Insiden ibu bapa terlalu bersemangat sehingga terlibat dalam perselisihan faham dan kadangkala pertengkaran telah menjadi isu yang berulang sejak penubuhan Liga Belia Singapura (SYL) pada 2024 kata jurulatih dan ibu bapa yang terlibat.
Namun, mereka menambah bahawa insiden ini sudah berlaku di peringkat bola sepak belia awal sebelum SYL dimulakan.
Tumpuan kini diberikan kepada masalah ini sekali lagi selepas seorang bapa pemain SYL ditahan selepas mencederakan seorang lagi bapa pemain pasukan lawan berikutan perlawanan SYL melibatkan pasukan belia dari dua kelab Liga Perdana Singapura(SPL), Albirex Niigata dan Geylang International.
“Perkara seperti ini menjejas pengalaman bola sepak kanak-kanak, kita sepatutnya mewujudkan suasana dan persekitaran yang positif untuk mereka,” kata Ketua Pembangunan Belia Kelab Bola Sepak Singapura (SFC) dan bekas kapten bola sepak negara, Shahril Ishak.
“Bagi saya, liga ini platform yang baik bagi belia kami. Saya bimbang jika insiden seperti ini menjejas SYL, di mana kami boleh pupuk minat dan semangat mereka untuk bermain bola sepak?”
Kebanyakan perlawanan SYL dimainkan di padang sekolah, dan sesetengah pemerhati mendapati bahawa lokasi sedemikian tidak menawarkan pengasingan yang betul antara peminat pasukan lawan.
Perkara ini menyumbang kepada masalah tersebut dan tindakan hukuman terhadap kelab dan ibu bapa mungkin diperlukan.
Ketua jurulatih Anza, organisasi yang menyediakan program bola sepak bagi pemain berusia 3 hingga 18 tahun, Mohamad Yakob Hashim, berkata bahawa kekurangan pengasingan itu menimbulkan isu keselamatan.
Beliau pernah mengalami situasi di mana ibu bapa pemain ada menjerit kata-kata yang boleh menimbulkan kemarahan kepada ibu bapa pemain lain.
“Saya pernah mengalami situasi di mana ibu bapa menyuruh anaknya untuk patahkan kaki pasukan lawan,” kata jurulatih berusia 65 tahun itu.
“Jadi kita perlu fikirkan cara untuk pastikan perkara ini tidak berlaku lagi. Kelab dan akademi mempunyai peranan dan ibu bapa juga mempunyai peranan,” tambahnya.
Beliau mencadangkan denda untuk dikenakan kepada kelab dari segi pemotongan mata di liga tersebut dan untuk menghalang atau mengadakan batasan bagi ibu bapa daripada menghadiri perlawanan SYL.
“Ini langkah sementara waktu, untuk memastikan ibu bapa faham implikasi kelakuan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, salah seorang bapa pemain SYL, Ion Danker, berkata bahawa langkah ‘keras’ itu bertentangan dengan semangat mengendalikan perlawanan bola sepak belia di peringkat akar umbi.
Menurutnya, antara lain, SYL diadakan untuk mewujudkan ekosistem bola sepak dan menerapkan nilai dan semangat kesukanan yang betul dalam diri pemain bola sepak remaja.
Beliau juga katakan bahawa untuk mengehadkan akses ibu bapa juga perkara yang agak sukar untuk dilaksanakan.
“Perlawanan ini selalunya berlaku di tempat awam, siapa sahaja boleh keluar masuk kawasan itu,” katanya.
“Jika kami melarang mereka daripada menghadiri perlawanan anak mereka, ia juga akan menjejas kemeriahan dan suasana perlawanan mereka,” tambah beliau.
Namun, beliau setuju bahawa ibu bapa memainkan peranan besar mengawal emosi mereka semasa perlawanan.
Menurutnya, kadangkala insiden di dalam padang dibesar-besarkan oleh ibu bapa di luar padang.
Misalnya beliau pernah menyaksikan seorang penyokong yang ingin bergaduh dengan penyokong lain akibat insiden di dalam padang.
“Saya rasa ibu bapa harus menjadi teladan yang baik bagi pemain,” ujarnya.
“Ibu bapa memang digalakkan untuk berikan kata-kata dorongan kepada pemain, jika ada apa jua kata kesat tidak perlu diluahkan, dan biarkan jurulatih menjalankan tugas mereka.”
Beliau juga mencadangkan agar kelab dan akademi untuk bertemu bersama ibu bapa untuk tetapkan jangkaan mereka semasa perlawanan SYL diadakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg