Pasukan boling Singapura berjaya merangkul pingat emas dalam acara pasukan perempuan pada Kejohanan Boling Tenpin Belia Asia 2023 di Bangkok.
Pasukan itu, yang terdiri daripada Arianne Tay, Ning Tay, Alyssa Koh dan Colleen Pee, menjatuhkan 4,876 pin dalam acara pasukan untuk mengatasi Korea Selatan (4,729) dan Malaysia (4,524) di edisi ke–21 kejohanan itu pada Isnin.
Arianne Tay, yang memenangi pingat perak dalam acara perseorangan, serta pingat gangsa dengan Colleen Pee dalam acara pasangan berkata:
“Saya rasa ia satu pencapaian sangat besar kerana saya datang ke pertandingan ini dengan matlamat utama untuk memenangi pingat emas dalam acara pasukan dengan rakan sepasukan.
“Jadi saya sangat gembira dan bersyukur kerana kami dapat mencapai matlamat yang kami tetapkan untuk diri kami sendiri.”
Beliau juga memenangi pingat gangsa keduanya setelah secara keseluruhan menjatuhkan 3,635 pin dalam semua acara. Hanya pemain boling Korea Selatan, Choi Yu–rin (3,798) dan Oh Hyun–ji (3,704) menjatuhkan lebih banyak pin secara keseluruhan.
Arianne Tay, Colleen Pee dan Ning Tay merupakan sebahagian daripada pasukan yang merangkul pingat emas pada Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun anjuran Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Sweden pada 2022.
Tetapi mereka merasakan persaingan adalah lebih sukar di Kejohanan Boling Tenpin Belia Asia di Bangkok. Namun, Arianne Tay memuji ketua jurulatih nasional, Helmi Chew, atas peranannya dalam kejayaan pasukan itu.
“Apabila kami tidak rasa yakin atau bersemangat rendah, jurulatih Helmi akan memberi kami kata perangsang untuk mendorong kami.
“Saya rasa kami sebagai pasukan benar-benar berjuang di pertandingan ini. Formatnya sangat berbeza berbanding Kejohanan Dunia IBF kerana pertandingan itu dibahagikan kepada dua hari,” kata Tay.
Di samping itu, Colleen Pee berkata pasukannya bersemangat untuk melakukan yang terbaik dalam acara pasukan setelah beliau dan Tay memenangi gangsa dalam acara pasangan.
“Memenangi gangsa dalam acara pasangan membantu mendorong dan meningkatkan semangat kami ketika bertanding dalam acara pasukan.”
Empat anggota pasukan itu telah layak untuk bertanding di peringkat final pada kejohanan Masters pada Selasa dan Rabu.
Menurut Tay, semangat pasukannya kekal tinggi dan beliau berikrar terus berjuang.
“Selepas memenangi pingat emas dalam acara pasukan ini, saya benar-benar berpuas hati. Kami berempat juga berjaya ke Masters jadi kami semua akan terus berjuang.
“Jika kami boleh memenangi satu atau dua lagi pingat buat Singapura, saya rasa kita semua akan cukup gembira,” katanya.
Bagi pasukan lelaki pula, Filipina menjuarai Kejohanan Boling Tenpin Belia Asia 2023, diikuti Korea Selatan di tempat kedua dan Thailand di tempat ketiga.
Pasukan lelaki Singapura menduduki tempat keempat, dengan pemain boling lelaki, Aiman Lim, layak ke Masters.