Walaupun tidak mencapai sasaran meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas pada Sukan SEA 2025, prestasi pasukan silat Singapura meletakkan mereka di landasan yang tepat untuk menyerlah pada edisi seterusnya di Malaysia pada 2027, kata ketua jurulatih, Rafili Ramli.
Pasukan itu meraih lima pingat sepanjang temasya ini setelah beraksi dalam 12 kategori – satu emas, dua perak dan dua gangsa – sambil menurunkan pasukan yang agak muda, dengan enam daripada 14 atlet membuat penampilan sulung di Sukan SEA.
Selain Nurin Insyirah Mohamed Aidil, yang memenangi pingat gangsa bagi acara tunggal Putri, lima atlet muda yang lain terlepas peluang untuk meraih pingat kali ini.
Bagaimanapun, Rafili memuji semangat juang anak didiknya dan menekankan bahawa Sukan SEA mendedahkan mereka kepada tahap persaingan yang lebih tinggi, sekaligus menunjukkan prestasi yang diperlukan untuk berjaya di tahap tersebut.
Beliau berkata kepada Berita Harian (BH): “Walaupun pesilat muda negara tidak menang, mereka dapat mempelajari banyak perkara… mereka pastinya mengharapkan pingat, tetapi kekalahan juga merupakan proses pembelajaran dan persiapan untuk mereka menang di pertandingan lain,” tambahnya.
Rafili mengakui anak didiknya antara yang terbaik di Singapura, namun, temasya Sukan SEA memperkenalkan mereka kepada intensiti dan variasi tentangan yang dibawa oleh jaguh-jaguh antarabangsa, seperti Indonesia dan Vietnam.
Rafili berkata: “Dari segi fizikal, kelajuan dan kelincahan atlet kita memang setaraf dengan lawan.
“Namun, yang membezakan seorang juara dengan peserta yang lain adalah ketahanan mental, iaitu kemampuan untuk menahan kesakitan dan mengawal tekanan.”
Dalam pertandingan yang menghimpunkan pesilat terbaik di dunia, setiap lawan yang ditemui pasti membawa cabaran besar dan itu juga mempengaruhi peluang untuk merangkul pingat, jelas Rafili.
Pesilat paling muda, Nur Aniqah Qistina Roslan, terpaksa bertemu dengan juara dunia, Safira Dwi Meilani dalam perlawanan pertamanya.
Juara dunia Singapura, seperti Muhammad Iqbal Abdul Rahman dan Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, juga tidak terkecuali daripada perlawanan sukar.
Salah satu kekecewaan yang tidak dijangka ialah penyingkiran Muhammad Iqbal seawal peringkat suku akhir bagi acara seni tunggal Putra, apabila tewas kepada seorang lagi juara dunia dari Indonesia, Syarief Hidayatullah Suhaimi.
Sementara itu, Rafili yakin pesilat muda kini lebih terbiasa dengan sorakan gemuruh daripada peminat lawan, serta bertindak dengan segera kepada cara perlawanan yang ganas atau strategik dengan lebih tenang.
“Pesilat baru tentunya akan rasa terperanjat dengan suasana sengit yang dipamerkan dan ia mampu menjejaskan fokus mereka ketika berlawan.
“Atlet kita perlu sedia menghadapi cabaran seperti itu, kerana memberi tumpuan sambil mengikuti nasihat jurulatih dalam situasi seperti itu memang mencabar.
“Ini merupakan platform penting untuk membina daya mental kuat untuk mengawal situasi seperti itu,” katanya.
Sementara itu, Rafili harap peserta silat yang memenangi pingat dalam Sukan SEA kali ini dapat mengekalkan prestasi mereka di kejohanan seterusnya.
Satu-satunya emas yang diraih oleh Dhani Andika Razali, mampu menjadi inspirasi kepada pesilat muda untuk terus berjuang, tambah Rafili.
Rafili turut memuji pemenang pingat yang lain seperti Dhani, Ferdous dan Abdul Raaziq Abdul Rashid, kerana mempamerkan kemahiran dan kebijaksanaan dalam pertandingan.
Beliau menambah ini adalah pertarungan mereka yang terbaik setakat ini.
Rafili turut menekankan bahawa pertarungan mereka sepatutnya dijadikan contoh kepada pesilat muda, kerana mereka telah menetapkan tahap perlawanan, kekuatan mental dan strategi yang diperlukan untuk cemerlang dalam pertandingan yang begitu sengit.
Buat masa ini, pasukan silat akan memberi tumpuan kepada persiapan bagi pertandingan yang akan datang iaitu Kejohanan Terbuka Belgium pada April 2026 dan Kejohanan Dunia 2026.
Mereka akan menjalani lebih banyak latihan yang memberi tumpuan kepada menyesuaikan diri dengan gaya pertarungan lawan berbeza, demi memperkukuhkan daya ketahanan mental atlet.
Dengan pengalaman di Sukan SEA, Rafili yakin anak didiknya lebih bersedia mengatasi cabaran dan untuk mempamerkan aksi yang lebih baik pada masa hadapan.
Pencapaian pasukan silat negara di Sukan SEA 2025:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg