Ini bukan kali pertama Saiesha Ranjan beraksi di peringkat serantau, namun Kejohanan Berpasukan Squash Remaja Asia memberikan cabaran berbeza buat remaja Singapura itu.
Elemen berpasukan dalam pertandingan tersebut memberikan tekanan tambahan kepada kapten berusia 17 tahun itu, yang mengetuai skuad muda Singapura – yang turut dianggotai Naisha Singh dan Jayna Lim, masing-masing berusia 14 tahun, serta Jacintha Han, 13 tahun.
Walaupun tanpa kehadiran beberapa pemain muda terbaik Singapura, Saiesha dan rakan sepasukannya bangkit dan melebihi jangkaan dengan meraih pingat gangsa bersama di Pusat Squash Hong Kong.
Pasukan yang berada di tempat kelima itu mara ke separuh akhir, namun tewas 0-3 kepada pasukan Malaysia yang berada di tempat kedua, pada 15 Februari, lapor The Straits Times.
Ini merupakan kali pertama Singapura meraih kemenangan di kedudukan tiga teratas dalam acara berpasukan wanita dalam pertandingan itu sejak 2017, apabila mereka mencatat pencapaian yang sama.
Saiesha, yang pernah bertanding dua kali dalam Kejohanan Individu Squash Remaja Asia, berasa tekanan tambahan sebagai pemain paling berpengalaman dalam pasukan.
Ini kerana dia menyedari bahawa prestasinya akan memberi kesan kepada pasukan.
Namun, hasil kerja keras mereka selama berbulan-bulan membuahkan hasil, tambahnya.
“Saya tidak pernah menyangka bahawa kami akan berada pada tahap yang sama dengan pemain hebat squash Asia kerana Singapura tidak selalu berada dalam kalangan terhebat, terutamanya bagi skuad wanita.
“Memandangkan kami antara pasukan termuda yang pernah dihantar ke kejohanan berpasukan Asia, ini benar-benar satu pencapaian luar biasa,” kata pelajar maktab rendah tahun kedua di Institusi Raffles itu.
Singapura kehilangan beberapa pemain utama, termasuk Ong Zhe Sim, Swetha Sivakumar, Gracia Chua dan Vicky Lai, yang tidak bersedia bertanding selepas tidak berlatih akibat peperiksaan sekolah pada penghujung 2024.
Seorang lagi pemain muda berbakat, Au Yeong Wai Lynn, juga tidak bertanding kerana menetap di luar negara.
Namun, Persatuan Squash Raket Singapura (SSRA) tetap menghantar Saiesha dan rakan sepasukannya, dengan keyakinan bahawa “mereka masih mempunyai potensi besar untuk menyerlah”, kata pengurus besarnya, Alex Wan.
“Tiga daripada pemain yang meraih gangsa kali ini masih layak bertanding dalam dua edisi seterusnya bagi kejohanan berpasukan squash remaja Asia.
“Bagi mereka untuk bermain di luar jangkaan pada usia muda sebegini adalah satu pencapaian luar biasa,” tambahnya.
Saiesha mengaitkan kejayaan meraih pingat dengan persiapan rapi pasukan, sambil menekankan bahawa mereka telah memberi tumpuan kepada peningkatan kecergasan.
Selain itu, mereka turut menjalani sesi latihan individu bersama jurulatih untuk memperhalusi teknik dan strategi permainan dalam beberapa bulan menjelang pertandingan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg