Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang cerah 3 kelab EPL mara ke suku akhir Liga Juara-Juara

Liverpool sertai Arsenal, Villa, orak selangkah ke suku akhir selepas kemenangan 1-0 ke atas PSG
Mar 6, 2025 | 3:03 PM
Pemain Liverpool, Harvey Elliott (jersi merah), menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Paris St-Germain (PSG).
Pemain Liverpool, Harvey Elliott (jersi merah), menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Paris St-Germain (PSG). - Foto AFP

LONDON: Tiga kelab Liga Perdana England (EPL) mencerahkan peluang mengorak langkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas Liverpool, Arsenal dan Aston Villa mencatatkan kemenangan di padang lawan dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terakhir.

Liverpool, yang kini berada di puncak EPL, merampas kemenangan pada minit-minit terakhir untuk menundukkan Paris St-Germain (PSG), 1-0 di Paris dalam perlawanan yang dikuasai kelab gergasi Perancis itu, lapor BBC Sports.

Ini adalah kali pertama The Reds menentang PSG sejak musim 2018-19, di mana kelab England itu berjaya menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara untuk kali keenam.

Pasukan pimpinan Arne Slot tentunya lebih yakin menjelang pertemuan kedua di padang sendiri dan pemenangnya akan berentap dengan pemenang perlawanan Villa atau Club Brugge di suku akhir.

Villa kendalian Unai Emery kini menjadi favorit susuli kemenangan 3-1 dalam perlawanan pertama di Belgium.

Arsenal turut mengorak langkah besar selepas membelasah kelab Belanda, PSV Eindhoven, 7-1. Pasukan bergelar The Gunners itu akan menentang pemenang pertarungan antara juara bertahan Real Madrid dengan Atletico Madrid di peringkat suku akhir nanti.

“Ia adalah keputusan yang hebat... bermain di padang lawan dalam pertandingan yang kami amat sukai, yang kami rindukan selama bertahun-tahun,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta, kepada wartawan.

“Ini adalah malam yang sangat istimewa bagi kami.”

PSG kelihatan hampir tersingkir dari pertandingan di peringkat liga sebelum satu siri kemenangan lewat membolehkan mereka menamatkan saingan di tempat ke-15.

Mereka tewas kepada Arsenal sebelum mengalahkan Manchester City untuk layak ke perlawanan kalah mati menentang pasukan Perancis, Brest, yang mereka menang dengan keputusan agregat 10-0.

Slot mengakui pasukannya agak “bernasib baik” memperolehi kemenangan di padang PSG sekalipun anak didiknya gagal menunjukkan permainan yang baik sepanjang perlawanan.

PSG mencatatkan 27 percubaan ke arah gawang Liverpool tetapi tidak dapat menewaskan penjaga gol lawan, Alisson Becker.

“Jika kami mendapat keputusan seri di sini, kami sudah pasti beruntung. Mereka telah menunjukkan permainan yang jauh lebih baik,” kata Slot.

“Kami belum ke suku akhir,” kata pengurus Villa, Emery, selepas kemenangan mereka.

“Pertarungan ini masih ada 90 minit... kami sudah bersedia sekiranya perlu bermain masa tambahan dan sepakan penalti kerana saya tahu betapa sukarnya setiap perlawanan dan bagaimana keadaan boleh berubah tanpa dijangka-jangka.

“Mereka telah menewaskan Atalanta 3-1 dan mereka telah beraksi dengan baik. Masih ada 90 minit lagi.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg