SEOUL: Melarikan diri daripada perang saudara di negara asalnya, Cameroon, Fossi Wandji mendapati dirinya terkandas di terminal lapangan terbang Incheon selama setahun ketika percubaaan mendapatkan tempat berlindung dari Korea Selatan ditolak.
Tetapi, negara Asia itu kini mengharapkannya untuk meningkatkan peluang kejayaan mereka di kejohanan Piala Dunia Gelandangan – sesuatu yang boleh meningkatkan usahanya meraih hak untuk kekal di Korea Selatan.
Wandji, 27 tahun, beraksi dalam skuad bersama tujuh pemain Korea Selatan lain dalam pertandingan itu, yang menampilkan pasukan nasional terdiri daripada orang muda, orang tanpa kediaman, pelarian, dan mereka yang pernah menyalah guna bahan.
Kejohanan itu, yang baru-baru ini disokong oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), dianjurkan di Asia buat pertama kali pada 2024 sejak dilancarkan pada 2003.
Acara itu adalah bagi membantu peserta mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik melalui bola sepak dan menghasilkan dokumentari yang mewujudkan sifat positif yang dibintangi oleh Bill Nighy, serta filem Korea Selatan pada 2023 berjudul Dream.
Tetapi, pengalaman Wandji juga mengingatkan tentang filem lain, The Terminal, yang dibintangi Tom Hanks, dengan protagonis itu terpaksa tinggal di lapangan terbang kerana tidak dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat tetapi tidak dapat pulang ke negaranya sendiri kerana rampasan kuasa tentera.
“Saya meninggalkan Cameroon sebab perang,” kata Wandji kepada AFP ketika berada di tepi padang bola sepak Universiti Hanyang di Seoul.
Semasa cuba melarikan diri, seorang kenalan yang membantunya mencadangkan Korea Selatan sebagai tempat yang baik untuk mencari perlindungan.
Pada Oktober 2022, Wandji menaiki pesawat ke Seoul.
Namun Kementerian Kehakiman Korea Selatan menolak permintaan beliau setibanya di lapangan terbang, menghalangnya daripada meninggalkan terminal itu sementara beliau meminta keputusan itu ditarik balik.
Ketika menunggu keputusannya, kawasan transit Terminal 2 menjadi rumah sementaranya.
“Saya ada beberapa tempat meletakkan selimut,” katanya, sambil menggambarkan bagaimana beliau berkongsi tempat dengan kira-kira 10 orang lain, termasuk pencari tempat berlindung dari Russia, yang melarikan diri untuk mengelak kerahan tentera dalam perang berterusan dengan Ukraine.
Foto yang diterbitkan media Korea Selatan, Hankyoreh, menunjukkan Wandji membuat tempat tidur sementara dengan selimut, menggunakan kotak mi untuk memisahkan dirinya daripada pencari tempat berlindung lain yang tidur berdekatan.
Walaupun menandatangani konvensyen antarabangsa mengenai pelarian, Korea Selatan hanya menerima sebilangan kecil pencari tempat berlindung setiap tahun.
Ia menerima lebih 116,400 permohonan tempat berlindung sejak 30 tahun lalu tetapi meluluskan hanya 1,507 – iaitu kadar penerimaan 1.29 peratus, menurut data Kementerian Kehakiman.
Mahkamah Korea Selatan telah membatalkan penolakan Kementerian Kehakiman terhadap tuntutan Wandji, membenarkan beliau tinggal di lapangan terbang pada 2023 dengan permit tinggal sementara permohonan tempat berlindungnya diperiksa semula.
Pada Mei, Wandji memohon untuk menyertai pasukan Piala Dunia Gelandangan Korea Selatan dan menyertai skuad itu pada Julai.
Beliau sudah menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan pertama pasukan itu. – AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg