Selepas menunggu selama tiga bulan, pemandu kereta lumba Singapura, Christian Ho, akhirnya dinobatkan sebagai juara Eurocup-3 2024, selepas satu rayuan di Mahkamah Antarabangsa Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Pada 24 Februari, siri perlumbaan Formula Eurocup-3 mengumumkan pemandu Campos Racing, Ho, sebagai juara 2024 selepas pemandu MP Motorsport, Emmo Fittipaldi Jr, dikenakan penalti lima saat kerana melebihi had litar dalam perlumbaan kedua terakhir musim itu di Barcelona pada November lalu.
Ho pada mulanya menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Fittipaldi, namun kini dinaikkan menjadi pemenang perlumbaan selepas rayuan itu.
Keputusan yang dikemas kini ini memberi Ho 255 mata keseluruhan, mengatasi Javier Sagrera dari MP Motorsport yang mengumpul 250 mata, sekaligus merangkul gelaran juara, lapor The Straits Times.
Ia menandakan satu penampilan sulung impian dalam Eurocup-3 bagi pemandu berusia 18 tahun itu, yang menamatkan kempen 2024 dengan enam kemenangan perlumbaan dan tiga lagi kedudukan podium.
Beliau juga dinobatkan sebagai juara rookie pada Oktober lalu.
Eurocup-3, yang ditubuhkan pada 2023, merupakan batu loncatan bagi pemandu dari Formula 4 yang berharap untuk bersaing di F3.
Setiap hujung minggu perlumbaan biasanya terdiri daripada dua perlumbaan, kecuali pada bulan Jun, di mana pemandu bersaing dalam tiga perlumbaan di Portimao, Portugal.
Mengenang “musim yang luar biasa” ini, Ho, yang akan berlumba di F3 pada 2025, berkata:
“Beberapa bulan terakhir ini adalah perjalanan penuh emosi dan saya masih cuba memproses segala-galanya dan menikmati detik ini.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg