Pasangan adik-beradik ingin aksi bersama di Olimpik
MELBOURNE: Pasangan adik-beradik golf Olimpik Australia, Minjee Lee dan Min Woo Lee, mungkin tidak dapat bersua di Paris disebabkan jadual permainan mereka dan hanya boleh berharap dapat beraksi bersama pada temasya sukan akan datang.
Acara golf di Sukan Olimpik akan menampilkan acara lelaki dan wanita berasingan yang menggunakan format stroke play individu.
Ia telah dilaksanakan sejak sukan itu kembali ke temasya Olimpik di Rio pada 2016 selepas direhatkan lebih 100 tahun.
Acara wanita bermula pada 7 Ogos, tiga hari selepas acara lelaki berakhir, dan pemenang Major, Minjee, mungkin tidak berpeluang menonton adiknya, Min Woo, yang bakal membuat penampilan sulung di Olimpik.
Pegawai sukan golf sedang mempertimbangkan untuk menambah format berpasukan bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dengan menambah tempoh hari pertandingan kepada dua hari.
Adik-beradik Lee itu berkata terdapat persoalan yang perlu dijawab, termasuk bagaimana Olimpik boleh menggabungkan aspek berpasukan tanpa menambah tekanan kepada pemain golf.
“Terdapat banyak soalan di sekitarnya,” kata Min Woo kepada pemberita dalam panggilan bersama Minjee pada 3 Julai.
“Saya rasa ia akan menjadi menarik, walaupun (pertandingan berlangsung) hanya sehari.
“Saya pasti akan ada banyak pandangan daripada pemain dan anggota jawatankuasa dan ia akan menjadi istimewa jika kami dapat bermain bersama.”
Pasangan itu akan menjadi adik-beradik Australia pertama beraksi dalam golf Olimpik dan pasangan adik-beradik yang ke-16 dari negara itu bersaing dalam sukan dan temasya yang sama.
Minjee menyasarkan pingat pada percubaan ketiganya ini setelah gagal mencapai sebarang pingat pada temasya Olimpik sebelum ini.
Di Rio, beliau menamatkan saingan dengan kekurangan hanya dua pukulan dari podium dan terikat di tempat ke-29 di Sukan Tokyo.
Jumlah kemenangan profesional di antara pasangan adik-beradik itu amat berbeza dengan Minjee, 28 tahun, mempunyai 10 gelaran Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) manakala adiknya, 25 tahun, mempunyai empat kemenangan profesional.
Perbezaan ini tidak dijadikan sebagai saingan untuk ke Paris buat adik-beradik itu.
“Kami berdua saling memberi motivasi kepada satu sama lain,” kata Minjee.
“Jika seseorang memenangi kejohanan atau bermain dengan sangat baik, saya juga mahu melakukannya dengan sangat baik.
“Jadi saya rasa kita sama-sama mendorong satu sama lain untuk menjadi lebih baik.
“Saya tidak akan kata ia adalah persaingan. Saya hanya mengatakan ia meningkatkan semangat antara kami berdua,” jelas beliau. – Agensi berita.

