Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSG belasah Atalanta 4-0 dalam pembukaan Liga

Pasukan pimpinan Luis Enrique kukuhkan status juara bertahan
Sep 18, 2025 | 4:04 PM
bola sepak, Paris St Germain (PSG), Atalanta, Liga Juara-Juara Eropah
Paris St Germain (PSG) meneruskan rentak cemerlang di Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas Atalanta pada 17 September. - Foto REUTERS

PARIS: Paris St Germain (PSG) meneruskan rentak cemerlang selepas kejayaan mereka menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu (2024/25) apabila memulakan kempen baru dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Atalanta di Parc des Princes pada 17 September.

Marquinhos membuka jaringan seawal minit ketiga, sebelum PSG menambah gol menerusi Khvicha Kvaratskhelia, Nuno Mendes dan pemain gantian, Goncalo Ramos – sekali gus memperlihatkan corak permainan berasaskan tekanan tinggi dan kelancaran serangan yang menjadi kekuatan mereka.

Bradley Barcola gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum rehat, namun ia tidak memberikan kesan kerana skuad kendalian Luis Enrique itu tetap mengukuhkan status mereka selaku juara bertahan – selepas membelasah Inter Milan 5-0 dalam final musim lalu.

Juara Ligue 1 itu seterusnya akan menentang Barcelona di Camp Nou pada 1 Oktober, manakala Atalanta akan menerima kunjungan Club Brugge sehari sebelumnya.

“Terdapat tekanan hebat pada minit-minit awal tetapi kami mencipta banyak peluang, kami telah bersiap untuk perlawanan ini dengan baik dan berjaya menghasilkan persembahan cemerlang untuk mengatasi Atalanta.

“Ia adalah malam yang hebat, permulaan yang baik untuk saingan kali ini, dan kami gembira dengan kemenangan ini,” kata Enrique.

PSG bermula pantas apabila kapten mereka, Marquinhos, melakukan tekanan tinggi dan menyempurnakan gerakan yang dimulakannya untuk gol seawal minit ketiga.

Pemain Brazil itu memaksa pemain Atalanta, Daniel Maldini, untuk kehilangan bola, sebelum Fabian Ruiz membuat hantaran lintang rendah dari kiri yang disempurnakan Marquinhos.

Pemain pertahanan PSG, Marquinhos (tengah), meledak gol pertama untuk pasukannya mengatasi penjaga gawang Atalanta, Marco Carnesecchi (kiri).
Pemain pertahanan PSG, Marquinhos (tengah), meledak gol pertama untuk pasukannya mengatasi penjaga gawang Atalanta, Marco Carnesecchi (kiri). - Foto AFP

Juara Perancis itu kemudian meneruskan permainan agresif dengan tekanan tinggi serta kombinasi pantas – seperti yang mereka tonjolkan pada musim lalu.

Marquinhos menghantar bola lintang jauh kepada Nuno Mendes, yang mengawal dengan baik dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang sedikit tersasar.

Tidak lama selepas itu, Ruiz menerima hantaran jauh di sebelah kanan dan melakukan hantaran ‘backheel’ kepada Achraf Hakimi, yang rembatan pertama kalinya berjaya ditepis penjaga gawang, Marco Carnesecchi, ke tiang gol.

Atalanta berjaya menstabilkan permainan, tetapi sekali lagi dihukum apabila Kvaratskhelia melakukan larian menuju ke kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua PSG, enam minit sebelum rehat.

Penyerang PSG, Khvicha Kvaratskhelia, meraikan jaringan kedua pasukannya.
Penyerang PSG, Khvicha Kvaratskhelia, meraikan jaringan kedua pasukannya. - Foto AFP

PSG berpeluang menambah jaringan pada penghujung separuh masa pertama, tetapi sepakan penalti Barcola terlalu lemah dan mudah diselamatkan Carnesecchi.

Enam minit selepas babak kedua bermula, PSG menambah gol ketiga apabila Barcola melorongkan bola kepada Mendes di sebelah kiri.

Bek kiri itu memperdayakan lawannya dengan gerakan yang mengelirukan sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gawang di tiang dekat.

“Selepas 3-0, mereka seakan menyerah, ia terlalu sukar buat mereka.

“Jika saya tidak perlu buat banyak penyelamatan, itu bermakna semuanya berjalan lancar,” kata penjaga gawang PSG, Lucas Chevalier.

Bek kiri PSG, Nuno Mendes (jersi biru), melepaskan rembatan untuk jaringan ketiga pasukannya.
Bek kiri PSG, Nuno Mendes (jersi biru), melepaskan rembatan untuk jaringan ketiga pasukannya. - Foto AFP

Bagaimanapun, kebimbangan menyelubungi Enrique apabila Joao Neves terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Ini selepas beliau kehilangan Ousmane Dembele dan Desire Doue yang turut mengalami kecederaan ketika beraksi untuk Perancis di Kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Neves digantikan rakan senegara, Ramos, yang memastikan kemenangan bergaya PSG dengan gol keempat pada masa tambahan, hasil gerakan cantik selepas kesilapan pertahanan Atalanta. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg