ZURICH: Arsene Wenger tampil memberi reaksi terhadap kenyataan Jurgen Klopp yang menyifatkan Piala Dunia Kelab sebagai “idea paling teruk pernah dicipta”.
Klopp, yang merupakan bekas pengurus Liverpool, mengkritik kejohanan tersebut pada Jun, susulan keputusan memindahkan permulaan kejohanan tersebut pada musim panas selain diperluaskan penyertaannya kepada 32 pasukan.
Namun Wenger, bekas pengurus Arsenal, dan kini Ketua Pembangunan Bola Sepak Global Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), berkata bahawa kejohanan tersebut mendapat sokongan penuh daripada pasukan, pemain dan pengurus yang terlibat.
“Saya rasa Piala Dunia Kelab memang perlu ada. Jika anda tanya semua kelab yang menyertai kejohanan tersebut, saya yakin 100 peratus akan kata mereka mahu sertai lagi,” kata Wenger apabila ditanya mengenai pandangan Klopp.
“Dan persoalan paling penting adalah, adakah penyokong suka kejohanan tersebut ataupun tidak? Kami pada mulanya jangkakan jumlah penonton yang lebih rendah, tetapi jumlah sebenarnya jauh lebih tinggi.”
Fifa juga dalam perancangan untuk meraih pengajaran mengenai bagaimana untuk menangani cuaca panas dan menambah baik keadaan padang menjelang Piala Dunia pada 2026, dengan kebanyakan perlawanannya diadakan di Amerika Syarikat.
“Cuaca panas menjadi isu dalam beberapa perlawanan, tapi kami cuba tangani dengan adakan tempoh rehat untuk sejukkan badan, menyiram padang semasa waktu rehat dan secara keseluruhan, banyak perkara yang kami pelajari,” kata bekas pengurus berusia 75 tahun itu.
“Sudah tentu tahun depan (2026) lebih banyak stadium akan berbumbung dan masa siaran TV juga akan disesuaikan dengan waktu perlawanan yang kurang membebankan.”
Chelsea akan berdepan dengan Paris St-Germain dalam peringkat pertandingan akhir kejohanan tersebut di Stadium MetLife di Jersey pada 14 Julai. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg