Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ogura pilih berlatih di S’pura bagi kebaikan skuad Singa

Akan menentang kelab tempatan, serantau pada Sep dan Okt, lawan pasukan nasional negara lain pada Nov dua minggu sebelum Piala AFF
Aug 28, 2024 | 8:55 PM
Ketua jurulatih pasukan lelaki Singapura, Tsutomu Ogura, berkata beliau lebih pilih skuad Singa kekal berlatih di Singapura daripada bermain perlawanan antarabangsa disebabkan jadual padat.
Ketua jurulatih pasukan lelaki Singapura, Tsutomu Ogura, berkata beliau lebih pilih skuad Singa kekal berlatih di Singapura daripada bermain perlawanan antarabangsa disebabkan jadual padat. - Foto ST

Dengan jadual padat dalam suku keempat 2024 disebabkan pertandingan kelab domestik dan serantau, pasukan Singa akan membuat persediaan “sebaik mungkin” sebelum beraksi dalam Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), kata ketua jurulatih nasional Tsutomu Ogura.

Singapura bakal berdepan kelab tempatan dan serantau dalam jendela antarabangsa Fifa pada September dan Oktober, dan akan hanya menentang pasukan nasional lain pada November, kurang dua minggu sebelum kejohanan AFF itu dari 8 Disember hingga 5 Januari.

Dalam satu taklimat mengenai rancangan pasukan nasional di bawah Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bagi baki 2024 di Stadium Jalan Besar pada 28 Ogos, Ogura berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira masa perjalanan dan keadaan pemain sedang mereka mengimbangi komitmen kelab dan negara.

Pada September, pemain nasional akan mengadakan perlawanan latihan menentang kelab Liga Perdana Singapura, BG Tampines Rovers, dan kelab Malaysia, Johor Darul Ta’zim, dalam tempoh latihan berpusat selama tujuh hari.

Sebulan kemudian, mereka akan ke Jepun untuk satu lagi latihan berpusat. Mereka bakal menentang beberapa pasukan liga teratas Jepun, Liga J1. Kem latihan ini berlangsung selama 10 hari.

Pada 11 hingga 19 November, skuad Singa akan kembali berkumpul untuk persiapan terakhir sebelum Piala AFF dengan dua perlawanan persahabatan berdepan Myanmar dan Chinese Taipei, masing-masing pada 15 dan 19 November di Stadium Negara.

Menjawab soalan wartawan mengapa Singapura tidak menganjurkan perlawanan dengan pasukan nasional lain pada September, seorang jurucakap FAS berkata ada usaha mendapatkan lawan yang boleh memenuhi matlamat Ogura bagi pasukan Singa namun ia tidak berhasil.

Jadual Piala AFF, yang asalnya ditetapkan pada 23 November hingga 21 Disember dan belum disahkan, menambah kepada ketidakpastian dan merumitkan persediaan, tambahnya.

Perubahan dibuat setelah tarikh awal Piala AFF bertembung dengan pertandingan kelab tertinggi Piala Konfederasi Asia (AFC), yang melibatkan pemain bintang lantas menimbulkan kebimbangan Piala AFF akan menampilkan pasukan nasional yang lemah.

Lion City Sailors dan BG Tampines Rovers adalah kelab tempatan yang terlibat dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 pada 26 hingga 28 November dan 3 hingga 5 Disember.

SPL juga akan berlangsung hingga 2 November sebelum berehat untuk memberi laluan persiapan Piala AFF.

Ogura berkata beliau mahu menyuntik pemain baru dan muda dalam skuadnya menjelang Piala AFF dan memerlukan tiga jendela antarabangsa, yang menampilkan lawan yang berbeza, bagi mencapai matlamat itu.

Beliau juga ingin memanfaatkan masa yang ada untuk menilai keupayaan pemain ini di padang.

“Sebelum kami membuat perancangan, tiada pengesahan tentang jadual AFF. Jadi, kami tidak tahu siapa pemain yang kami dapat pilih. Jika pemain dapat dipilih, saya juga perlukan masa menyesuaikan mereka kepada cara permainan pasukan nasional,” ujar Ogura, yang dilantik pada Februari.

“Sekiranya kami bermain perlawanan antarabangsa, ia bermakna dua perlawanan di luar negara. Kita kehilangan masa. Adalah lebih baik kekal di sini dan berlatih, dan mendapat lawan mantap untuk menentang kami,” tambah warga Jepun itu.

Pada 28 Ogos, Ogura mengumumkan skuadnya seramai 28 pemain untuk jendela antarabangsa September. Mereka terdiri daripada pemain kelab tempatan dan beberapa pemain berpangkalan luar negara di Malaysia dan Thailand.

Ogura juga bersikap berhati-hati mengenai keadaan pemainnya, yang mungkin letih dek jadual pertandingan sibuk dan perjalanan ulang-alik ke latihan dan perlawanan.

“Anda perlu berada pada tahap kecergasan baik untuk bermain perlawanan rasmi. Tetapi untuk perlawanan latihan pada September, kita tidak perlu memikirkannya. Ia seakan latihan normal.

“Pemain ini ada banyak perlawanan selepas September… Kami ingin bekerjasama dengan kelab mereka untuk menguruskan beban permainan,” katanya lagi.

Di sesi taklimat itu, ketua jurulatih pasukan nasional wanita, Karim Bencherifa, turut membentangkan kemajuan skuadnya dan sokongan yang akan disediakan kepada pemain negara.

Pengarah teknikal FAS, Michael Browne, berkongsi persiapan pasukan nasional lelaki Bawah 16 Tahun (U-16) dan U-19 bagi kelayakan Piala Asia AFC U-17 di Singapura pada Oktober dan Piala Asia AFC U-20 di Qatar pada September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg