Pasukan bola sepak Bawah 16 Tahun (U-16) perempuan Singapura menerima satu pengajaran yang bermakna di atas padang semasa penampilan sulung mereka dalam Piala Lion City (LCC) pada 8 Julai.
Penampilan pertama mereka menjadi pengalaman yang sukar apabila mereka tewas 9-0 kepada Korea Selatan di Stadium Jalan Besar, dengan lima gol dijaringkan pada separuh masa pertama.
Perlawanan yang tidak disiarkan secara langsung di Singapura itu menyaksikan Korea Selatan menguasai permainan sepenuhnya dari awal hingga akhir, lapor The Straits Times.
Kejayaan Korea Selatan menonjolkan jurang yang jelas antara pasukan tuan rumah dengan lawan. Korea Selatan kini menduduki tempat ketiga dalam Piala Asia Wanita Bawah 17 Tahun (U-17) 2024 serta layak ke Piala Dunia Wanita U-17 2024.
Buat pertama kali sejak diperkenalkan pada 1977, LCC menampilkan kejohanan untuk kategori perempuan, dan jurulatih pasukan U-16 perempuan Singapura, Yeong Sheau Shyan, tetap berpuas hati walaupun tewas dengan jurang besar itu.
Beliau menekankan manfaat membiarkan pasukannya “merasai perbezaan antara kami dengan mereka”.
Yeong, yang juga Ketua Bola Sepak Wanita bagi Lion City Sailors, berkata: “Kami tahu pasukan Korea Selatan hebat. Bermain menentang mereka memberi pengajaran berharga, terutama untuk pemain yang jarang bertemu lawan seperti itu.”
“Perlawanan ini memberi kami gambaran jelas, betapa keras kami harus berusaha.”
Korea Selatan jelas lebih unggul dari segi fizikal, yakin dalam hantaran, dan mempunyai keupayaan individu untuk menewaskan lawan dalam situasi satu lawan satu di seluruh padang.
Singapura pula gagal mencipta sebarang momentum dan lebih kerap menendang bola jauh ke kawasan kosong berbanding membina serangan yang tersusun.
Hanya beberapa aksi cemerlang daripada penjaga gol, Chantale Lamasan, pelajar Sekolah Sukan Singapura (SSS), yang berjaya menyelamatkan bola dari memasuki gawang.
Yeong tetap teruja dengan semangat para pemainnya apabila perlawanan tamat.
“Apabila kami kembali ke bilik persalinan, perasaan mereka tidak negatif. Mereka masih bersemangat. Mereka memikirkan perkara positif untuk perlawanan seterusnya,” kata Yeong.
Korea Selatan mendahului pada minit ke-11 melalui rembatan Jeon Ha-eun, diikuti gol Ko Jie-un pada minit ke-18.
Cho An menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-26, diikuti dengan gol Park Na-young pada minit ke-30 dan gol kedua Cho pada minit ke-38.
Cho melengkapkan hatrik pada minit ke-48. Kim Hee-jin, pemain gantian menambah dua gol pada minit ke-68 dan 74, manakala Son Seoh-yeon, yang juga pemain gantian, menjaringkan gol kesembilan pada masa tambahan.
Jurulatih Korea Selatan, Kim Eun-jung, yang berkecimpung dalam bola sepak wanita Korea sejak 2009 dan pernah melatih skuad U-17, U-20 serta skuad wanita senior, berkata keputusan itu tidak mengejutkan.
Beliau memuji prestasi pasukannya dan mentaliti pasukan Singapura.
Kim berkata: “Ini kemenangan besar, tetapi pemain Singapura terus berjuang hingga tamat perlawanan. Mentaliti sebegini adalah langkah positif untuk bola sepak wanita Singapura.”
Sementara itu, Yeong berharap prestasi yang lebih baik akan ditampilkan dalam dua perlawanan seterusnya, menentang Hong Kong pada 10 Julai dan Kemboja pada 12 Julai.
“
“Kami tahu pasukan Korea Selatan hebat. Bermain menentang mereka memberi pengajaran berharga, terutama untuk pemain yang jarang bertemu lawan seperti itu. Perlawanan ini memberi kami gambaran jelas tentang betapa keras kami harus berusaha... Apabila kami kembali ke bilik persalinan, perasaan mereka tidak negatif. Mereka masih bersemangat. Mereka memikirkan perkara positif untuk perlawanan seterusnya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg