Walaupun rasa jet lag atau keletihan setelah membuat perjalanan lebih 10,000 kilometer dari Wales ke Singapura, pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng, tetap teruja untuk mengambil satu langkah ke hadapan dalam mencapai impiannya menyarungi jersi skuad bola sepak Singapura.
Warga Britain berusia 28 tahun itu menyertai latihan pertamanya bersama pasukan Singa pada 2 September, membuka laluan untuk beliau mewakili Singapura.
Di bawah peraturan Fifa, Ng layak diturunkan untuk Singapura menerusi laluan ada kaitan dengan negara diwakili kerana arwah datuk sebelah bapanya lahir di sini sebelum bermastautin di Liverpool.
Walau bagaimanapun, peraturan kewarganegaraan Singapura menyatakan bahawa kelayakan untuk mendapatkan pasport mengikut keturunan hanya terpakai kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu bapa yang lahir di Singapura atau warganegara melalui pendaftaran.
Jika berjaya mendapat izin dan pasport untuk mewakili Singapura, Ng bakal menjadi atlet pertama yang ada ikatan dengan Singapura untuk berbuat sedemikian.
Bercakap kepada media sebelum latihan berpusat pasukan Singa di Hab Bola Sepak Kallang, pemain bek kanan setinggi 1.8 meter itu berkata: “Sejak datuk saya meninggal dunia kira-kira 12 tahun lalu, ia sentiasa menjadi impian saya untuk datang ke sini dan mewakili mendiang dan keluarga saya di sini dan membanggakan mereka semua.
“Keluarga saya di sini tidak pernah melihat saya bermain, jadi untuk dapat beraksi di Stadium Negara adalah impian yang saya harap menjadi nyata. Saya tidak sabar untuk ia berlaku dan ini hanyalah langkah permulaan saya,” kata Ng, yang gemar mengunjungi pusat penjaja untuk menikmati makanan tempatan selain melawat kuil di mana terletaknya abu datuknya ketika di sini.
Ng dan pemain BG Tampines Rovers, Kyoga Nakamura, yang berasal dari Jepun, adalah dua muka baru dan tambahan pada skuad seramai 28 pemain yang diumumkan ketua jurulatih Singa, Tsutomu Ogura, sebelum ini pada 28 Ogos.
Nakamura, 28 tahun, sudah menjadi penduduk tetap (PR) Singapura sejak Mac 2024.
Beliau mula bermain dalam Liga Perdana Singapura (SPL) pada 2019.
Pemain kelahiran Korea Selatan, Song Uiyoung, yang beraksi untuk Lion City Sailors, adalah pemain naturalisasi terakhir dalam pasukan nasional pada 2021.
Nakamura, yang baru menerima cahaya mata keduanya pada 1 September, berkata: “Apabila saya ke Singapura, ia merupakan kali pertama saya bermain di luar negara dan semua orang di sini sangat membantu... agar saya dapat menyesuaikan diri di sini. Saya memang gemar tinggal di Singapura.
“Saya ada cita-cita yang besar untuk menjadi nombor satu di Asia Tenggara… Saya ingin menyumbang di luar dan di dalam padang dengan berkongsi kemahiran bersama pemain muda,” kata pemain midfield itu.
Kededua mereka telah diundang untuk menjalani tempoh pengenalan bersama pasukan Singa yang kini sedang mengadakan kem latihan berpusat dari 2-8 September di Hab Bola Sepak Kallang sebagai persiapan menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.
Penyertaan dua pemain itu menandakan langkah positif dari Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk memperluaskan kumpulan pemain Singapura dan memilih bakat terbaik bagi mencapai kejayaan antarabangsa.
Presiden FAS, Bernard Tan, berkata undangan tersebut bertujuan untuk pemain dan badan pentadbir bola sepak negara ini mengenali satu sama lain, supaya FAS dapat memulakan proses bagi membantu mereka menjadi pemain naturalisasi untuk mewakili Singapura.
“Seperti negara lain, Singapura menganggap kewarganegaraannya sebagai sesuatu yang amat berharga, dan kami menghormati proses itu. Jadi, kami harus menjunjung tinggi nilai kewarganegaraan itu,” ujar beliau.
Walaupun proses untuk Nakamura menjadi pemain naturalisasi lebih ‘lurus’ kerana status PR-nya, ia bagaimanapun tidak begitu untuk Ng.
Tan berkata ada laluan untuk Ng menjadi warga Singapura, dan FAS akan mengemukakan permohonan untuk membantu beliau mendapatkan kewarganegaraan itu. Ditanya sama ada prosesnya akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat, Tan menambah: “Saya menyerahkannya pada proses itu.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg