Bintang akhirnya bersinar terang bagi pelari pecut negara, Marc Louis, di Sano, Jepun, pada 11 Ogos apabila beliau memecahkan rekod nasional bagi larian pecut 200 meter.
Kejayaan tersebut melengkapkan koleksi rekod nasional dalam acara larian pecut jarak pendek miliknya.
Memecahkan rekod 21.07 saat milik Reuben Lee adalah sasaran yang ditetapkan jurulatihnya, Benber Yu, pada awal 2025.
Lapan bulan kemudian, Louis kini menjadi lelaki terpantas Singapura dalam acara larian pecut 60 meter, 100 meter dan 200 meter, lapor The Straits Times (ST).
Dalam acara kedua Larian Pecut Sano, Louis mengatasi lima atlet Jepun dengan catatan masa 20.89 saat, dengan Sho Kitagawa (21.01 saat) dan Jun Yamashita (21.27 saat) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Masa larian Louis bukan sahaja memecahkan rekod Lee yang dicatat pada 2022, malah turut mencatat masa lebih baik daripada penanda aras kelayakan, iaitu 21.02 saat bagi Sukan SEA 2025.
“Saya sudah lama cuba mencatat rekod ini dan sangat gembira kerana berjaya melakukannya,” kata Louis, yang baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-23 pada 7 Ogos.
“Saya rasa sangat gembira kerana saya berlari dengan baik dalam perlumbaan ini, dan kerana berada pada kedudukan ini,” katanya.
Yu, yang telah membimbing Louis selama lebih sedekad, tidak dapat menahan kegembiraannya ketika ditemu bual oleh media selepas perlumbaan tersebut.
“Kami sangat teruja kerana kami sudah lama berusaha untuk mencapai sasaran ini.
“Tetapi sebelum ini, di perlumbaan di Singapura, ada kalanya cuaca kurang baik atau kurang persaingan sengit yang dapat menambah dorongan kepadanya.
“Dalam perlumbaan di Jepun, terdapat beberapa pelari pecut yang sangat hebat dan itulah yang kami perlukan.
“Saya amat berterima kasih dan kagum (dengan pencapaian ini). Kami juga perlu memberi penghargaan kepada seluruh pasukan sokongan daripada Atletik Singapura, Majlis Sukan Singapura (SportSG) dan Institut Sukan Prestasi Tinggi,” ujar Yu.
Selepas menamatkan perkhidmatan negara (NS) beliau pada Disember 2024, Louis memilih menjalani latihan sepenuh masa pada 2025 bagi mengasah potensinya, selepas menunjukkan peningkatan berterusan sepanjang dua musim sebelum ini.
Pada Mei 2023, Louis memenangi pingat perak pertama Singapura dalam larian pecut 100 meter pada Sukan SEA di Kemboja, sejak pelari, Gary Yeo, menang pingat perak pada Sukan SEA 2011.
Louis mencatat masa 10.39 saat, hanya 0.02 saat di belakang pemenang pingat emas dari Thailand, Soraoat Dapbang.
Empat bulan kemudian, beliau memecahkan rekod nasional pada acara 100 meter yang dipegang oleh U.K. Shyam, dengan larian 10.27 saat, iaitu 0.10 saat lebih pantas, pada Sukan Asia di Hangzhou.
Louis kemudian mencatat rekod nasional 60 meter di Kejohanan Dunia Tertutup di Glasgow pada Mac 2024, dengan larian 6.69 saat, 0.02 saat lebih pantas daripada rekod Yeo pada 2012.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg