Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NZ minat jadi tuan rumah Piala Dunia lelaki bersama Australia

Aug 15, 2023 | 6:00 PM
SASAR LEBIH: Kejayaan Piala Dunia Wanita untuk tuan rumah bersama Australia dan New Zealand, seperti yang dilihat berdasarkan kehadiran penonton bagi perlawanan Australia-Denmark di Sydney, boleh menyaksikan kedua-dua negara membuat bidaan untuk kejohanan lelaki.
SASAR LEBIH: Kejayaan Piala Dunia Wanita untuk tuan rumah bersama Australia dan New Zealand, seperti yang dilihat berdasarkan kehadiran penonton bagi perlawanan Australia-Denmark di Sydney, boleh menyaksikan kedua-dua negara membuat bidaan untuk kejohanan lelaki. - Foto EPA-EFE

AUCKLAND: Persatuan Bola Sepak New Zealand “terpegun” dengan bagaimana Piala Dunia Wanita telah berlangsung dan berharap dapat bekerjasama dengan Australia sekali lagi untuk menganjurkan pertandingan serupa untuk lelaki pula, kata ketua pegawai eksekutifnya, Andrew Pragnell.

Piala Dunia Wanita yang pertama kali menampilkan 32 pasukan – dan kali pertama dihoskan oleh lebih satu negara – telah menjadi yang paling ramai dihadiri dalam sejarah kejohanan itu dan meraih rekod bilangan penonton untuk perlawanan bola sepak wanita di Australia dan New Zealand.

“Kededua kami jelas terpegun dengan bagaimana kejohanan ini telah berlangsung,” kata Pragnell kepada laman berita New Zealand, Stuff.

“Fifa (Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa) sangat teruja dan berasa gembira. Kami telah menunjukkan perkara yang selalu kami ketahui – bahawa kami akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita yang terbaik.

“Adalah semula jadi bahawa pada masa akan datang kami akan menganjurkan Piala Dunia lelaki.

“Ia berkemungkinan semacam perkongsian Asia-Pasifik, dan saya akan melihat Australia dan New Zealand sebagai asas untuk mencapai matlamat itu, pastinya,” kata beliau.

Ketua Persatuan Bola Sepak Australia, James Johnson, telah berulang kali berkata Australia mahu menganjurkan Piala Dunia lelaki tetapi akan memerlukan stadium yang memenuhi keperluan Fifa.

Badan pentadbir bola sepak dunia itu memerlukan negara tuan rumah mempunyai stadium dengan sekurang-kurangnya 40,000 tempat duduk penonton untuk perlawanan pusingan kumpulan, 60,000 untuk separuh akhir dan 80,000 untuk final.

Stadium Eden Park di Auckland, yang dapat menampung 50,000 penonton, adalah satu-satunya stadium New Zealand yang memenuhi kriteria minimum bagi pusingan kumpulan.

Pragnell berkata New Zealand akan bekerjasama dengan Fifa untuk berbincang mengenai isu stadium.

“Saya fikir tidak ada sesiapa mahu melihat senario di mana prasarana dibina tidak akan digunakan lagi,” kata beliau.

“Daripada pengalaman kami bersama Fifa dalam Piala Dunia ini, mereka bersedia untuk bekerjasama dengan anda dan bersikap fleksibel.”

Piala Dunia lelaki seterusnya pada 2026 akan dihoskan oleh Amerika Syarikat, Canada dan Mexico. – Reuters. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg