Meskipun berdepan cuaca hujan pada pagi 14 Mei, Clara Chua, dari Maktab Rendah Nanyang (NYJC) tetap menunjukkan prestasi cemerlang apabila beliau merangkul kemenangan dalam acara larian perseorangan perempuan Divisyen A sempena kejohanan merentas desa Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) yang berlangsung di OCBC Square.
Kemenangan itu melengkapkan kejuaraan ketiganya berturut-turut di NSG, selepas memenangi acara perlumbaan sama pada 2024 dan 2023 – di mana ketika itu beliau mewakili Sekolah Menengah St Margaret.
“Saya amat gembira kerana berjaya mencapai sasaran untuk menjadi juara sebanyak tiga kali,” kata Clara, 18 tahun.
Dia menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13 minit 51.595 saat, meninggalkan pesaingnya – Anisah Omar Alkhatib dari Maktab Rendah Victoria (VJC) – di tempat kedua dengan jarak masa 36 saat, lapor The Straits Times (ST).
Kemenangan itu sekali gus mengubat kekecewaannya apabila beliau terpaksa menunggu sehari untuk bertanding.
Pusingan akhir acara itu pada asalnya dijadual berlangsung pada 13 Mei, namun terpaksa ditunda keesokan harinya akibat cuaca buruk.
Malah, pada awal pagi 14 Mei, hujan renyai menyebabkan semua perlumbaan ditangguhkan selama setengah jam dan hampir menjejas suasana kejohanan tersebut. Mujur hujan semakin reda.
Pelajar lelaki Divisyen A dan B menamatkan larian sejauh 4.6 kilometer, manakala pelajar lelaki Divisyen C dan pelajar perempuan dari ketiga-tiga divisyen berlari sejauh 3.6 kilometer.
Larian bermula di kawasan rumput di Tanjong Rhu Promenade, dengan laluan melalui Jambatan Tanjong Rhu sebelum berakhir di OCBC Square.
“Rumput di situ agak licin. Saya terjatuh dua kali, tapi tidak begitu serius,” kata Clara.
Beliau berjaya mengatasi cabaran itu dan menamatkan perjalanannya di NSG dengan merangkul keseluruhan tiga pingat emas.
“Saya hanya beri tumpuan untuk berlari mengikut kelajuan sendiri.
“Saya beritahu diri sendiri bahawa saya sudah berlatih untuk (acara) ini dan saya tahu tahap kecergasan saya akan menunjukkan sejauh mana kemampuan saya,” tambahnya.
Sementara itu, Tabitha Ng, 16 tahun, dari Sekolah Menengah Cedar Girl, pula muncul juara dalam acara larian individu perempuan Divisyen B, meskipun menghadapi beberapa cabaran.
“Bahagian yang paling saya hadapi kesukaran ialah selekoh di jambatan itu kerana ia sangat tajam,” kata remaja itu.
Jambatan tersebut juga menandakan laluan terakhir di mana dia mula memecut ke arah garisan penamat, dan seterusnya meraih tempat pertama dengan catatan masa 13:54.113, tiga saat lebih pantas daripada pesaingnya, Charlotte Poon dari Sekolah Menengah St Anthony Canossian.
“Saya memang sasarkan tempat pertama,” kata Tabitha selepas memenangi pingat emas keempat beliau secara berturut-turut.
Beliau telah menjuarai acara itu setiap tahun sejak membuat penampilan pertama di NSG pada 2022.
Tabitha meluahkan perasaan gembira apabila berjaya mengakhiri perjalanan NSG beliau dengan penuh cemerlang, sambil menambah:
“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana ini adalah tahun terakhir saya berlari mewakili Cedar.”
Bagi sesetengah pelari yang tidak memenangi pertandingan, mereka tetap berasa puas dengan pencapaian masing-masing, malah ada yang menganggapnya sebagai peluang untuk menebus kegagalan sebelum ini.
Enoch Seow, 15 tahun, dari Institusi St Joseph, menamatkan larian individu lelaki Divisyen B di tempat ketujuh dengan masa 15:57.699, satu penambahbaikan daripada kedudukan ke-37 yang dicatat pada 2024.
“Tahun lalu (2024) saya gagal dalam perlumbaan dan disebabkan itu, sekolah saya terlepas peluang (memenangi trofi pasukan).
“Jadi, tahun ini (2025) saya benar-benar gembira kerana ia seolah-olah peluang kedua bagi saya,” kata Enoch.
Sung Yejun dari Sekolah Tinggi NUS pula mengekalkan gelaran juaranya dengan masa 15:00.529.
Bagi trofi keseluruhan pasukan, VJC muncul juara bagi kategori lelaki dan perempuan Divisyen A, manakala Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) menjuarai kededua kategori lelaki Divisyen B dan C.
Sekolah Menengah Cedar Girls pula merangkul kejuaraan bagi kategori perempuan Divisyen B dan C.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg