Pemain BG Tampines Rovers, Milos Zlatkovic, mungkin disenaraikan sebagai pemain pertahanan dalam senarai pasukan, tetapi persembahannya menunjukkan beliau menawarkan lebih daripada itu kepada Stags.
Pada 29 Oktober, pemain Serbia itu memberikan sumbangan penting di kedua-dua hujung padang, menjaringkan gol kedua dan membantu mengekalkan ‘clean sheet’ apabila BG Tampines mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Geylang International dalam Liga Perdana Singapura (SPL) di Stadium Jalan Besar.
Menurut laporan The Straits Times (ST), keputusan tersebut menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa kemenangan bagi Stags dalam liga dan membawa mereka hanya tiga mata daripada pendahulu liga, Lion City Sailors, yang mempunyai satu perlawanan tambahan.
Sejak sertai BG Tampines pada 2023, Zlatkovic bermain di bahagian pertahanan kiri dan tengah Stags, tetapi seringkali berada ke tengah padang ketika pasukannya menguasai bola.
Beliau sekali lagi melaksanakan tugas dengan baik membantu Stags mendominasi tengah padang menentang Eagles.
Gerakannya mirip taktik yang digunakan pengurus Pep Guardiola di Manchester City, dengan pertahanan tengah John Stones sering beralih ke tengah padang untuk membantu City memperoleh kelebihan dalam serangan.
Namun, mengekalkan ‘clean sheet’ menentang pasukan dengan jaringan terbanyak dalam liga adalah yang paling menggembirakan pemain berusia 27 tahun itu, memandangkan ia adalah yang pertama bagi pasukannya dalam tujuh perlawanan SPL.
Zlatkovic, yang menjaringkan gol keempat beliau musim ini, berkata:
“Perkara paling penting hari ini adalah kemenangan, yang kedua iaitu ‘clean sheet’, dan gol itu hanya bonus. Kami belum menang dalam beberapa perlawanan walaupun bermain dengan baik, jadi ia sangat mengecewakan, tetapi hari ini kami sememangnya layak menang.”
Mengenai peranannya dalam pasukan, pemain Serbia itu berkata ia bukan sesuatu yang baru baginya, kerana beliau pernah bermain di tengah padang untuk pasukan Malta, Balzan.
Beliau menambah: “Dalam pasukan ini, terdapat ramai pemain yang boleh bermain di beberapa posisi berbeza. Saya hanyalah salah seorang daripada mereka. Walaupun saya perlu bermain di beberapa posisi dalam satu perlawanan, ia tidak meletihkan kerana taktik kami bolehkan kami menguasai bola. Saya begitu teruja bermain untuk pasukan ini.”
Pemain BG Tampines, Kyoga Nakamura, 28 tahun, mendahului jaringan bagi Stags pada minit ke-35.
Pemain tengah asal Jepun itu, yang memperoleh kerakyatan Singapura pada 25 Oktober, bertukar hantaran dengan Seia Kunori sebelum menyempurnakan jaringan dalam kotak penalti.
Pada minit ke-64, Zlatkovic menyambut sepakan sudut untuk menjaringkan gol kedua Stags sebelum Nakamura menambah kedudukan dengan hantaran tepat kepada pemain gantian Taufik Suparno untuk menang 3-0.
Jurulatih pasukan Stags, Gavin Lee, memuji sumbangan Zlatkovic dan berkata:
“Untuk cara kami bermain, Milos sangat sesuai untuk kami. Dan saya amat gembira dengan bagaimana beliau memikul lebih banyak tanggungjawab tetapi pada masa yang sama terus menjalankan tugas dengan baik. Pemain seperti beliau membuat bola sepak kelihatan sangat mudah.”
Mengenai kemenangan pasukan beliau, Lee berkata beliau gembira dengan pencapaian dan menambah:
“Kami melalui tempoh yang sukar dan bersama-sama. Kami amat gembira dengan kemenangan ini... Tetapi ini hanya satu perlawanan, kami perlu fokus pada apa yang akan datang.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg