Barisan pemain Asean All Stars kini menghimpun satu kenangan sama yang tidak dapat dilupakan selepas mereka mengejutkan gergasi bola sepak dunia, Manchester United, 1-0 pada aksi Piala Cabaran Maybank pada 28 Mei.
Skuad yang menghimpunkan deretan pemain daripada Asean termasuk Australia itu merakam kemenangan hasil jaringan tunggal pemain Myanmar, Maung Maung Lwin, pada minit ke-71.
Pemain itu cemerlang menyambut hantaran Adrian Segecic sebelum menewaskan Tom Heaton untuk jaringan kemenangan buat skuad bimbingan Kim Sang Sik, lapor Berita Harian Malaysia.
Lwin yang beraksi di Liga Thailand bersama Lamphun Warriors mengakui gol menentang United itu menjadi antara jaringan yang paling tidak dapat dilupakan dalam kerjaya bola sepaknya.
“Mungkin ini bukan lagi satu mimpi. Ini sesuatu yang jarang berlaku. Tetapi ini bukan sahaja untuk pasukan kita tetapi untuk seluruh Asia.
“Sebab itulah saya begitu gembira malam ini (kelmarin),” kata Lwin.
Sementara itu, Kim Sang Sik melihat kemenangan itu mampu menjadi mesej bahawa bola sepak di Asia khususnya di Asean juga mampu mencetus impak di peringkat antarabangsa.
“United adalah pasukan global tetapi menerusi perlawanan ini, ia menunjukkan apa yang boleh pemain Asia mimpikan. Pemain seperti Lwin, mereka boleh beraksi untuk pasukan bertaraf antarabangsa.
“Kita perlu berhenti berfikir bahawa kita adalah kedua terbaik. Gol ini membuktikan apa yang boleh kita tunjukkan.
“Kita bukan sahaja meraikan jaringan ini tetapi kita menyambut apa yang bola sepak Asean boleh lakukan,” kata Sang Sik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg