Pasukan negara lain kikis kuasa China di kejohanan tenis meja Singapore Smash

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan negara lain kikis kuasa China di kejohanan tenis meja Singapore Smash

Mar 2, 2026 | 2:24 PM

Pasukan negara lain kikis kuasa China di kejohanan tenis meja Singapore Smash

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemain Jepun, Miwa Harimoto (kanan) dan Hina Hayata, semasa final beregu wanita Singapore Smash di Arena OCBC pada 28 Februari.
Pemain Jepun, Miwa Harimoto (kanan) dan Hina Hayata, semasa final beregu wanita Singapore Smash di Arena OCBC pada 28 Februari. - Foto ST

Buat kali pertama dalam 10 edisi Grand Smash, gergasi tenis meja China mendapati pasukan mereka berada di kedudukan berbeza pada 1 Mac, apabila pemain mereka memulakan hari terakhir di Singapore Smash Tenis Meja Dunia (WTT) sambil masih mencari gelaran pertama.

Tiga gelaran beregu dipertandingkan pada 27 dan 28 Februari, dengan pasukan Brazil, Jepun serta Perancis masing-masing meraih gelaran Grand Smash pertama mereka di kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1.55 juta ($1.96 juta) di Arena OCBC .

Sejak penganjurannya pada 2022, Grand Smash dikuasai oleh China, namun kini ancaman daripada pemain negara lain kelihatan lebih besar berbanding sebelum ini.

Pemain acara beregu campuran Brazil, Hugo Calderano dan Bruna Takahashi, mencipta sejarah apabila menjadi pemenang pertama dari Amerika Latin yang meraih gelaran Grand Smash pada 27 Februari, sekali gus menamatkan kuasa China.

Pada 28 Februari, pasangan Jepun, Miwa Harimoto dan Hina Hayata mencipta kejutan dalam beregu wanita apabila menewaskan pasangan Miyu Nagasaki (Jepun) dan Shin Yu-bin (Korea Selatan) dengan keputusan 3-0 (11-9, 11-8, 11-7) di depan hampir 6,000 penonton.

Harimoto, 17 tahun, turut mencatat rekod sebagai juara Grand Smash paling muda, mengatasi Lin Shidong dari China pada 2024, yang memenangi gelaran perseorangan lelaki dan beregu campuran di China Smash pada usia 19 tahun.

Manakala, pasangan adik beradik Perancis, Alexis dan Felix Lebrun – yang kini berada di tangga ketiga dunia – menewaskan pasangan China, Shidong dan Huang Youzheng, 3-0 (11-6, 11-6, 11-7) dalam final beregu lelaki. 

Pasangan China itu berada di tangga keenam dunia.

Selepas menuntut cek kemenangan bernilai AS$10,000 dan 2,000 mata, pasangan Perancis kelihatan bersedia untuk kembali menduduki tangga teratas ranking dunia.

Ini merupakan Grand Smash ketiga berturut-turut yang mana China gagal menjuarai gelaran beregu lelaki.

Pemain perseorangan lelaki nombor dua dunia, Calderano, memberitahu The Sunday Times:

“Prestasi permainan di seluruh dunia telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“China turut terjejas kerana Ma Long, Fan Zhendong dan Xu Xin tidak lagi bermain untuk mereka.

“Wang Chuqin benar-benar menunjukkan prestasi terhebatnya, tetapi pemain dari seluruh dunia juga beraksi pada prestasi lebih tinggi dan terdapat lebih ramai pemain yang berpotensi mencabar kedudukannya.”

Bagi Harimoto, yang mula bergandingan dengan Hayata pada Olimpik Paris 2024, kemenangan ini meningkatkan peluang mereka untuk mencabar China bagi pingat emas dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada Olimpik 2028.

“Dengan komunikasi lebih baik dan lebih banyak perlawanan, persefahaman dan kerjasama kami bertambah baik. Beliau pemain kidal dan saya pemain tangan kanan, ini yang menjadikan gabungan kami baik, dan saya berharap kami dapat lebih peluang bermain bersama serta berjaya pada masa hadapan,” kata Harimoto.

China telah menguasai semua 30 gelaran dalam enam Grand Smash pertama sejak kejohanan tenis meja utama ini mula dianjurkan pada 2022.

Namun, cengkaman mereka mula longgar sejak pemain Korea Selatan, An Jae-hyun dan Lim Jong-hoon, muncul sebagai juara beregu lelaki di AS Smash 2025, manakala pemain kelahiran China dari Macau, Zhu Yuling, turut merangkul gelaran perseorangan wanita di Las Vegas.

Dua lagi acara turut dimenangi pemain bukan China di Europe Smash 2025, di mana pemain Sweden, Truls Moregard, menjuarai gelaran perseorangan lelaki di bandar kelahirannya, Malmo, manakala pasangan Hong Kong, Wong Chun Ting dan Baldwin Chan, memenangi final beregu lelaki.

Perlu juga dinyatakan bahawa China, yang telah memenangi 37 daripada 42 pingat emas tenis meja Olimpik, tidak menampilkan pasangan paling hebat dan bekas juara mereka – Chuqin dan Shidong (beregu lelaki); Sun Yingsha dan Wang Manyu (beregu wanita); serta Chuqin dan Sun (beregu campuran) – di kejohanan Singapore Smash.

Namun, pencabar mereka tidak meragui bahawa pasukan China akan kembali menunjukkan taring mereka pada Olimpik dan Kejohanan Dunia akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg