Menyusuli musim hebat yang menyaksikan Tomoyuki Doi menjaringkan 44 gol dalam 31 perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) – satu rekod baru SPL – penyerang Geylang International itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik AIA buat kali kedua pada 1 Jun.
Penyerang asal Jepun itu membawa pulang lebih daripada satu trofi pada Malam Anugerah SPL 2024-25 di Hotel Orchard.
Ia termasuk anugerah But Emas bagi gol terbanyak serta satu anugerah khas kerana memecahkan rekod 38 gol dalam satu musim yang sebelum ini dicatatkan oleh bekas penyerang SAFFC, Mirko Grabovac, pada 2001.
“Apabila memulakan musim ini, saya langsung tidak jangka akan menamatkannya dengan pencapaian sebegini.
“Saya amat gembira dan berterima kasih dengan semua rakan sepasukan yang membantu saya menikmati musim dan malam yang cukup istimewa ini,” kata Doi, 27 tahun, yang telah memenangi anugerah berprestij itu, mengesahkan beliau sekali lagi akan meninggalkan SPL.
Pada 2021, Doi kembali ke Jepun setelah membawa pulang anugerah Pemain Terbaik dan But Emas bersama Hougang United.
Menurut laporan The Straits Times, Doi telah melengkapkan perpindahan ke kelab gergasi Thailand, BG Pathum United.
Walaupun Doi enggan mengesahkan destinasi barunya, beliau berkata: “Saya bersedia untuk mencuba cabaran dan pengalaman baru yang sangat saya nantikan.”
Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa kelab dari rantau ini telah mengemukakan tawaran, dan beliau mengakui berasa “tertekan” untuk membuat keputusan.
Antara yang berminat ialah DPMM FC dari Brunei, yang akan beraksi dalam Liga Super Malaysia (MSL) musim depan, manakala laporan di Malaysia turut mengaitkannya dengan naib juara MSL, Selangor FC.
“Akhirnya, saya memilih kelab yang menunjukkan keyakinan tinggi terhadap saya – cara mereka menyatakan keinginan mereka, mutu pemain yang mereka ada, dan projek yang mereka sedang bina,” jelasnya tanpa menamakan kelab tersebut.
Doi turut membantu Geylang menamatkan saingan di tempat ketiga daripada sembilan pasukan – kedudukan terbaik mereka sejak 2003.
Beliau turut terpilih dalam Kesebelasan Terbaik SPL musim ini.
Dengan pencapaian itu, Doi menjadi pemain kedua dalam sejarah yang memenangi anugerah Pemain Terbaik SPL lebih daripada sekali, menyertai bekas penyerang Singa, Aleksandar Duric, yang memenanginya pada 2007, 2008 dan 2012.
Seorang lagi pemain Jepun yang akan meninggalkan SPL selepas musim cemerlang ialah Seia Kunori.
Penyerang BG Tampines Rovers itu diumumkan sebagai Pemain Muda Terbaik buat kali kedua berturut-turut.
Difahamkan bahawa Kunori, 24 tahun, akan menyertai pasukan Bangkok United dalam Liga 1 Thailand selepas dua musim di Singapura.
Seperti Doi, beliau juga tidak mengesahkan perpindahan itu, namun menyatakan hasrat untuk terus menunjukkan peningkatan sebagai pemain.
Kunori, yang mencatat 17 gol dan 12 assist (merintis jaringan pasukan) dalam 32 perlawanan SPL, berkata: “Setiap tahun saya mahu jadi lebih baik. Di mana sahaja saya bermain, saya mahu jadi juara... itu menjadi matlamat saya.”
Sementara itu, kejayaan Lion City Sailors dalam arena domestik – menjuarai SPL dan Piala Singapura – menyaksikan jurulatih mereka, Aleksandar Rankovic, menerima anugerah Jurulatih Terbaik.
Mereka turut mencipta sejarah mara ke final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sebelum tewas 1-2 kepada Sharjah FC dari Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Jurulatih berusia 46 tahun itu, yang mengambil alih Sailors pada Jun 2023, berkata: “Menjuarai segalanya dalam negara dan mara ke final ACL2 adalah satu impian menjadi kenyataan.
“Anugerah ini satu penghormatan buat saya, tetapi hakikatnya ia milik barisan kejurulatihan dan para pemain saya – tanpa mereka, saya tidak akan mencapainya.”
Sailors turut diwakili oleh beberapa pemain dalam Kesebelasan Terbaik, termasuk Bailey Wright, Shawal Anuar, Toni Datkovic, Maxime Lestienne, Bart Ramselaar dan Lennart Thy.
Penyerang nasional, Shawal, turut membawa pulang anugerah Gol Terbaik bagi gol cantiknya semasa menentang Tampines pada September 2024.
Rankovic dan pasukannya kini akan bercuti bersama keluarga sebelum musim baru bermula pada Ogos.
Difahamkan bahawa antara perubahan yang bakal dilaksanakan musim depan ialah peningkatan kuota pemain import.
Musim lalu, setiap pasukan dibenarkan mendaftar sehingga sembilan pemain import, termasuk tiga pemain bawah 21 tahun, dengan syarat sekurang-kurangnya lima pemain tempatan perlu diturunkan dalam kesebelasan utama setiap perlawanan.
Senarai Pemenang
Pemain Terbaik: Tomoyuki Doi (Geylang International)
Pemain Muda Terbaik: Seia Kunori (BG Tampines Rovers)
Jurulatih Terbaik: Aleksandar Rankovic (Lion City Sailors)
Gol Terbaik: Shawal Anuar (Lion City Sailors) – Jaringan menentang Tampines pada September 2024
But Emas: Tomoyuki Doi (Geylang International) – 44 gol dalam 31 perlawanan
Penjaga Gawang Terbaik (Golden Glove): Syazwan Buhari (BG Tampines Rovers) – 11 perlawanan tanpa bolos dalam 31 perlawanan
Kesebelasan Terbaik (3-4-3):
Syazwan Buhari (Tampines),
Toni Datkovic, Bailey Wright (kedua-duanya Sailors), Milos Zlatkovic (Tampines)
Seia Kunori (Tampines), Vincent Bezecourt (Geylang), Maxime Lestienne, Bart Ramselaar,
Shawal Anuar, Lennart Thy (kededua Sailors), Doi (Geylang).
Anugerah Fairplay: BG Tampines Rovers


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg