Pertubuhan seni bela diri campuran (MMA), One Championship, akan memindahkan pusat penerbitan sejagatnya dari Singapura ke Bangkok, umumnya dalam kenyataan media pada 30 Jun.
Langkah itu bertujuan menyatukan operasi penerbitan syarikat bagi menyokong peluasan kandungan di seluruh dunia.
Walaupun pusat penerbitan berpindah ke Thailand, ibu pejabat korporat sejagat One akan kekal di Singapura dan menjadi lokasi utama bagi kepimpinan kanan, perhubungan pelabur dan perancangan strategik.
“Thailand telah memainkan peranan penting dalam usaha penerbitan sejagat kami sejak dua tahun setengah lalu.
“Dengan peluasan operasi yang sedang dijalankan, langkah ini membolehkan kami menyatukan proses penerbitan serta mempertingkat penyelarasan, sambil terus menambah bilangan acara dan kandungan yang dihasilkan,” kata Ketua Eksekutif, One Championship, Chatri Sityodtong, dalam kenyataan tersebut.
Tiada perincian diberikan sama ada pemindahan itu akan menjejas kakitangan yang berpangkalan di Singapura.
Namun, syarikat itu menegaskan ia tetap komited kepada Singapura untuk jangka panjang.
One ditubuhkan pada 2011 dan menganjurkan acara pertamanya di Stadium Tertutup Singapura pada September 2024.
Kali terakhir ia mengadakan acara di Singapura ialah pada 30 September 2023 dan tiada pengumuman lanjut dibuat mengenai pertarungan berikutnya di Singapura.
Syarikat itu turut mengekalkan tempat berdaftarnya di Kepulauan Cayman, yang menurut kenyataan itu dilakukan beberapa tahun lalu sebagai sebahagian daripada perancangan modal dan struktur korporat jangka panjang mereka.
Pada Oktober 2024, One menamatkan khidmat sebahagian kakitangan termasuk dari pejabat Singapura.
Ketika itu, ia menjelaskan bahawa langkah tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan strategik menyeluruh untuk menjadikan syarikat itu lebih mampan dari segi kewangan.
Menurut laporan The Straits Times, dalam satu e-mel kepada kakitangan, Sityodtong menjelaskan bahawa pembuangan pekerja dilakukan kerana syarikat sudah hampir mencapai keuntungan melalui gabungan rekod pendapatan dan penjimatan kos.
Namun, beliau menegaskan bahawa keadaan ekonomi sejagat pada masa itu masih mencabar dan tidak menentu.
Bloomberg turut melaporkan syarikat induk One, Group One Holdings, telah memperoleh pelaburan sekurang-kurangnya AS$50 juta ($63.7 juta) daripada pelabur termasuk Qatar Investment Authority (QIA).
Menurut profil LinkedIn syarikat itu, One mempunyai antara 201 dengan 500 pekerja sejagat, dengan pejabat di bandar seperti Tokyo, Los Angeles, New York, London, Milan, Shanghai, Manila, Jakarta, Bengaluru dan Bangkok.
Bangkok kini menjadi lokasi kian penting kepada operasi One kerana acara mingguan Friday Fights di Stadium Tinju Lumpinee, yang disiarkan ke 195 negara.
Syarikat itu kini menganjurkan lebih 50 acara setahun di Lumpinee, dan kajian oleh firma Nielsen menganggarkan One menyumbang lebih AS$470 juta kepada ekonomi tahunan Thailand.
One menyatakan bahawa menjadikan Thailand sebagai pusat operasi penerbitan adalah “langkah seterusnya yang wajar dari segi operasi”, memandangkan skala dan ketekalan acara di sana.
One turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan dan daya pengeluaran dalam penghasilan kandungan merentas semua wadahnya di seluruh dunia.
Langkah itu turut membantu menjadikan operasi syarikat dari segi tenaga kerja dan kos lebih cekap.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg