Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura hadapi misi hampir mustahil selepas kecundang 1-3 kepada Timor-Leste

Singa Muda perlu menang besar bila berentap dengan pasukan Thailand; jika tidak, berdepan dengan penyingkiran
Dec 6, 2025 | 11:12 PM
Pemain bawah 22 tahun Singapura tidak dapat menahan kekecewaan selepas tewas 1-3 di tangan Timor-Leste di perlawanan pembukaan Sukan SEA 2025 di Stadium Rajamangala, Thailand pada 6 Disember.
Pemain bawah 22 tahun Singapura tidak dapat menahan kekecewaan selepas tewas 1-3 di tangan Timor-Leste di perlawanan pembukaan Sukan SEA 2025 di Stadium Rajamangala, Thailand pada 6 Disember. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDi

Sejurus selepas wisel penamat antara Singapura dengan Timor-Leste dibunyikan, beberapa pemain bawah 22 tahun negara terduduk manakala ada pula yang menunduk dan menitiskan airmata penuh kehampaan.

Ini kerana mereka sedar, impian untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir buat pertama kali sejak 2013 kini semakin pudar.

Selepas tewas 1-3 di tangan Timor-Leste di perlawanan pembukaan Sukan SEA 2025 pada 6 Disember, mereka kini menghadapi kemungkinan tersingkir daripada temasya itu.

Anak buah Firdaus Kassim perlu menjaringkan jumlah gol yang besar ketika menentang Thailand di perlawanan terakhir Kumpulan A pada 11 Disember.

Ketika menentang Timor-Leste Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, Singapura mendahului pada minit kesebelas.

Kapten Singa Muda, Amir Syafiz, membuka akaun jaringan dengan menyempurnakan rembatan Khairin Nadim yang terkena tiang.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Timor-Leste mempertingkatkan serangan dan usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-19.

Bermula daripada sayap kanan, hantaran penyerang, Olagar Xavier, berjaya menemui Tristan Arrarte yang merembat bola terus ke penjaga gawang Aizil Yazid, yang berjaya menepisnya.

Namun, bola tiba di kaki Vabio Cannavaro untuk beliau meledak gol penyamaan.

Timor-Leste menambah jaringan kedua pada minit ke-43 menerusi satu lagi gerakan dari sebelah kanan.

Xavier bijak melepasi pertahanan Singa Muda sebelum melakukan hantaran kepada Correia Anizo yang mudah menjaringkan gol.

Selang tiga minit kemudian, kesilapan daripada Amir membawa padah apabila beliau dipintas Xavier, yang terus memecut melepasi pertahanan Singa Muda dan melakukan rembatan.

Ia berjaya ditepis Aizil, namun bola melantun tinggi melepasinya.

Xavier bertindak paling pantas untuk menyudahkannya ke gawang kosong.

Bersambung separuh masa kedua perlawanan, Singapura mendapat peluang untuk merapatkan jurang namun tendangan Kieran Teo – hasil hantaran sepakan percuma daripada Jonan Tan – terkena tiang.

Perlawanan berakhir tanpa sebarang jaringan di separuh masa kedua.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Firdaus berkata:

“Cara kami beraksi pada separuh masa pertama menunjukkan bahawa kami kurang fokus dan kurang tegas dalam membuat keputusan dengan sikap sambil lewa tidak sepatutnya berlaku.

“Namun, perkara positif terbesar bagi saya ialah pada separuh masa kedua, kami memberikan peluang kepada beberapa pemain muda untuk beraksi dan prestasi pasukan menjadi lebih baik dengan lebih kesungguhan dalam menguasai bola.”

Sementara itu, Amir mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan yang dilakukannya dan bertekad ingin menebus balik kesilapan dan kekecewaan ketika menentang Thailand.

“Jaringan mereka datang daripada kesilapan kami dan salah satunya, saya perlu bertanggungjawab atas kesilapan saya sendiri.

“Kami akan meneruskan latihan dan bekerja keras selepas pemulihan untuk perbaiki kesilapan yang telah kami lakukan dan fokus pada perlawanan seterusnya,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Keputusan itu bermakna Singapura kini menduduki tangga ketiga tanpa sebarang mata, manakala Thailand dan Timor-Leste masing-masing mendahului tempat pertama dan kedua.

Skuad muda negara kini perlu memenangi perlawanan terakhir dengan jumlah gol yang besar menentang tuan rumah Thailand pada 11 Disember untuk mempunyai peluang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg