Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanggilan semula ke skuad Singa ganjaran kerja keras Saifullah
Panggilan semula ke skuad Singa ganjaran kerja keras Saifullah
Panggilan semula ke skuad Singa ganjaran kerja keras Saifullah
Pemain tengah Singa, Saifullah Akbar, mengakui beliau terkejut apabila menerima panggilan semula ke skuad kebangsaan selepas kali terakhir mewakili Singapura sekitar empat tahun lalu.
Pemain berusia 26 tahun itu kembali disenaraikan dalam skuad kendalian Gavin Lee selepas menikmati musim yang lebih positif bersama Hougang United, termasuk menjaringkan tiga gol menjelang penghujung musim Liga Perdana Singapura (SPL).
Meskipun perjalanan untuk kembali ke skuad negara tidak mudah, Saifullah menyifatkan peluang tersebut sebagai ganjaran atas segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan sepanjang beberapa tahun lalu.
“Sejujurnya, saya agak terkejut juga kerana kali terakhir saya dipanggil ialah empat tahun lalu,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) semasa Hari Media di Hotel Parkroyal Beach Road pada 29 Mei.
“Saya baru sahaja mendapat lebih banyak masa bermain di Hougang dan sempat menjaringkan tiga gol sebelum musim berakhir. Jadi apabila mendapat panggilan ini, saya sangat gembira kerana semua kerja keras itu akhirnya berbaloi.”
Saifullah memulakan musim bersama BG Tampines Rovers, namun berdepan kesukaran untuk mendapatkan minit permainan secara konsisten dalam skuad yang dibarisi ramai pemain bermutu.
Kontrak jangka pendek selama enam bulan yang dimilikinya ketika itu turut menambah cabaran yang perlu dihadapinya.
“Tempoh itu agak sukar kerana saya tidak mendapat banyak peluang bermain,” kata pemain berusia 27 tahun itu.
“Saya masuk sebagai pemain gantian beberapa kali dan tidak banyak peluang untuk menunjukkan kemampuan saya. Tetapi saya faham kerana persaingan dalam skuad Tampines memang sengit.
“Alhamdulillah, selepas enam bulan saya berjaya berpindah ke Hougang, di mana saya mendapat lebih banyak masa bermain dan dapat menunjukkan apa yang saya mampu sumbangkan kepada pasukan.”
Pemindahan tersebut akhirnya membuka jalan kepada kemunculan semula beliau di pentas antarabangsa.
Saifullah kini sebahagian daripada skuad Singapura.
Namun, beliau terpaksa menantikan peluang untuk beraksi, apabila beliau merupakan pemain gantian yang tidak diturunkan dalam kemenangan 4-0 Singa ke atas Mongolia pada 31 Mei.
Mengulas mengenai perkara itu, Lee menegaskan bahawa setiap pemain perlu mengambil pendekatan langkah demi langkah sebelum dapat beraksi semula untuk Singapura.
“Selangkah demi selangkah. Perkara paling utama adalah anda perlu menyertai pasukan dan membuktikan kemampuan untuk merebut tempat dalam skuad,” katanya selepas kemenangan Singa menentang Mongolia.
“Saya melihat kumpulan pemain sedia ada ketika ini sangat konsisten dalam sesi latihan.”
Saifullah bersetuju dengan pendekatan jurulatihnya dan tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan ke atas dirinya.
Sebaliknya, beliau mahu menikmati peluang yang diberikan dan mengambil setiap hari sebagai satu proses pembelajaran.
“Bagi saya sekarang, saya hanya mahu menikmati detik ini,” katanya.
“Saya ambil satu hari pada satu masa. Dalam setiap sesi latihan, saya hanya cuba memberikan yang terbaik. Perkara yang saya tidak boleh kawal, saya serahkan kepada Allah.”
“Apa yang saya boleh kawal ialah usaha saya sendiri, sama ada di dalam atau di luar padang.”
Beliau turut bersetuju dengan pandangan Lee bahawa perlawanan menentang Mongolia dan China bukan sekadar aksi persahabatan biasa.
“Kedua-dua perlawanan ini sangat penting untuk kami sebagai satu pasukan,” katanya.
“Ia membantu kami melihat apa yang perlu diperbaiki dan bagaimana kami boleh menterjemahkan apa yang dilakukan dalam latihan ke dalam perlawanan sebenar.”
Beliau menantikan peluang seterusnya – perlawanan persahabatan menentang China pada 5 Jun di Stadium Jalan Besar – untuk membuktikan kemampuannya dalam skuad Singa.
“Jika saya diberi peluang bermain, saya akan cuba memberikan yang terbaik dan menunjukkan apa yang telah saya pelajari sepanjang kem latihan ini,” ujarnya.
