Sebulan selepas pasukan tchoukball lelaki dan wanita Singapura mengekalkan kejuaraan Asia Tenggara masing-masing, terdapat satu lagi pencapaian untuk diraikan masyarakat sukan tersebut.
Singapura meraih pingat perak dalam pertandingan wanita dalam Kejohanan Tchoukball Pantai Dunia di Indonesia pada 10 Ogos, menyamai pencapaian terbaik mereka sebelum ini pada edisi 2017.
Dalam cuaca panas terik di Pantai Seminyak, Bali, di mana air pasang surut yang tidak menentu menyebabkan pertandingan tersebut ditangguhkan beberapa kali, pasukan Singapura berjaya mara ke final.
Namun, ia tewas 36-39 kepada juara bertahan, Chinese Taipei.
Singapura tewas 28-51 kepada pasukan lawan yang sama pada perlawanan akhir 2017 di Kaohsiung, namun kali ini ia dapat mengecilkan jurang kepada tiga mata.
Edisi 2021 pertandingan tersebut dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19, lapor The Straits Times (ST).
Kapten pasukan Singapura, Tan Wan Ying, berkata: “Memang menyakitkan kerana kami hampir menang, tetapi kami tetap berasa bangga.
“Pingat perak ini adalah bukti perkembangan kami, dan kami akan terus berjuang sehingga berada di tangga teratas.”
Jurulatih nasional, Liao Jianxiong, melahirkan rasa bangga dengan persembahan pemainnya.
“Kami telah memberikan yang terbaik hari ini. Para pemain telah berjuang habis-habisan, dan walaupun kami tidak berjaya meraih pingat emas, saya bangga dengan ketabahan mereka dan cara mereka mewakili Singapura,” kata beliau.
Pasukan Singapura mendahului 12-11 dan 26-25, masing-masing selepas tempoh pertama dan kedua, sebelum pasukan Taiwan bangkit kembali pada tempoh terakhir.
Jurulatih Chinese Taipei, Liu Hsing-fu, yang menyifatkan perlawanan akhir itu sebagai sangat sengit.
“Singapura memberikan tentangan lebih hebat berbanding sebelum ini. Perkembangan mereka sepanjang tahun lalu amat mengagumkan, dan perlawanan hari ini boleh sahaja memihak kepada mana-mana pasukan.
“Kami berbangga dapat mempertahankan kejuaraan ini. Kami menghargai semangat juang dan semangat kesukanan yang mereka bawa ke gelanggang,” tambah beliau.
Pasukan Singapura telah memenangi kesemua perlawanan pusingan kelayakan, menewaskan Korea Selatan (72-23), Indonesia (68-12), India (54-20) dan Cameroon (58-40), sebelum mengalahkan Hong Kong 48-38 pada separuh akhir.
Presiden Persatuan Tchoukball Hong Kong, Paul Yeung, berkata: “Kami tahu pasukan Singapura menjadi semakin baik dengan begitu cepat, tetapi prestasi mereka dalam perlawanan ini sangat luar biasa.
“Mereka menunjukkan disiplin, perpaduan dan semangat juang, dan mereka layak mendapat tempat pada perlawanan akhir.
“Saya menjangka mereka akan memberikan tentangan sengit kepada Chinese Taipei dan mereka memang berbuat demikian. Pasukan ini mempunyai potensi besar.”
Bekas Presiden Persatuan Tchoukball Singapura, Delane Lim, pula berkata pingat perak itu adalah pencapaian membanggakan memandangkan para pemain terpaksa mengharungi cabaran cuaca panas, selain tekanan dalam mewakili negara.
“Memenangi setiap perlawanan dalam pusingan kelayakan, menewaskan Hong Kong dalam separuh akhir, dan memberi persaingan sengit kepada Chinese Taipei dengan keputusan 39-36 dalam perlawanan akhir bukanlah satu pencapaian yang mudah,” kata Lim, 40 tahun, yang dilantik sebagai Presiden Persekutuan Tchoukball Antarabangsa pada 6 Ogos.
“Pingat perak ini adalah hadiah kami untuk Singapura sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-60, dan mencerminkan ketabahan, semangat kesukanan dan perpaduan yang menjadi teras sukan kita,” katanya.
“
“Kami telah memberikan yang terbaik hari ini (10 Ogos). Para pemain telah berjuang habis-habisan, dan walaupun kami tidak berjaya meraih pingat emas, saya bangga dengan ketabahan mereka dan cara mereka mewakili Singapura.”“
“Pingat perak ini adalah hadiah kami untuk Singapura sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-60, dan mencerminkan ketabahan, semangat kesukanan dan perpaduan yang menjadi teras sukan kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg