Selepas bermain kira-kira 90 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak debutnya pada 2010 dan memainkan peranan penting dalam kejayaan Singapura menjuarai Piala AFF Suzuki 2012, Shahdan Sulaiman kini berdepan dengan cabaran besar – beliau masih tanpa kelab bagi musim 2025/26.
Sepanjang kerjaya bola sepaknya, beliau dikenali sebagai seorang pemain midfield yang berpengaruh dengan hantaran tepat serta ketenangan di padang.
Melalui Instagramnya pada 27 Julai, pemain berpengalaman itu menyatakan beliau masih percaya dirinya mampu menyumbang kepada bola sepak negara.
“Hari ini, saya berada dalam fasa yang berbeza – tanpa sebarang kontrak bagi musim akan datang. Saya telah berusaha, mencari, merendah diri memohon peluang. Tapi kadangkala apabila mereka berdiam, ia beri jawapan yang jelas,” tulisnya di media sosial.
“Pengalaman tak hilang dalam sehari. Minat tak padam sebab umur. Dan saya percaya, saya masih ada sesuatu yang berharga untuk ditawarkan.”
Apabila ditanya Berita Harian (BH), Shahdan berkata kenyataannya di Instagram bukan luahan kecewa, sebaliknya respon kepada persoalan ramai mengenai masa depannya sebagai pemain, serta untuk menunjukkan bahawa semangatnya masih belum pudar.
“Ramai tanya saya, ‘macam mana tahun depan?’ Jadi saya rasa perlu nyatakan sesuatu. Kalau tidak, saya akan ‘hilang’ begitu sahaja. Itu cara saya melihatnya. Sebab itu saya kongsikan,” kata pemain berusia 37 tahun itu.
Beliau turut mengakui pernah melihat situasi serupa berlaku sepanjang kerjaya bola sepaknya, tetapi tidak menjangka ia akan terjadi kepadanya seawal ini.
“Saya tak sangka ia datang secepat ini. Sebab musim lepas saya masih bermain. Kalau saya jarang bermain, mungkin saya lebih bersedia,” katanya.
Musim lalu, Shahdan merupakan antara tonggak utama Hougang United, tampil dalam 34 perlawanan dalam Liga Perdana Singapura (SPL) dan Piala Singapura.
Sebelum bersama Hougang United, beliau pernah beraksi untuk beberapa kelab utama dalam SPL termasuk Home United (kini dikenali sebagai Lion City Sailors), Tampines Rovers dan LionsXII.
Bersama LionsXII, beliau memenangi kejuaraan Liga Super Malaysia pada 2013 – satu pencapaian bersejarah bagi bola sepak Singapura di pentas luar negara.
Shahdan juga membantu Tampines Rovers memenangi Piala Singapura juga, menjadikannya antara pemain tempatan yang paling berjaya dari segi piala.
Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan Singapura yang berjaya ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric pada 2024.
Walaupun sudah memperoleh lesen kejurulatihan, Shahdan menjelaskan itu hanyalah sebahagian perancangan masa depannya.
Buat masa ini, keinginannya masih jelas – untuk terus bermain dan menyumbang kepada bola sepak Singapura.
“Ini bukan soal masa depan saya. Saya masih nak bermain. Lepas bola sepak, kita boleh cari jalan lain. Sekarang pun, ada orang yang berkecimpung dalam kejurulatihan. Tapi saya tak nak itu jadi fokus utama saya sekarang,” jelasnya.
Walaupun telah beraksi lebih daripada satu dekad dalam liga profesional, semangat Shahdan terhadap bola sepak tidak pernah luntur – malah beliau menyatakan bola sepak telah membentuk identitinya dan memberikannya hala tuju hidup sejak muda.
“Saya dah beri hampir seluruh hidup saya untuk bola sepak,” kata pemain berpengalaman itu.
Bukan mudah baginya melalui cabaran memburu kelab, tetapi beliau menerima bahawa cabaran tersebut adalah sebahagian kerjaya pemain bola sepak.
“InsyaAllah masih ada lagi peluang bagi saya di luar sana. Yang pasti saya masih mempunyai keinginan dan percaya bahawa saya masih berupaya untuk menyumbang dan bermain.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg