LONDON: Dengan bakat yang ada, Cole Palmer memang layak beraksi di pentas tertinggi Liga Juara-Juara, dan tidak hairan beliau kembali menunjukkan prestasi cemerlang pada waktu yang tepat untuk membawa Chelsea semakin hampir ke kejohanan elit Eropah itu.
Aksi cemerlang Palmer pada awal musim yang pernah membuatkan Chelsea dilabel ‘kuda hitam’ dalam perebutan gelaran liga, tiba-tiba pudar apabila Palmer gagal menjaringkan gol dalam 18 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan – meninggalkan Chelsea dalam kedudukan sukar untuk menamatkan liga di lima tangga teratas.
Namun, ketika Chelsea dan ketua jurulatih Enzo Maresca amat memerlukan sentuhan cemerlangnya, Palmer muncul sebagai pemain penentu dalam kemenangan 3-1 ke atas juara Liga Perdana England (EPL) musim ini, Liverpool, di Stamford Bridge.
Liverpool kelihatan sedikit letih selepas kegembiraan menjuarai gelaran ke-20 mereka di hadapan penyokong Anfield pada 4 Mei, lapor BBC.
Namun, Chelsea perlu memanfaatkan keadaan itu, dan pemain muda berbakat mereka muncul sebagai pendorong utama.
Palmer, 22 tahun, terlibat dalam kesemua tiga gol, bermula dengan larian di tengah padang sebelum membuat hantaran kepada Pedro Neto yang seterusnya membantu Enzo Fernandez menjaring gol pembukaan seawal minit ketiga.
Kemudian, Palmer menghasilkan larian cemerlang untuk mengatasi Kostas Tsimikas pada minit ke-56, dengan hantaran rendahnya merobek pertahanan Liverpool sehingga kapten Virgil van Dijk tanpa sengaja tertendang bola ke arah rakan sepasukannya, Jarell Quansah, lantas menghasilkan gol sendiri.
Palmer gagal menamatkan kemarau golnya lebih awal apabila satu larian hebat ke dalam petak penalti berakhir dengan percubaan sepakan dari sudut sempit yang menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, namun terkena tiang gol.
Kemarau gol Palmer berakhir dengan sepakan penalti pada minit keenam masa tambahan, yang disempurnakan dengan penuh keyakinan untuk menamatkan tempoh 1,162 minit tanpa gol sejak seri 2-2 di padang sendiri menentang Bournemouth pada 14 Januari.
Ini adalah detik yang mengujakan bagi Palmer, lebih penting lagi ialah keupayaannya memberi kesan keseluruhan dalam perlawanan ini di mana pasukannya terdesak memburu kemenangan.
Pasukan bergelar The Blues itu kini hanya ketinggalan di belakang Newcastle United di tempat keempat berdasarkan jumlah jaringan – 62 berbanding 66 – dengan perbezaan kelebihan gol yang sama iaitu sebanyak 21 jaringan.
Keputusan ini adalah persediaan yang sempurna bagi lawatan mereka ke Tyneside menentang Newcastle pada 11 Mei, untuk perlawanan EPL seterusnya.
Ini adalah persembahan yang sempurna daripada Palmer, yang mencatatkan jumlah percubaan terbanyak (lima), mencipta peluang terbanyak (empat), membuat hantaran terbanyak yang berakhir di kawasan penalti (13), dan mencatatkan kawalan bola terbanyak dalam kotak penalti lawan (lapan) berbanding pemain Chelsea yang lain.
Nilai Palmer semakin terserlah, dan meskipun melalui tempoh sukar, beliau telah mencatatkan 37 gol dalam 67 perlawanan liga untuk Chelsea – meletakkannya dalam kedudukan ke-10 dalam senarai penjaring terbanyak kelab tersebut.
“Saya rasa biasa-biasa saja,” kata Palmer.
“Sudah tentu ia berlaku, saya melalui tiga bulan tanpa menjaringkan gol, tetapi ia memberikan lebih banyak semangat dan motivasi untuk saya lakukan lebih untuk diri saya dan pasukan,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg