Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, yakin dapat menurunkan kesebelasan terbaik apabila Singa menentang Vietnam dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 pada 26 Disember.
Menurut jurulatih asal Jepun itu, tiada pemain Singa yang mengalami kecederaan serius di akhir kempen pusingan awal kumpulan di mana anak didiknya mencatatkan kejutan untuk menduduki tangga kedua kumpulan.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) sebelum sesi latihan pasukan di Hab Bola Sepak Kallang pada 23 Disember.
Ia merupakan sesi latihan pertama sejak pasukan Singa pulang dari Kuala Lumpur pada 21 Disember, dengan pemain diberikan rehat selama sehari pada keesokan harinya.
Mengulas kondisi pemainnya, Ogura berkata mereka sedang beransur pulih dan ini peluang terbaik menentang Vietnam.
“Selepas pusingan pertama, tiada kecederaan serius.
“Setiap pemain beransur pulih dan bersedia. Ini adalah peluang yang sangat baik untuk bermain menentang mereka (Vietnam),” ujar beliau.
Pada perlawanan terakhir Kumpulan A pada 20 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil, Singapura seri 0-0 dengan Malaysia, sekali gus menempah tempat ke saingan separuh akhir bersama-sama Thailand selaku juara kumpulan.
Singa akan menentang Vietnam dalam dua perlawanan separuh akhir – 26 Disember di Stadium Jalan Besar dan 29 Disember di Stadium Viet Tri, di Phu Tho.
Sebelum perlawanan menentang Malaysia, kecergasan Shawal Anuar menjadi tanda tanya.
Penyerang itu dikeluarkan ketika menentang Thailand dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan, namun dimasukkan pada awal separuh masa kedua menentang Malaysia, menggantikan Abdul Rasaq Akeem.
Ogura berkongsi bahawa setakat ini, kecergasan Shawal sangat baik dan beliau berharap penyerang utamanya itu dapat bermain sepenuhnya di saingan separuh akhir.
“Shawal sangat kompetitif... tetapi saya tidak dapat mengatakan beliau mampu bermain sepanjang 90 minit,” jelas Ogura.
Ketika menentang Malaysia, beliau merehatkan beberapa pemain daripada kesebelasan utamanya, termasuk Kyoga Nakamura dan Glenn Kweh, sebelum mereka dimasukkan pada separuh masa kedua.
Menurut Ogura, beliau menurunkan pemain secara bergilir-gilir agar mereka dapat mengekalkan kecergasan sepanjang perlawanan.
“Ini adalah bola sepak moden, mustahil untuk kesebelasan pertama bermain selama 90 minit.
“Bola sepak kami memerlukan stamina kerana ia mempunyai intensiti tinggi,” terang beliau.
Menurutnya, lima penukaran pemain yang boleh dilakukan dalam satu perlawanan juga adalah kelebihan buat pasukan Singa.
“Jika anda tanya saya, apakah kesebelasan terbaik saya, saya tidak mampu untuk jawab.
“Bagi saya, setiap perlawanan berbeza – pasukan lawan, stadium, kondisi – maka kesebelasan utama akan sentiasa berubah,” katanya.
Mengulas langkah memberi waktu rehat kepada anak didiknya, jurulatih asal Jepun itu menjelaskan bahawa ia penting bagi pemain untuk menyegarkan diri bersama keluarga selepas pusingan pertama yang intensif.
Menyifatkan bola sepak Singapura sebagai keluarga kedua pemain, Ogura menambah:
“Sejak lebih kurang dua minggu lalu, mereka memerlukan sesuatu untuk menyegarkan diri bersama keluarga.
“Kini, kami akan berkumpul semula, sekali lagi sebagai keluarga bola sepak Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg