Standard persembahan pasukan sepak takraw nasional Singapura kini tidak jauh berbeza dengan gergasi dunia dan serantau Thailand dan Malaysia, berdasarkan prestasi mereka dalam kejuaraan Piala Raja Thai 2024.
Ini kerana pasukan nasional berjaya merebut tempat ketiga dalam pertandingan berprestij itu, yang berlangsung pada September 2024, selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang pasukan yang muncul juara iaitu Malaysia, dan India yang menduduki tempat kedua.
Demikian pandangan ketua jurulatih pasukan itu yang ditemui Berita Harian ketika anak didiknya membuat persiapan menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw di India yang akan berlangsung dari 20 hingga 25 Mac.
“Saya dapat lihat mereka bersaing dengan baik apabila berdepan dengan mereka (Malaysia dan India) dan perlawanannya sebenarnya agak sengit. Mungkin belum rezeki kita untuk menang perlawanan-perlawanan itu,” jelas Salleh semasa pasukan nasional menjalani latihan bagi menghadapi kejuaraan Piala Dunia tersebut.
“Saya dapati bahawa kami habiskan terlalu banyak tenaga memanaskan badan sebelum perlawanan menentang Malaysia, walaupun kami kalah, saya dapat lihat mereka cuba menyesuaikan perlawanan mereka untuk cuba mengejar Malaysia.”
Memberi laporannya mengenai persembahan pasukan nasional ketika menentang India, Salleh berkata perlawanan berlangsung sengit dengan kededuanya tidak membenarkan jurang mata diluaskan.
Melihat usia purata pasukannya yang masih muda, beliau melahirkan harapan anak didiknya dapat menunjukkan kemajuan dalam latihan dan dalam pertandingan selanjutnya.
Salleh, yang kembali menguruskan pasukan nasional sejak April 2024, turut melahirkan keyakinan pasukan nasional dapat memenuhi harapan itu dengan bantuan kapten pasukan Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal.
Beliau menghamburkan pujian kepada Danish, yang menurutnya dapat menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan sepasukannya.
“Dedikasi dan komitmennya terhadap perjuangan dan misi pasukan mengagumkan. Danish sudah menjadi kapten dalam tiga pertandingan sejauh ini, dan jikalau beliau kekalkan disiplin dan kerja baik beliau, beliau akan dipilih dan akan beraksi di tahap yang baik untuk Sukan SEA juga,” kata jurulatih berusia 63 tahun itu.
Mengulas pujian daripada pengurusnya, Danish, dengan rendah hati, berkata:
“Saya hanya cuba yang terbaik sahaja. Saya ingin melihat Singapura bangkit sebagai antara gergasi sepak takraw di dunia,” kata pemain berusia 24 tahun itu yang bermain sebagai tekong.
Sebagai kapten yang sebaya dengan rakan sepasukan, beliau berkongsi bahawa agak janggal untuk beri nasihat kepada rakan-rakannya.
Namun Danish mengingatkan dirinya bahawa beliau hanya menjalankan amanah sebagai kapten dan menyampai arahan daripada jurulatihnya.
Mengenai persiapan menghadapi kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw di India, Salleh mendedahkan bahawa beliau telah memilih skuad yang terbaik untuk pertandingan itu, bukan sekadar mutu sahaja, malah dari segi kedatangan mereka untuk latihan.
“Apabila saya dapat membawa pemain yang terbaik, saya mendapat jaminan bahawa mereka berdisiplin dan akan dapat bermain serta mencapai keputusan yang terbaik,” jelasnya.
Salleh juga berkongsi bahawa beliau dapat melihat peningkatan dalam prestasi pasukannya sejak beliau dilantik semula sebagai ketua jurulatih.
“Daripada perlawanan dulu, kita belajar, apa punca kita kalah. Sebagai jurulatih, saya akan kenal pasti apa kesilapannya dan melatih anak didik saya membetulkannya,” kata beliau.
“Kita beri tumpuan kepada memperbaiki kelemahan sambil mengasah kekuatan mereka.”
Dengan usia purata pemain sekitar 24 tahun, Salleh dengan bangga berkata bahawa mereka sudah cukup mempamerkan bakat mereka, dan beri jaminan bahawa masa depan takraw cerah dari segi “bakat muda yang kami ada”.
“Sebagai jurulatih, saya ingin melihat pemain saya memenangi pingat, seperti apa yang kami lalui dahulu (sebagai pemain)... apabila mereka menang, ia akan mendorong mereka untuk terus pertingkatkan prestasi mereka,” kata jurulatih itu.
“Kami ingin keputusan yang baik, jadi orang awam sedar bahawa walaupun pasukan kami muda, mereka semua mempunyai kelebihan tersendiri.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg