Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesilat muda buru kejayaan di peringkat antarabangsa

Apr 28, 2025 | 5:30 AM
Ahmad Hanin Abdul Rahim
Pelajar Politeknik Republic (RP) tahun ketiga, Ahmad Hanin Abdul Rahim, merupakan antara tujuh penerima baru Biasiswa Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Spex) kohort 2025. Beliau menceburi dunia silat pada usia muda, sejak peringkat sekolah rendah. - Foto FACEBOOK PERSISI

Pesilat negara, Ahmad Hanin Abdul Rahim, menyertai dunia persilatan pada usia 10 tahun, dengan tujuan asal untuk meningkatkan ketangkasan dan prestasi dalam ragbi melalui latihan rentas.

Namun, daripada setakat wadah untuk berlatih, beliau terus jatuh cinta pada silat.

Kini Hanin, yang baru mencecah usia 19 tahun, sudah menjejakkan kaki ke podium pemenang kejohanan antarabangsa, apabila memenangi pingat emas di Kejohanan Pencak Silat Asia Kelapan pada 2024, dan pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Dunia Kelapan pada tahun yang sama.

“Saya sukakan silat kerana ia sukan individu. Segala usaha dan kegagalan terletak pada saya sendiri. Saya tidak perlu bergantung atau menyalahkan orang lain.

“Saya lebih suka begitu – bertanggungjawab sepenuhnya atas kejayaan dan kegagalan saya,” jelas Hanin mengenai sebab beliau mengalihkan tumpuan daripada ragbi kepada silat.

Menurut Hanin, beliau pada mulanya menyertai kumpulan Perguruan Sendeng Belalang (Singapura), pasukan yang menurutnya, sangat berdaya saing.

Beliau dipilih mewakili perguruan itu dalam satu kejohanan silat tempatan, Kejohanan Pencak Silat Kebangsaan pada 2017. Meskipun baru menceburi dunia persilatan secara serius, beliau berjaya menjuarai kejohanan tersebut.

Kemenangan itu membakar semangatnya untuk terus mendalami silat.

Pada 2022, beliau menyertai Persatuan Silat Grasio (Singapura), menandakan satu lagi fasa penting dalam perjalanannya.

Namun, detik yang paling diingati tiba pada 2023, ketika beliau bertanding dalam kategori senior di Kejohanan Pencak Silat Asia Ketujuh.

Pada waktu itu, usianya baru 17 tahun, tetapi beliau perlu berdepan lawan yang lebih berpengalaman.

“Saya tak sangka saya boleh bertahan. Tapi saya mempunyai sokongan kuat. Terutama ayah saya – beliau rakan berlatih saya, pemandu saya, jurulatih peribadi saya. Semua itu membantu saya kekal fokus,” cerita Hanin.

Bertanding dalam Kelas D (60–65 kilogram), Hanin berjaya meraih kejuaraan senior pertamanya – satu pencapaian besar yang meningkatkan keyakinannya.

Keyakinan itu tidak sia-sia apabila beliau sekali lagi memenangi pingat emas di Kejohanan Pencak Silat Asia Kelapan pada 2024 yang diadakan di Bukhara, Uzbekistan.

Namun perjalanan itu bukan tanpa dugaan.

Ketika masih dalam fasa pemulihan akibat kecederaan buku lali kanan, beliau tetap turun beraksi di Kejohanan Pencak Silat Dunia Kelapan yang diadakan di Abu Dhabi pada tahun yang sama, dan berjaya membawa pulang pingat gangsa.

“Untuk kejohanan dunia, saya belum pulih sepenuhnya. Tapi saya beri segalanya dan berjaya dapat tempat ketiga. Bukan keputusan terbaik, tapi bagi saya, ini permulaan yang baik di pentas dunia,” tambah Hanin.

Di sebalik kejayaannya dalam sukan, Hanin juga merupakan pelajar Politeknik Republic (RP) dalam jurusan Sonic Arts, dan sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat audio visual (AV).

“Jadual saya memang padat. Latihan amali saya bermula 9 pagi hingga 6 petang. Kemudian, saya terus ke latihan silat dari 7.30 malam hingga 10 malam. Kadang-kadang, lepas latihan, saya kena pergi kerja semula pada 11 malam. Jadual tak tetap, sebab ikut keperluan acara.

“Sejujurnya, saya penat pada mulanya, susah nak sesuaikan diri. Tapi ibu bapa banyak bantu, dan pengurus silat saya, Kaizuran Ahmad, kata kalau saya terlalu letih, saya boleh rehat sehari dan sambung esok.

“Jadi saya bergilir antara kerja dengan latihan – itulah hidup saya sekarang,” terang Hanin menceritakan rutin hariannya sebagai atlet dan pelajar.

Kini, Hanin merupakan salah seorang daripada tujuh penerima baru Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Spex) bagi kohort 2025, satu pengiktirafan tinggi buat atlet muda berbakat.

Namun, dengan jangkaan yang semakin meningkat, Hanin tetap bertenang. Ini kerana beliau berpegang pada nasihat jurulatih silat kebangsaannya, Hidayat Hosni, iaitu, “jangan fikir tentang pingat, nikmati saja seninya”.

“Kata-kata itu sangat meninggalkan kesan pada diri saya. Saya jenis yang suka banyak berfikir, dan ini memberi tekanan ke atas diri saya sendiri.

“Tapi saya sentiasa mengingatkan diri saya bahawa saya buat semua ni sebab minat. Kalau saya anggap ini kerja semata-mata, memang saya akan berasa terbeban,” tambah Hanin.

Beliau juga bertekad untuk terus mengejar kejayaan.

“Ibu bapa saya sentiasa menyokong saya dari awal. Ayah saya berlatih dengan saya setiap hari. Mak pula sentiasa beri sokongan. Saya buat semua ni untuk mereka juga, dan untuk diri saya. Saya sudah bekerja keras sejak kecil untuk mencapai kejayaan. Kenapa nak berhenti sekarang?” kata Hanin.

Beliau telah membuktikan kemampuannya di pentas serantau, namun impiannya melangkaui batas Asia.

“Kalau silat satu hari nanti masuk Olimpik – saya akan bersedia. Tapi buat masa sekarang, saya akan terus berlatih. Terus berjuang,” ujar Hanin penuh bersemangat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg