ROME: Juara Olimpik warga Norway, Jakob Ingebrigtsen, memenangi acara 1,500 meter di Rome pada 12 Jun untuk mencatat rekod pingat emas keenam beliau dalam Kejuaraan Eropah.
Pelari berusia 23 tahun itu memecut pada jarak beberapa meter terakhir acara itu dan berjaya mengasingkan dirinya daripada pelari lain dalam perlumbaan tersebut.
Beliau mencatatkan masa 3 minit 31.95 saat – satu rekod kejohanan.
Kejayaan itu turut menjadikan beliau atlet lelaki yang mempunyai paling banyak kemenangan dalam kejohanan di Eropah.
Ia juga bermakna beliau telah melepasi pencapaian pelari Britain, Mo Farah dan Roger Black, serta pelari Jerman Barat, Harald Schmid.
Ketiga-tiga pelari tersebut juga mempunyai enam pingat Eropah, tetapi ia merangkumi lima pingat emas dan satu pingat perak.
“Saya hanya lakukan yang terbaik untuk setiap perlumbaan dan kadangkala ia mendatangkan hasil yang sangat baik,” kata Ingebrigtsen.
Pelari Belgium, Jochem Vermeulen, menduduki tempat kedua dengan masa 3 minit 33.30 saat, manakala pelari Italy, Pietro Arese, di tempat ketiga dengan masa 3 minit 33.34 saat.
“Hari ini tumpuannya adalah untuk menang. Pada masa yang sama, saya sedang mencari jawapan untuk setiap soalan yang saya tanyakan.
“Hari ini saya mendapatkan banyak jawapan yang baik,” tambah Ingebrigtsen kepada media Norway.
Ingebrigtsen dijangka mewujudkan salah satu persaingan paling menarik dalam temasya Olimpik Paris 2024 apabila berdepan pelari Britain, Josh Kerr, yang berjaya menghalangnya daripada memenangi acara Budapest pada 2023.
Ingebrigtsen bergegas ke garis penamat untuk memenangi acara Liga Berlian Oslo pada Mei, selepas tewas di tempat kedua kepada Kerr dalam acara Klasik Prefontaine beberapa hari sebelum itu.
“Jika kita mula bertenang dan memerhati keadaan ini, ia bagus untuk sukan ini,” kata Ingebrigtsen.
Menurutnya, “tumpuan” terhadap persaingan mereka boleh menjana lebih banyak perhatian untuk sukan atletik.
Kerr, bagaimanapun, berkata beliau tidak akan mempedulikan tumpuan pada persaingan itu.
“Kami adalah pesaing sengit dan kami berdua mahu menjadi yang terbaik di dunia dan perkara itu tidak akan berubah,” katanya.
“Saya berada di sini untuk cuba menjadi yang terbaik di dunia. Saya telah menunjukkan saya boleh melakukannya tahun lepas (2023) dan saya mahu meneruskan usaha itu.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg