Pasukan ‘Panama’ muncul juara kejohanan Piala Dunia Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central – kejohanan bola sepak 7 sepasukan berinspirasikan Piala Dunia 2026 – selepas menewaskan ‘Afrika Selatan’ menerusi penentuan tendangan penalti dalam perlawanan akhir yang berlangsung di ITE Kolej Central pada 29 Mei.

Apa yang pada awalnya sekadar pertemuan santai bersama rakan sekelas akhirnya bertukar menjadi kenangan manis buat Muhammad Adam Mohd Faisal apabila beliau menyempurnakan sepakan penalti kemenangan untuk menghadiahkan kejuaraan kepada pasukannya.

Bagi Adam dan rakan-rakannya, kejohanan itu membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar menjulang trofi.

“Ini tahun terakhir kami bersama sebagai rakan sekelas dan ini juga kali pertama kami dapat bermain dalam pertandingan seperti ini bersama-sama,” kata pelajar Tahun 3 jurusan Pengurusan Sukan berusia 19 tahun itu.

Mewakili ‘Panama’, pasukan tersebut sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi untuk muncul juara apabila mereka menyertai pertandingan itu sekadar untuk bergembira dan mengeratkan hubungan sebelum menamatkan pengajian.

Penjaga gol mereka, Rieyan Ayman Rudi, berkata kejohanan itu menjadi antara kenangan terakhir mereka bersama sebelum melangkah keluar daripada ITE.

“Ini semester terakhir kami bersama sebelum tamat pengajian, jadi kami sertai pertandingan ini untuk bergabung dan berseronok bersama-sama,” kata pelajar Tahun 3 Higher Nitec dalam Pengurusan Sukan itu.

“Kami langsung tidak sangka boleh menang sebab niat awal kami hanya mahu berseronok.”

Namun begitu, semangat tidak mudah berputus asa menjadi antara faktor utama kejayaan pasukan tersebut.

Rieyan berkata pasukan mereka sentiasa memberi semangat antara satu sama lain walaupun ketinggalan dalam perlawanan.

“Kalau kami sedang kalah 1-0, kami tetap cakap kepada diri sendiri bahawa kami masih boleh melakukannya,” katanya.

“Kami tidak boleh salahkan rakan sepasukan. Kami perlu terus beri semangat dan terus berjuang untuk mencari gol penyamaan.”

Antara detik paling mencabar buat mereka ialah ketika perlawanan pusingan 16 terbaik menentang ‘Republik Czech’, yang menyaksikan mereka melalui penentuan penalti pertama dalam kejohanan itu.

Walaupun gementar, mereka berjaya mengawal tekanan sebelum mara ke pusingan seterusnya.

Bagi Adam pula, pertandingan itu turut mengajarnya banyak perkara di luar padang bola sepak.

“Saya belajar supaya jangan mudah berputus asa kerana walaupun kami sedang kalah, masih ada peluang untuk bangkit,” katanya.

“Kalau seri pun masih ada peluang menerusi sepakan penalti. Pertandingan ini juga membantu kami menjadi lebih rapat sebagai rakan sekelas.”

Sementara itu, pasukan ‘Afrika Selatan’ yang muncul naib juara turut menerima pujian selepas berjaya mara ke final meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang kejohanan.

Mohamed Firas Irsyad Ali Amran, 17 tahun, berkata pasukannya belajar tentang tekanan dan semangat juang.

“Penjaga gol kami mengalami kecederaan semasa kejohanan dan saya terpaksa mengambil alih,” kata pelajar Tahun 1 Kejuruteraan Mekanikal itu.

“Walaupun kami kalah di final, saya tetap bangga kerana kami sendiri tidak sangka boleh mara sejauh ini.”