SAO PAULO (Brazil): Seorang pelumba motosikal Argentina berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius dalam satu kemalangan semasa sesi latihan di sebuah pertandingan remaja di Brazil.
Lorenzo Somaschini sedang menunggang dalam latihan bebas bagi Piala Junior Honda pada 14 Jun – salah satu perlumbaan remaja terbesar di rantau ini – apabila dia terbabas di litar Interlagos di Sao Paulo.
Somaschini dimasukkan ke hospital Sao Paulo, namun meninggal dunia pada 17 Jun, umum penganjur acara itu, Superbike Brazil, dalam satu kenyataan di media sosial mereka.
Pegawai acara berkata Somaschini menerima rawatan segera di Hospital Albert Einstein dan pada mulanya keadaannya stabil, tetapi ia kemudian bertambah buruk dan dia dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) pada 15 Jun.
Somaschini, yang dikenali sebagai Lolo, membuat penampilan sulungnya di Superbike Buenos Aires pada April.
Menurut jurulatih Lolo, Diego Pierluigi, kemalangan itu berlaku di sudut paling perlahan litar apabila dia bergerak pada kelajuan 40 kilometer sejam.
“Jatuhnya agak perlahan, tetapi kepala Lolo terhantuk pada bahagian paling bawah topi keledar, menyebabkan berlaku radang di pangkal tengkoraknya,” ujar beliau.
Bekas tiga kali juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo, yang Somaschini gemari, mengucapkan salam takziah kepada keluarga penunggang muda itu.
Lolo menunjukkan penghormatannya buat Lorenzo dengan menggunakan nombor yang sama dengan Lorenzo pada motosikalnya, 99.
“Hati saya remuk kerana saya idolanya dan dia menggunakan nombor saya,” kata Lorenzo.
“Malangnya, apa-apa boleh terjadi dalam menunggang motosikal pada bila-bila masa sahaja,” kata warga Sepanyol itu di Instagramnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg