Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ogura uji kekuatan semangat pemain skuad Singa

Atur perlawanan latihan berturut-turut demi persiap pasukan bagi Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF)
Sep 11, 2024 | 6:49 PM
Farhan Zulkifli (kanan) cuba melepaskan diri daripada halangan pemain Johor Darul Takzim, Nazmi Faiz, dalam perlawanan persahabatan di Hab Bola Sepak Kallang pada 7 September.
Farhan Zulkifli (kanan) cuba melepaskan diri daripada halangan pemain Johor Darul Takzim, Nazmi Faiz, dalam perlawanan persahabatan di Hab Bola Sepak Kallang pada 7 September. - Foto FAS

Kekuatan semangat pemain skuad bola sepak Singa nasional diuji oleh jurulatih, Tsutomu Ogura, semasa tempoh latihan pada September.

Sejajar dengan rancangannya menggunakan strategi di luar jangkaan untuk mempersiapkan pasukan Singa, jurulatih asal Jepun itu mengatur perlawanan latihan berturut-turut untuk menguji semangat mereka.

Ogura berbuat demikian untuk menangani perubahan jadual dan kekurangan lawan yang sepadan.

Pada 6 September, Lions menewaskan kelab teratas Liga Perdana Singapura, BG Tampines Rovers, 3-0.

Tetapi, sehari kemudian, mereka tewas dengan jumlah jaringan yang sama kepada juara 10 kali Liga Super Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT), yang membariskan skuad yang terdiri daripada lebih 20 pemain kelahiran asing, dalam perlawanan persahabatan tertutup di Hab Bola Sepak Kallang.

Ogura, menegaskan bahawa jumlah jaringan “tidak pernah penting” kerana beliau mahu pemain belajar bagaimana meneruskan perjuangan, walaupun mereka berasa letih.

Langkah itu diambil bagi mempersiapkan skuad Singa dalam menghadapi pertempuran sengit dalam Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), yang kini dikenali sebagai Piala Elektrik Mitsubishi.

Kejohanan itu akan berlangsung dari 8 Disember hingga 5 Januari, dengan Singapura perlu bermain empat perlawanan kumpulan dalam tempoh 10 hari.

“Jadual (perlawanan) memang kami reka untuk tingkatkan intensiti hari demi hari, dan perlawanan menentang JDT memang sengaja dijadualkan hanya sehari selepas perlawanan menentang Tampines.

“Ini bermakna kami bukan sahaja bermain menentang salah satu kelab terbaik di Asia, malah kami melakukannya ketika tidak berada dalam keadaan fizikal terbaik,” jelas Ogura, lapor The Straits Times.

Menurut beliau, “ini bukanlah hal biasa yang dilakukan oleh jurulatih, terutama perlawanan latihan berturut-turut”.

“Tetapi ini adalah skuad dengan beberapa pemain yang baru saya kenali, dan saya mahu mendorong mereka mencapai tahap tertinggi mereka.

“Saya mahu melihat sikap mereka dan bagaimana mereka berinteraksi antara satu sama lain,” tambahnya.

Kesemua 28 pemain Singa yang disenaraikan diberi peluang bermain.

Tetapi pemain pertahanan Cardiff City kelahiran Liverpool, Perry Ng, tidak diturunkan, manakala pemain tengah Tampines, Kyoga Nakamura, tampil untuk Stags.

Ogura, 58 tahun, pada mulanya mengetepikan beberapa pemain Tampines dan Lion City Sailors kerana tarikh asal Kejohanan AFF bertembung dengan penglibatan kelab dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC, manakala usaha mencari lawan antarabangsa yang sesuai untuk September terbukti sia-sia.

Ogura melahirkan rasa gembira melihat pemain berpengalamannya mengatasi tahap intensiti yang diperlukan ketika menentang lawan yang “tidak memberi mereka masa untuk bermain bola”, dan bagaimana pemain muda seperti bek sayap Nur Adam Abdullah dan Farhan Zulkifli mempamerkan persembahan baik seperti pemain senior mereka.

“Adalah baik melihat semua pemain mempertingkatkan permainan mereka mengikut arahan kami.

“Kami kini bermain mungkin kira-kira 45 hingga 60 minit bola sepak intensiti tinggi. Matlamatnya adalah untuk meningkatkannya kepada 90 hingga 95 minit dalam setiap perlawanan,” ujarnya.

Latihan dijangka diteruskan dalam dua lagi perlawanan antarabangsa, sebelum pasukan Singa beraksi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala AFF di tempat sendiri menentang Kemboja pada 11 Disember.

Pasukan Singa akan menentang tiga pasukan divisyen teratas Jepun pada Oktober sebelum perlawanan persahabatan menentang Myanmar dan Taiwan pada November.

Dengan menentang tiga kelab terbaik, Ogura berharap intensiti pemain dalam perlawanan akan meningkat, selain beliau mahu meneruskan latihan fizikal bagi meningkatkan aspek taktikal.

Walaupun Ogura “agak positif” berkaitan usaha mendapatkan pelepasan pemain, beliau enggan menetapkan sebarang sasaran.

“Saya tidak boleh menjanjikan anda kami pasti akan mara ke separuh akhir, kerana dalam bola sepak, keputusan sukar diramal.

“Jika anda melihat dua perlawanan kami menentang China (2-2 di tempat sendiri dan 1-4 di tempat lawan), saya rasa kami layak untuk mendapat hasil yang lebih baik dalam kedua-dua perlawanan, tetapi keputusan tidak sepadan dengan persembahan kami,” katanya lagi.

Menurut Ogura, matlamatnya sekarang adalah untuk mempunyai cukup pemain yang boleh mara ke pusingan akhir, dan “saya menjangkakan kesemua 23 dapat bermain pada tahap yang kami tetapkan dan memberikan persembahan yang mantap”.

“Matlamat saya adalah memastikan pasukan dapat bermain jenis permainan yang kami mahukan pada tahap yang tinggi secara konsisten.

“Jika mereka boleh melakukannya, keputusan dan kedudukan (yang diharapkan) akhirnya akan datang. Tetapi mereka mesti memberi tumpuan pada proses dan komited pada kerja,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg