Pasukan sepak takraw Singapura telah berangkat ke India pada 18 Mac untuk pertandingan Piala Dunia Sepak Takraw di India yang akan berlangsung pada 20 hingga 25 Mac.
Bekas bintang sepak takraw tempatan, Salleh Nanang dan Nur Hisham Adam memegang peranan jurulatih membimbing anak didik mereka yang terdiri daripada kapten pasukan, Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal; Abdul Hammirruddin Noor, Akmal Musyarraf Rostam, Muhammad Khairilshamy Shamsudin; Zaihirrman Zaharudin dan Youri Adli Fathullah Ahmadi.
Singapura menyasarkan untuk sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dan meraih tempat ketiga di pertandingan yang akan diadakan di Stadium Tertutup Patliputra yang terletak di Bihar, India.
Sasaran itu ditetapkan berdasarkan peningkatan dan prestasi pasukannya di Piala Raja Thai 2024, di mana mereka memenangi tempat ketiga, hanya di belakang pasukan seperti India (di tempat kedua) dan Malaysia (juara).
Salleh dan Nur Hisham juga menekankan kepentingan mendapatkan pingat agar dapat melayakkan diri ke Sukan Sea yang akan berlangsung di Thailand pada akhir 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg