Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemanah para S’pura, Nur Syahidah Alim rangkul pingat perak
Gembira sasaran peribadi berjalan lancar walaupun tewas kepada pemanah nombor satu dunia, Sheetal Devi
Pemanah para S’pura, Nur Syahidah Alim rangkul pingat perak
Atlet memanah para negara, Nur Syahidah Alim terpaksa berpuas hati dengan pingat perak di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas tewas kepada pesaingnya dari India, Sheetal Devi, dalam final acara individu compound wanita pada 22 Oktober.
Namun, bagi pemanah berusia 41 tahun itu, pencapaian tersebut bukan sekadar tentang keputusan di pentas final.
Baginya ia mencerminkan kemajuannya dalam menangani tekanan dan menyesuaikan diri dengan keadaan yang tidak menentu.
Menurut Syahidah, keadaan angin yang bertiup kencang dan tidak menentu menambah cabaran buatnya ketika menentang Sheetal, juara bertahan acara itu dan pemanah nombor satu dunia dalam kategori compound wanita para.
Sheetal sebelum ini turut menyamai rekod dunia dengan mengumpulkan 704 mata daripada 720 dalam pusingan kelayakan di temasya tersebut.
“Hari ini sememangnya mencabar kerana angin sangat kuat dan bertiup tidak menentu. Tetapi walaupun dalam keadaan berangin, saya tetap cuba sedaya upaya untuk memberi tumpuan kepada proses memanah dan perkara yang boleh saya kawal ketika melepaskan anak panah,” kata Syahidah kepada Berita Harian (BH).
Beliau berkata demikian selepas final, sambil menyifatkan pingat perak itu sebagai sesuatu yang menggembirakan, terutama kerana beliau berjaya mencapai sasaran peribadi yang ditetapkan sebelum pertandingan.
“Saya sangat gembira dapat memenangi pingat untuk Singapura. Tetapi yang paling penting, saya juga gembira kerana prestasi saya pada hari pertama pertandingan berjalan dengan baik.
“Saya berbincang dengan pasukan dan jurulatih, dan kami dapat melihat bahawa strategi yang telah kami usahakan dan gunakan dalam pertandingan benar-benar membantu. Perasaan itu sangat baik,” katanya.
Syahidah terpaksa mengharungi tiga pusingan penyingkiran dalam sehari sebelum mara ke final.
Beliau menewaskan pemanah Kazakhstan, Zhanat Aitimova, 143-139 dalam pusingan 16 terakhir, sebelum mengatasi seorang lagi wakil Kazakhstan, Aizada Seidan, dengan keputusan sama dalam suku akhir.
Dalam separuh akhir, Syahidah kemudian menundukkan pemanah China, Xu Xueqing, 145-144, untuk memastikan sekurang-kurangnya pingat perak buat Singapura.
Namun, cabaran paling getir menantinya di final menentang Sheetal, yang sekali lagi menjadi penghalang kepada impiannya meraih emas dalam temasya benua itu.
Pertemuan mereka mengimbau final Sukan Para Asia Hangzhou 2023, apabila Sheetal menewaskan Syahidah 144-142 untuk meraih emas.
Sebulan kemudian, Syahidah membalas kekalahan itu dengan menewaskan pemanah India tersebut dalam final Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok.
Bagi Syahidah, persaingan berulang kali dengan Sheetal merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan, bukannya beban yang perlu ditakuti.
“Saya rasa memanah bersama Devi beberapa kali merupakan pengalaman yang mengujakan, dan saya yakin beliau juga merasakan perkara yang sama.
“Kami berdua pemanah yang saling bersaing dan tahu bahawa masing-masing akan membawa prestasi terbaik apabila bertanding. Saya rasa itu sesuatu yang hebat dan saya pasti menantikan lebih banyak pertemuan dengannya, serta pemanah lain,” katanya.
Di sebalik keputusan final itu, Syahidah turut melihat kemampuannya menangani situasi luar jangka sebagai satu perkembangan penting dalam perjalanannya sebagai atlet.
Sasarannya kini bukan semata-mata untuk memenangi lebih banyak pingat, tetapi menjadi pemanah yang mampu kekal tenang dan teguh walaupun berdepan tekanan atau keadaan yang berubah-ubah.
“Matlamat saya lebih bersifat dalaman. Saya mahu terus menjadi pemanah yang tidak mudah goyah dan mampu kekal selesa apabila berdepan situasi yang tidak dijangka.
“Itulah sesuatu yang sedang saya usahakan dengan rapat bersama jurulatih, pasukan dan ahli psikologi sukan,” katanya.