Tahniah yang mencurah selepas seri 2-2 dengan China mencetuskan reaksi ringkas daripada Tsutomu Ogura pada penampilan sulungnya sebagai jurulatih pasukan bola sepak Singapura pada Mac 2024.
Beliau tidak mendabik dada tetapi menegaskan bahawa Singa tidak sepatutnya berpuas hati dengan keputusan seri.
Selepas meletakkan jawatan lebih awal sebagai jurulatih pasukan Singa sekitar 15 bulan kemudian, beliau melahirkan rasa bangga kerana terdapat perubahan mentaliti di bawah pengawasannya.
Cara kemenangan 2-1 di tempat lawan ke atas Bangladesh dalam perlawanan kelayakan Piala Asia pada 10 Jun – dengan pemain tidak berpuas hati walaupun telah mengatasi pihak lawan – adalah petanda bahawa Singa kini menuntut lebih daripada mereka.
“Saya sangat berbangga... kerana telah berlaku perubahan (dalam mentaliti),” kata jurulatih berusia 58 tahun itu ketika menyingkap tugasnya dengan pasukan Singa dalam temu bual perpisahan dengan The Straits Times.
“Walaupun dalam perlawanan kelayakan Piala Asia pertama kami menentang Hong Kong (yang berkesudahan seri 0-0 pada Mac) yang ranking lebih tinggi daripada kami, tiada siapa yang berpuas hati dengan keputusan seri.”
Warga Jepun itu, yang dilantik pada Februari 2024 dengan kontrak dua tahun, meletak jawatan atas sebab peribadi, kata Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 24 Jun.
Walaupun tempoh perkhidmatannya tamat selepas 509 hari, Ogura berasa gembira dengan persembahan pemain dalam perlawanan ke-16 dan terakhirnya itu.
“Ia adalah pada penghujung musim kelab yang panjang untuk begitu ramai pemain terutama dari Lion City Sailors. Mereka sangat letih dan dan dalam situasi ini sukar untuk mengawal emosi.
“Saya sangat berbangga dengan mereka, ia tidak sempurna, tetapi kami telah membina bersama suasana yang baik dan motivasi tinggi dalam pasukan sekarang,” tambah beliau.
Kapten Singa, Hariss Harun, yang bersetuju dengan penilaian itu, berkata Ogura menekankan perpaduan pasukan sejak awal dan sentiasa menuntut yang terbaik daripada pemainnya.
Ogura menyatakan bahawa beliau menyedari pada Januari bahawa masalah keluarganya memerlukan beliau pulang tanah air.
“Keutamaan saya sekarang adalah untuk bersama keluarga saya dan membantu mereka. Ini adalah keputusan yang sangat sukar untuk dibuat,” jelasnya.
Dalam 16 perlawanan mengendalikan Singa, rekod Ogura ialah lima kemenangan, tiga seri dan lapan kekalahan
Kemenangan di Bangladesh meletakkan Singapura di tangga teratas kumpulan kelayakan Piala Asia, mendahului Hongkong empat mata, Bangladesh dan India, masing-masing satu mata.
Hanya pemenang kumpulan akan mara ke Piala Asia pada 2027.
Ogura memilih untuk berundur pada Jun untuk memberi masa kepada FAS bersiap sedia menghadapi perlawanan menentang India pada Oktober.
Bekas penolong jurulatih pasukan kebangsaan Jepun itu berkata beliau tidak menyesal sepanjang berada di Singapura dan menyebut perlawanan separuh akhir Kejohanan Asean sebagai satu lagi detik yang membanggakan apabila Singa mencatat keputusan seri 0-0 menentang Malaysia.
Ia adalah kali kedua sejak memenangi kejuaraan 2012 Singa menempah tempat ke separuh akhir.
Beliau berharap peminat akan terus menyokong pasukan pada waktu susah mahupun senang kerana mereka adalah sumber motivasi yang kuat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg