Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stadium Badminton S’pura yang dipertingkat dapat nama baru

Diberi nama Arena Badminton KFF (Yayasan Keluarga Karim) apabila dibuka pada Hari Kebangsaan
Jul 3, 2024 | 5:02 PM
Persatuan Badminton Singapura
(Dari kiri) Pengetua Yayasan Keluarga Karim (KFF), Cik Cindy Karim; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Badminton Singapura (SBA), Encik Alan Ow; Pengarah Urusan JK Technology, Encik Eugene Ang; dan Pengerusi SBA, Encik Lawrence Leow, melihat model kecil Arena Badminton KFF yang telah diubah suai. Menurut Encik Ow, ini bukan sahaja menandakan peningkatan fizikal, malah peningkatan semangat Singapura untuk menyokong pemain badminton setempat. - Foto ST

Arena badminton Singapura akan meraikan ‘kepulangannya’ ke kemudahan di Guillemard Road – tempat legenda seperti Wong Peng Soon mengukir kejayaan – pada 9 Ogos.

Sebelum ini dikenali sebagai Stadium Badminton Singapura, pusat latihan itu akan dinamakan semula sebagai Arena Badminton KFF (Yayasan Keluarga Karim) selepas pembukaannya pada Hari Kebangsaan.

Dengan kos sekitar $5 juta untuk membaik pulih kemudahan itu, hab komuniti tercanggih itu mempunyai 12 gelanggang badminton yang akan disediakan untuk tempahan awam dan korporat, kemudahan kecergasan dan kesihatan, serta beberapa pilihan makanan dan minuman.

Sembilan gelanggang akan ditempatkan di dewan yang dapat menampung 1,300 tempat duduk di 100 Guillemard Road itu yang akan mengekalkan nama Stadium Badminton Singapura, manakala tiga lagi gelanggang berhawa dingin premium dengan bilik korporat terletak di 102 Guillemard Road.

Gelanggang ini juga akan mempunyai lantai kayu mapel dan lampu antisilau untuk meningkatkan pengalaman bermain badminton di tempat tersebut.

SBA@Guillemard, anak syarikat swasta Persatuan Badminton Singapura (SBA), telah ditubuhkan untuk mengendalikan arena itu selepas ia mendapatkan kededua bangunan tersebut bagi tempoh 3+3+3 tahun daripada Penguasa Tanah Singapura pada September 2023.

Yayasan Keluarga Karim (KFF) merupakan penyumbang terbesar kemudahan itu. Ia melanjutkan sokongan berterusannya kepada SBA dengan komitmen $2.25 juta.

Pada 2023, yayasan itu menderma $600,000 untuk membiayai program pembangunan pemain yang berlatih di bawah SBA selama tiga tahun.

Selain itu, rakan kongsi sekian lama SBA, JK Technology, juga telah melengkapkan kemudahan itu dengan teknologi canggih bernilai sekitar $3 juta seperti kamera pan-tilt-zoom yang memantau kawasan bagi tujuan latihan.

“Kepulangan ini bukan sahaja menandakan pemulihan struktur fizikal, malah sebagai pengesahan semula semangat yang menyatukan kita demi sukan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SBA, Encik Alan Ow, dalam sidang media di Stadium Negara pada 2 Julai.

“Pusat ini berfungsi sebagai mangkin untuk menyebarkan cinta terhadap sukan ini dalam kalangan rakyat Singapura.

“Dengan melabur dalam prasarana badminton kami, kita bukan sahaja meningkatkan keunggulan sukan ini, bahkan turut memupuk semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan mereka yang berkongsi minat yang sama untuk badminton di Singapura,” tambah beliau.

Encik Ow juga berkongsi bahawa Arena Badminton KFF belum dapat memenuhi syarat tertentu untuk menjadi hos bagi acara Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia.

Namun, ia tetap boleh menjadi tuan rumah acara peringkat junior serta peringkat lebih rendah seperti Cabaran Antarabangsa dan Siri Antarabangsa.

Ia juga akan melengkapi pertandingan Badminton Terbuka KFF Singapura di Stadium Tertutup Singapura.

Pemain senior negara akan terus berlatih di Arena OCBC kerana sokongan sains sukan, psikologi, serta latihan meningkatkan kecergasan mudah diakses di Institut Sukan Singapura yang terletak di Hab Sukan Singapura.

Pemain remaja negara pula akan terus berlatih di Sekolah Sukan Singapura dan kededua pasukan boleh menggunakan Arena Badminton KFF jika tempat latihan utama mereka tidak dapat digunakan.

SBA juga akan terus mengembangkan daya usahanya bagi memupuk bakat tempatan dengan menempatkan Pusat Promosi Badmintonnya di Arena Badminton KFF.

Ini termasuk Program Shuttlers Muda yang bertujuan memperkenalkan 3,000 hingga 5,000 pemain muda setiap tahun kepada sukan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg