Sejak usia 14 tahun, Muhd Jazil Juraimi, sudah berada di litar lumba, bagi mempelajari selok-belok sukan permotoran.
Ia adalah semangat yang dicetuskan oleh bapanya, Encik Juraimi Noordin, yang memperkenalkannya kepada dunia motor sejak awal.
Bapanya, yang merupakan peminat motor, bukan sekadar menjadi pembimbing, malah pendorong di sebalik kerjaya Jazil.
“Sebenarnya, bapa saya seorang ‘budak’ motor, jadi dahulu apabila ada perlumbaan di Kallang, beliau akan membawa saya, dan saya akan pelajari sedikit demi sedikit tentang sukan permotoran,” katanya.
Dari situ, beliau mula berlumba sebagai kegiatan riadah menggunakan ‘motor mini’ yang lebih dikenali sebagai pocket bike.
Tetapi titik perubahan kerjaya tercetus apabila bekas Naib Presiden Sukan Permotoran Singapura, Peter Tan, melihat bakatnya berlumba lalu menawarkannya peluang untuk bersaing dalam kategori novis atau pendatang baru.
Kategori novis merujuk kepada pelumba yang tidak pernah mewakili negera mereka dalam mana-mana pertandingan peringkat kebangsaan.
Ia merupakan detik apabila beliau rasa dihargai kerana bakatnya, bukan bagi dirinya sahaja, malah untuk bapanya juga yang telah menyokongnya selama ini.
Beliau berkongsi bahawa sebelum diberi peluang untuk bersaing dalam kategori novis, perlumbaan merupakan kegiatan yang mahal, dan tanpa pengiktirafan rasmi daripada Motor Sports Singapore, kos perlumbaan agak mahal.
Kini walaupun Jazil sudah berusia 33 tahun, beliau masih mewakili Singapura berlumba di seluruh dunia.
Namun, pertandingan peringkat antarabangsa pertamanya merupakan perlumbaan yang kurang membanggakan.
Malangnya, beliau terjatuh dari motosikal di selekoh kedua, ekoran tidak biasa dengan litar lumba yang lebih besar dan mencabar di luar negara.
“Litar lumba di negara lain semua lebih besar berbanding dengan Singapura, jadi untuk melaluinya lain sikit, dan pelumba lain semua berada dalam jarak yang rapat,” akuinya.
Tetapi beliau tidak membiarkan kegagalan tersebut menghambat semangatnya untuk berlumba.
Sebaliknya, Jazil mahu terus maju, sentiasa belajar daripada setiap pengalaman dan meningkatkan diri dengan setiap perlumbaan.
Ketabahannya membuahkan hasil apabila beliau mencatat kejayaan peribadi – mendapatkan tempat ketiga di Piala Honda Asia Dream di Litar Lumba Antarabangsa Zhubai, China pada 2012.
“Ia merupakan perlumbaan yang istimewa dan bermakna bagi saya, kerana saya merupakan warga Singapura pertama untuk mendapatkan tiga tempat teratas dalam pertandingan itu,” singkap beliau.
Pencapaian itu bukan sahaja mengukuhkan statusnya sebagai bakat yang baru muncul di litar perlumbaan antarabangsa, malah ia juga menandakan detik kebanggaan bagi seluruh masyarakat sukan permotoran Singapura.
Kini, sebagai bapa kepada tiga anak, mengimbangi perlumbaan dengan meluangkan masa bersama keluarga kekal sebagai cabaran.
“Setiap kali ada perlumbaan, terutamanya di Singapura, mereka akan turun untuk menyokong saya. Kalau di luar negara, mereka akan menonton siaran langsung,” kongsinya.
“Kadang-kadang saya terpaksa meninggalkan mereka untuk beberapa hari untuk berlumba di luar negara.”
Beliau turut dipilih untuk mewakili pasukan Alvin Choong Racing (ACR) dan Singapura di Kejohanan Perlumbaan Jalan Raya Asia (ARRC) AP250.
Terdapat enam pusingan yang dijadualkan di negara berbeza pada 2025.
Ia menimbulkan cabaran memandangkan beliau perlu mengimbangi tugasnya sebagai teknisyen lif, tuntutan dalam suka perlumbaan motosikal dan masa bersama keluarga.
Selain cabaran peribadi, beliau berpendapat bahawa isu utama yang mempengaruhi pelumba di Singapura adalah ketiadaan litar lumba yang besar dan sesuai.
“Kalau Singapura ada litar lumba, sukan permotoran Singapura akan berkekalan lagi lama dan mendapat sambutan yang lagi hangat,” katanya.
Ketiadaan prasarana perlumbaan yang sesuai di negara ini menghalang ramai pelumba muda untuk mengejar impian mereka.
Bagi mereka yang berminat untuk meneruskan kerjaya dalam sukan permotoran, beliau menasihati mereka agar meneliti keputusan dan bersedia untuk memberikan komitmen kepada sukan itu.
“Sebenarnya kos berlumba motor agak tinggi. Seseorang itu harus bersedia untuk mengeluarkan jumlah wang yang besar jika benar-benar minat,” katanya.
Nasihatnya kepada pelumba yang mempunyai hasrat untuk berlumba secara profesional adalah untuk bermula daripada skala kecil, dengan mencuba litar lumba di negara jiran, Malaysia.
Jika semangat perlumbaan itu berkekalan, beliau mengalu-alukan mereka yang mahu mendapatkan nasihat daripadanya.
“
Ia merupakan perlumbaan yang istimewa dan bermakna bagi saya, kerana saya merupakan warga Singapura pertama untuk mendapatkan tiga tempat teratas dalam pertandingan itu (Piala Honda Asia Dream di China)... Setiap kali ada perlumbaan, terutamanya di Singapura, mereka akan turun untuk menyokong saya. Kalau di luar negara, mereka akan menonton siaran langsung. Kadang-kadang saya terpaksa meninggalkan mereka untuk beberapa hari untuk berlumba di luar negara.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg