Pertubuhan seni bela diri campuran (MMA) ONE Championship telah memberhentikan sebilangan pekerjanya termasuk pekerja dari ibu pejabat di Singapura pada 16 Oktober.
Menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST), seorang jurucakap berkata:
“Pada hari Rabu (16 Oktober), ONE Championship membuat keputusan sukar untuk memberhentikan beberapa dozen kakitangan sebagai sebahagian daripada rancangan strategik menyeluruh agar syarikat dapat meraih keuntungan dalam beberapa bulan akan datang.
“Keputusan ini tidak dibuat dengan mudah dan mencerminkan komitmen berterusan kami untuk menyelaraskan operasi dan menumpukan kepada kelestarian dan pertumbuhan jangka panjang.”
Menurut profil di LinkedIn, ONE mempunyai antara 201 dengan 500 kakitangan di peringkat sejagat.
Selain Singapura, ia juga mempunyai pejabat di Tokyo, Los Angeles, New York, London, Shanghai, Milan, Bangkok, Manila, Jakarta dan Bengaluru.
Pelabur institusinya termasuk Temasek Holdings.
Walaupun ONE tidak mendedahkan berapa ramai kakitangannya di pejabat Singapura yang diberhentikan, pihak terjejas yang enggan namanya disiarkan berkata bahawa lebih 20 rakan sekerjanya di jabatan penyiaran, e-sukan, kewangan, pemasaran dan perhubungan awam, telah diberhentikan kerja.
Beliau berkata: “Sudah lama ada khabar angin bahawa akan ada pemberhentian. Jadi saya rasa kita tidak begitu terkejut ia berlaku. Saya terkejut ia berlaku kepada saya.
“Terdapat juga khabar angin bahawa syarikat itu sedang pertimbangkan untuk memindahkan kebanyakan operasinya ke Filipina atau Thailand.
“Tiada apa lagi yang perlu diperkatakan selain ia adalah perjalanan yang hebat. Saya seronok dengan kerja saya. Saya seronok dapat bekerja dengan rakan sekerja saya yang baik.”
Beberapa sumber memberitahu ST bahawa satu mesyuarat maya telah diadakan dengan kakitangan di semua pejabat ONE pada pagi 16 Oktober dengan Ketua Pegawai Eksekutif ONE, Chatri Sityodtong, mengumumkan pemberhentian itu.
Beliau memberitahu kakitangannya bahawa jika mereka terjejas, mereka akan menerima panggilan daripada ketua jabatan masing-masing.
Chatri kemudian menghantar e-mel dalaman yang mengumumkan pemberhentian “beberapa dozen rakan sepasukan superstar” sebagai “sebahagian rancangan strategik keseluruhan untuk membawa ONE kepada keuntungan dalam beberapa bulan akan datang”.
Beliau menambah dalam e-mel yang dilihat oleh ST:
“Sila maklum bahawa ketua-ketua anda dan saya telah menimbang keputusan sukar ini dengan amat teliti dan empati yang tulus.”
Langkah tersebut, jelas Chatri dalam e-mel, dibuat walaupun syarikat itu “di ambang keuntungan melalui gabungan hasil rekod dan kecekapan kos” kerana “persekitaran makroekonomi sejagat luaran kekal mencabar dan tidak menentu” sementara “pasaran modal terus menuntut keuntungan segera dan keuntungan maksimum”.
Beliau menambah bahawa kakitangan terjejas akan menerima pampasan, dengan keahlian Evolve mereka – yang memberikan pengguna akses ke gim Evolve – dan insurans kesihatan korporat dilanjutkan sehingga akhir 2024.
Mereka yang ingin menggunakan opsyen saham mereka juga akan diberikan tarikh akhir lanjutan selama 24 bulan.
Berita mengenai pemberhentian itu datang dengan mengejut memandangkan pada Jun lalu, Chatri mengumumkan di media sosial bahawa ONE akan meraih keuntungan dan mencapai aliran tunai positif pada suku ketiga atau keempat 2024.
Pada 15 Oktober, Bloomberg, mengikut sumbernya, melaporkan bahawa Group One Holdings, syarikat di sebalik ONE Championship, telah mengumpul sekurang-kurangnya AS$50 juta ($65.5 juta) daripada pelabur termasuk Qatar Investment Authority.
ONE telah diasaskan pada 2011 dan menganjurkan acara pertamanya pada September tahun itu, di Stadium Tertutup Singapura.
Sejak itu, ia telah mengadakan hampir 300 acara langsung di 13 negara dan wilayah di seluruh Asia.
Di laman webnya, ONE menggambarkan dirinya sebagai platform media sukan global terbesar di Asia.
Selama bertahun-tahun, ia telah menjadi rumah bagi beberapa nama besar MMA seperti Demetrious Johnson dan Eddie Alvarez, serta menghasilkan bintangnya sendiri seperti adik-beradik Lee Angela dan Christian, yang telah bertanding di bawah bendera Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg