Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelari pecut remaja Shannon Tan buru rekod

Dapat tempat kelima pada acara peringkat akhir larian berganti 4x100m wanita di Kejohanan Olahraga Asia
Jun 12, 2025 | 10:53 PM
Shannon Tan, olahraga, Kejohanan Olahraga Asia
Shannon Tan merupakan sebahagian daripada kuartet 4x100m yang mencipta rekod di Kejohanan Olahraga Asia pada Mei. - Foto ST

Apabila menerima panggilan pertamanya untuk menyertai pasukan negara pada Mei, pelari pecut Shannon Tan menyangka beliau akan ke Kejohanan Olahraga Asia sebagai pelari simpanan. 

Namun, satu kejutan menantinya di pertandingan yang diadakan di Korea Selatan itu.

Pada malam sebelum acara peringkat akhir larian berganti 4x100m wanita, Tan diberitahu bahawa beliau akan berlari bersama Ratu Pecut Negara, Shanti Pereira, serta Elizabeth-Ann Tan dan Laavinia Jaiganth.

Tan, yang berusia 15 tahun, telah menyertai kumpulan yang mencatat masa 44.66 saat untuk mendapat tempat kelima dalam kalangan tujuh pasukan. 

Atlet negara, (dari kiri) Laavinia Jaiganth, Shannon Tan, Elizabeth-Ann Tan dan Shanti Pereira mencatat rekod baru pada 44.66 saat dalam acara lari berganti 4x100m wanita.
Atlet negara, (dari kiri) Laavinia Jaiganth, Shannon Tan, Elizabeth-Ann Tan dan Shanti Pereira mencatat rekod baru pada 44.66 saat dalam acara lari berganti 4x100m wanita. - Foto SINGAPORE ATHLETICS

Kuartet itu mencapai rekod kebangsaan pada 31 Mei di Stadium Gumi Civic, di Korea Selatan, mengatasi masa yang dicatat dahulu, iaitu 44.96 saat pada 2017 oleh Pereira, Wendy Enn, Dipna Lim-Prasad dan Nur Izlyn Zaini.

Ahli pasukannya itu mengalu-alukan kehadirannya dan melalui perbualan bersama mereka, Tan mempelajari lebih banyak tentang jatuh bangun dalam perjalanan seorang olahragawan.

Dia juga mempelajari kepentingan mengatasi kesukaran, terutama pada masa beliau berasa lemah semangat, dan cara berusaha untuk mencapai kemajuan.

Ia merupakan sesuatu yang sudah biasa baginya.

Dia memulakan perjalanan olahraganya di Darjah 3, apabila ibunya menggalakannya untuk memilih olahraga sebagai laluan bagi Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA).

Walaupun pada mulanya dia tidak begitu ghairah, Tan akhirnya menyertai acara pecut dan lompat jauh dan menumpukan perhatian kepada bidang tersebut.

Selepas memasuki Sekolah Menengah Perempuan Cedar melalui DSA, Tan memberi tumpuan kepada lompat jauh kerana dia berasa dirinya ‘lebih perlahan’ berbanding pelari lain.

Keraguannya terhadap masa depan sukannya semakin kuat selepas jeda dalam latihan akibat pandemik Covid-19 dan kecederaan pada buku lali kiri.

Walaupun beralih tumpuan kepada acara pecut selepas terseliuh buku lali, kecederaan hamstring yang menyingkirkannya selama lapan bulan pada 2023 menyebabkan dia berasa kecewa.

Di bawah bimbingan jurulatih, Margaret Oh, Tan semakin cemerlang, malahan berhasrat memecahkan rekod Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG).

“Pada masa itu, saya tidak yakin pada diri saya dan saya rasa cuma beliau (Oh) yang percaya kepada saya, jadi saya berasa terhutang budi kepadanya untuk memberikan segalanya dalam olahraga.

“Saya benar-benar mahu melakukannya dengan baik, kerana telah banyak yang beliau lakukan untuk melatih saya,” tambah Tan.

Oh yang menyifatkan Tan menarik perhatiannya dengan cara dia berlari, menambah:

“Sangat jarang untuk kita temui seorang atlet yang mempunyai semua ini – keinginan untuk menang, (serta) keupayaan untuk berlari dengan pantas.”

Walaupun dia tidak berjaya memecahkan rekod – masa terbaik peribadinya 12.27 saat dalam 100 meter akhir dalam kategori B (Wanita) hanya 0.02 saat di belakang rekod masa elektronik yang dicatatkan oleh Elizabeth-Ann Tan pada 2019 – kejohanan antara sekolah terbukti menjadi kejayaannya.

Persembahan Tan mendorong jurulatih negara bagi acara lari berganti-ganti, Hamkah Afik, untuk mendekati Oh tentang rancangan untuk menyertakan remaja itu dalam pasukan kebangsaan ke Korea Selatan.

Selepas menyemak data – yang termasuk masa pertukaran baton dan analisis perlumbaan individu – yang dikumpulkan oleh saintis sukan di Institut Sukan Prestasi Tinggi, keputusan telah dibuat untuk menyertakan Tan ke dalam acara peringkat akhir 4x100m wanita.

“Kami memberinya peluang itu dan dia benar-benar membuktikan kepada kami bahawa dia gigih berusaha,” kata Hamkah.

“Dia tidak mengecewakan kami.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg