Pasukan tchoukball lelaki dan wanita Singapura berkongsi kegembiraan setelah berjaya mempertahankan gelaran masing-masing di Kejohanan Tchoukball Asia Tenggara, yang berlangsung di Universiti Ramkhamhaeng di Bangkok pada 13 Julai.
Kededua pasukan menamatkan pusingan ‘round-robin’ (menyaingi setiap pasukan) tanpa kalah, di mana pasukan lelaki merangkul gelaran juara yang ketujuh sejak 2009. Pasukan wanita juga berjaya meraih gelaran juara bagi kali ketujuh sejak 2011.
Kejayaan menjadi lebih manis kerana kejohanan ini menampilkan lima pemain belia yang beralih bagi kemunculan sulung dalam pasukan dewasa, menurut The Straits Times.
Umi Lim dan Loic Lastennet, kededuanya 16 tahun, menyertai pasukan lelaki, manakala Ang Sze Yee, 17 tahun, Jenevieve Poh dan Elizabeth Tay, kededuanya 16 tahun, pula dalam pasukan wanita.
Kapten pasukan wanita, Liaw Liqing, 29 tahun, mengulas kemenangan mereka: “Kemenangan ini bukan semata-mata bagi mempertahankan gelaran, tetapi untuk membuka jalan ke hadapan.
“Saya bangga dengan rakan sepasukan muda kami yang berani tampil, bermain dengan sepenuh hati dan membuktikan bahawa mereka layak bermain di peringkat antarabangsa,” tambah Liaw.
Pasukan wanita telah menentang pasukan Thailand A, 36-21, pada 12 Julai sebelum mengatasi pasukan Filipina, 34-25 dan Laos, 42-17.
Mereka juga membelasah Malaysia, 44-13; Singapura B, 36-13 dan Thailand B, 48-6, untuk mempertahankan gelaran mereka pada 13 Julai.
Sementara itu, pasukan lelaki menang semua perlawanan, bermula dengan menentang pasukan Filipina, 40-33 sebelum menentang Thailand B, 51-19 dan Malaysia, 45-16 pada 12 Julai. Mereka menentang Thailand A, 53-28 dan Laos, 46-10 pada 13 Julai pula.
“Memakai jersi Singapura untuk kali pertama terasa seperti mimpi,” kata Umi daripada Sekolah Menengah Bendemeer.
“Saya gementar, tetapi pemain dewasa menyokong dan membimbing kami. Saya berjaya mempelajari banyak perkara dan ini hanya permulaan sahaja,” jelasnya lagi.
Presiden Persatuan Tchoukball Singapura, Delane Lim, pula berkata: “Kami bangga dengan keputusan ini, tetapi yang lebih penting adalah membina semangat dan kemahiran demi masa depan.
“Kami melihat pembaharuan secara am, daripada pemain paling muda hingga kepada peralihan kepimipinan di peringkat serantau.
“Kami akan terus mengukuhkan sistem kami, melabur dalam bakat kami yang ada dan meneroka kebolehan tchoukball Singapura,” jelasnya.
Pasukan wanita kini menantikan ketibaan Kejohanan Tchoukball Pantai Dunia di Bali, antara 5 dengan 10 Ogos.
Pemain lelaki pula, yang sebilangannya merupakan pelajar institusi pengajian tinggi, gigih bermain sambil bersiap sedia bagi menduduki peperiksaan masing-masing
Muhammad Raziq Rozali, 24 tahun, mengundurkan dirinya daripada pasukan nasional pada 2024 bagi memberi tumpuan kepada tahun terakhir pengajian bagi ijazah psikologi di Institut Pengurusan Singapura (SIM).
Beliau, bagaimanapun, dipelawa kembali ke dalam pasukan itu pada awal 2025 untuk menjadi kapten dan pembimbing pasukan semasa fasa peralihan yang penting.
“Mempertahankan gelaran Asia Tenggara tidak mudah. Justeru, setiap pasukan datang dalam keadaan bersiap sedia. Namun, yang menyerlah kepada saya ialah pemain muda kami yang berani menyahut cabaran.
“Sebagai kapten, saya menyaksikan pasukan yang bukan sahaja bermain untuk menang, tetapi bermain untuk satu sama lain. Itulah yang menjadikan kemenangan ini sangat bermakna,” kata Muhammad Raziq.
Pada Disember 2025, pasukan dewasa dan belia akan masuk gelanggang kembali dalam usaha menambah baik prestasi bagi Piala Nations di Geneva.
Acara ini merupakan batu loncatan penting sebelum ketibaan Kejohanan Tchoukball Dunia 2027, di mana Singapura sedang berusaha untuk mengambil teraju sebagai penganjur acara.
Kejohanan tersebut diadakan empat tahun sekali.
Kali terakhir ia diadakan ialah di Republik Czech pada 2023 dan disertai oleh 32 pasukan, di mana pasukan lelaki Chinese Taipei and pasukan wanita Switzerland menang.
Pasukan lelaki Singapura merebut tempat ketiga, manakala pasukan wanita mendapat tempat kelima.
Lim berkata: “Menganjur kejohanan dunia pada 2027 bukan sahaja menampilkan bakat Singapura, tetapi juga menyerlahkan kebolehan kita dalam memperkasa minat belia dan meraih sokongan masyarakat.
“Kami teruja dengan potensi kami kelak menyambut kedatangan pasukan dunia.”
Sementara itu, Lim, 40 tahun, telah meletakkan jawatannya sebagai Presiden Persekutuan Tchoukball Asia Tenggara, dengan tempatnya kini digantikan oleh Presiden Tchoukball Malaysia, Lee Fui Shin.
Bagaimanapun, Lim akan bertanding dalam pemilihan Presiden Persekutuan Tchoukball Antarabangsa pada Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg