Topik diikuti
Pergi ke BHkuOwen temui peminat bersama Fandi di Sentosa, kenang detik manis Piala Dunia
Owen temui peminat bersama Fandi di Sentosa, kenang detik manis Piala Dunia
Bekas penyerang England kongsi pengalaman, cabaran sebagai pemain elit bola sepak dunia
Owen temui peminat bersama Fandi di Sentosa, kenang detik manis Piala Dunia
Senyuman yang terukir selepas menjaringkan gol mungkin imej yang terpahat dalam ingatan jutaan peminat bola sepak, namun di sebalik detik gemilang itu tersembunyi tekanan yang hanya segelintir dapat bayangkan.
Bekas penyerang England dan pemenang Ballon d’Or 2001, Michael Owen, mengakui kehidupan sebagai pemain bola sepak elit bukanlah semudah yang disangka ramai, walaupun sering diraikan sebagai wira di dalam padang.
“Realitinya ia sukar. Ia bukan sentiasa kegembiraan seperti mana yang semua orang lihat apabila meraikan jaringan,” katanya ketika berkongsi pengalaman kerjayanya semasa acara Breakfast with the Legends anjuran Lenovo Singapore di Restoran The Bay, Resorts World Sentosa (RWS), pada 18 Julai.
“Anda selalu tidak tenteram, selalu mengejar perkara yang seterusnya. Dan perkara itu amat sukar dan sangat membebankan bagi saya.”
Walaupun berdepan tekanan, Owen berkata zaman mudanya dipenuhi keberanian dan antara detik teristimewa baginya adalah semasa Piala Dunia.
Mengenang jaringan solo sensasinya ketika membantu England menewaskan Argentina pada Piala Dunia 1998 di Perancis, Owen berkata beliau sendiri tidak menyangka gol itu akan terus dikenang sehingga hari ini.
“Waktu itu saya masih muda dan sangat berani. Saya tidak sangka, walaupun sudah beberapa tahun berlalu, ramai yang saya temui berkata bahawa mereka masih ingat gol jaringan saya itu ketika menentang Argentina,” kata Owen.
Gol tersebut, ketika Owen baru berusia 18 tahun, yang menyaksikan pemain itu ligat melepasi beberapa pemain pertahanan Argentina sebelum menewaskan penjaga gol Carlos Roa, sering disenaraikan antara jaringan terbaik dalam sejarah Piala Dunia.
Sesi sarapan eksklusif itu berlangsung memberi peluang kepada para peminat mendengar sendiri kisah di sebalik perjalanan kerjaya dua legenda bola sepak dalam suasana santai.
Turut berkongsi pentas ialah legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, yang baru diumumkan sebagai duta jenama Lenovo Singapore pada Jun lalu.
Berkata semasa acara itu, beliau ucapkan kata-kata semangat kepada para peminatnya.
“Percaya atau tidak, kami boleh ramal masa depan kamu, apa yang anda perlukan adalah usaha, disiplin dan pengorbanan untuk jadikan ramalan itu realiti,” katanya.
“Saya dahulu ramalkan bahawa saya akan menyarung jersi kebangsaan dan menjadi legenda untuk negara, dan kini saya berada di sini.”
Beliau juga berkongsi bersama Berita Harian (BH) bahawa antara perwatakan yang membezakan seorang legenda ialah disiplin dan usaha mereka.
“Walaupun saya sudah bersara daripada bermain bola sepak, saya masih lakukan latihan di rumah setiap hari, seperti mengayuh basikal untuk mengekalkan tahap kecergasan saya,” katanya.
Fandi, yang mencipta sejarah sebagai pemain Singapura pertama beraksi di Eropah bersama FC Groningen, turut ditemani anak-anaknya, Iman dan Iryan Fandi.
Selain mendengar perkongsian daripada kedua-dua legenda itu, para peminat turut berpeluang bergambar bersama Owen dan Fandi dalam acara yang menghimpunkan peminat bola sepak tempatan dan dari luar negara.
Bukan sekadar itu, peminat juga berpeluang melakukan aktiviti polo air bersama legenda-legenda bola sepak itu.
