Kemenangan pemain badminton wanita Singapura, Insyirah Khan, ke atas pemain Filipina, Mikaela Joy De Guzman, menyuntik semangat dalam pasukannya untuk menjadi yang pertama daripada Team Singapore untuk dijamin pingat pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Ini selepas mereka melayakkan diri ke separuh akhir acara beregu wanita menentang tuan rumah dan juara bertahan, Thailand, pada 7 Disember.
Dengan kedua-dua pasukan di separuh akhir – tidak kira siapa yang kalah dan menang – dijamin kedudukan podium, pasukan wanita Singapura akan pulang dari Bangkok dengan sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Di perlawanan suku akhir yang berlangsung di gimnasium di Universiti Thammasat, Pathum Thani, pasukan wanita negara meraih kemenangan bersih 3-0 ke atas Filipina.
Insyirah – yang menduduki ranking ke-146 dunia – meletakkan Singapura di hadapan dengan menewaskan pemain nombor 175 dunia, Guzman, 21-15, 21-18.
Berbeza di perlawanan kedua yang lebih sengit, Megan Lee, pemain Singapura yang berada di ranking ke-150, bangkit daripada kekalahan di set pembukaan untuk menewaskan pemain Filipina, Ysabel Amora, 19-21, 24-22, 21-16, dalam 81 minit.
Pemain nombor 190, Jaslyn Hooi, kemudian memberikan kemenangan selesa 3-0 kepada Singapura selepas mengatasi Christel Rei Fuentespina 21-10, 21-14.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas kemenangan itu, Insyirah berkata:
“Saya sangat gembira kerana dapat meraih mata pertama untuk Singapura dan berjuang bersama jurulatih, kakitangan, serta rakan sepasukan.
“Walaupun ketinggalan 15 -18 dalam set kedua, saya terus berpesan kepada diri sendiri untuk kekal tenang, percaya pada permainan sendiri, dan terus berusaha sehingga akhir.”
Akur dengan tugas mencabar menentang Thailand, beliau menambah:
“Matlamat saya mudah, iaitu untuk kekal fokus, memberikan usaha terbaik, dan tidak pernah berputus asa walau apa pun berlaku dalam perlawanan.”
Sementara itu, kejayaan yang sama turut dinikmati pasukan lelaki, yang memenangi 3-0 ke atas Laos pada petang 7 Disember.
Pasukan yang terdiri daripada Loh Kean Yew, Jason Teh, Joel Koh hanya memerlukan 81 minit untuk menumpaskan Laos, dan menempah tempat bagi pertembungan menentang Indonesia pada 7 Disember.
Pemain ranking kesepuluh dunia, Loh, hanya memerlukan 25 minit untuk memulakan rentak kemenangan Singapura, dengan menewaskan pemain ke-667 dunia, Souksavat Xayyalath, 21-8, 21-11.
Teh kemudian menambah jurang kelebihan Singapura dengan menewaskan Sokthavy Phonesack 21-12, 21-15, sebelum Koh menyempurnakan kemenangan.
Beliau mengatasi Phichith Vixunnalath 21-11, 21-7.
Di Sukan SEA 2023, pasukan wanita Thailand turut bertemu Singapura di separuh akhir, dan memenanginya 3-1.
Pasukan lelaki Indonesia pula menewaskan pasukan Singapura dengan keputusan yang sama.
Berbanding tiga pingat gangsa yang dimenangi dalam acara beregu lelaki, beregu wanita serta beregu lelaki pada edisi 2023 di Kemboja, Persatuan Badminton Singapura (SBA) kini menyasarkan empat pingat untuk temasya kali ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg