dengan penguasaan purata 42.4 peratus.

Hanya Everton pada musim 2004-05, dengan 48.5 peratus, pernah menamatkan musim di tangga empat teratas dengan kurang daripada 50 peratus penguasaan bola.

Setakat ini, Forest hanya mencatat purata 39.3 peratus penguasaan bola sepak setiap perlawanan.

Walaupun gaya ini bertentangan dengan kebanyakan pasukan lain dalam liga ini dan secara keseluruhan di England, Forest tetap dalam situasi di mana mereka boleh membawa penyokong menikmati pengembaraan bola sepak Eropah musim depan.

Kejayaan Forest membuktikan bahawa penguasaan bola bukanlah segala-galanya dalam bola sepak.

Malah, Southampton tersingkir daripada EPL walaupun mempunyai statistik penguasaan bola yang lebih baik berbanding dengan hampir separuh daripada pasukan EPL lain.

Namun ini tidak bermakna permainan Forest membosankan.

Sebaliknya, mereka sangat cekap menguasai bola di kawasan lawan dan pantas mengubah situasi itu kepada peluang menjaringkan gol melalui pemain yang lincah membawa bola seperti Anthony Elanga dan Callum Hudson-Odoi.

“Itu antara kekuatan utama mereka,” kata Santo. “Mereka ada bakat untuk bantu kami naik, menuju ke gawang lawan dengan lebih cepat,” tambah beliau.

Forest juga sangat tajam apabila peluang jatuh kepada mereka.

Menentang Tottenham, mereka hanya perlukan tiga percubaan tepat untuk menjaringkan dua gol.

Dan apabila mereka mendahului perlawanan, jarang sekali mereka melepaskan kelebihan tersebut.

Mereka telah menjaringkan gol pertama dalam perlawanan lebih banyak kali berbanding dengan mana-mana pasukan lain musim ini (24 kali), dan tidak pernah tewas apabila mendahului 2-0 sejak Oktober 2023.

“Bila kita di depan, keutamaan ialah bertahan dan menyekat permainan lawan. Kami bantu satu sama lain dalam setiap situasi – seimbangkan pasukan, tutup ruang, dan pastikan bola tidak membolosi gawang kami,” jelas Santo.

Forest juga cemerlang dari segi statistik pertahanan, menduduki antara tangga tertinggi dalam pelbagai aspek.

Forest hanya dibolos 39 kali dalam 33 perlawanan, dengan hanya Liverpool dan Arsenal memiliki rekod pertahanan lebih baik.

Penjaga gol mereka, Matz Sels, juga kini mendahului rebutan anugerah Sarung Tangan Emas EPL – anugerah yang diberikan kepada penjaga gawang yang berjaya mendapatkan jumlah terbanyak gawang tidak dibolosi – iaitu 13 perlawanan tanpa dibolosi setakat ini.

Beliau hampir berjaya mempertahankan gawangnya daripada dibolosi buat kali ke-14 sebelum jaringan lewat Richarlison, walaupun telah menghalang Tottenham daripada menjaringkan gol sebelum itu.

“Mungkin anda akan kritik pasukan lain kerana terlalu fokus mempertahankan gawang mereka, tapi Forest memang sengaja bermain seperti itu dan mereka percaya pada kemampuan sendiri,” kata Jamie Carragher, bekas pemain pertahanan Liverpool.

“Saya rasa kita tak patut terlalu memuji Tottenham hanya sebab mereka banyak mendapat bola dan membuat percubaan. Forest memang memberi ruang itu, dan mereka tahu apa yang mereka buat.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg