Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemain berang, desak persatuan tenis semak semula pengurangan acara beregu
Pemain berang, desak persatuan tenis semak semula pengurangan acara beregu
LONDON: Lebih 150 pemain beregu lelaki – termasuk pemain nombor satu dunia dari Britain, Henry Patten dan pasangan kembar legenda Bryan – mendesak Jelajah Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) menyemak semula perubahan ‘drastik’ yang dikhuatiri akan melenyapkan format permainan berkenaan.
Menerusi satu tindakan bersama, para pemain telah menghantar surat terbuka kepada badan induk tenis lelaki itu dalam usaha menentang cadangan yang bakal mengurangkan bilangan penyertaan dan mengurangkan hadiah wang tunai mulai 2028.
“Kami berdepan risiko kehilangan salah satu disiplin tenis yang bersejarah – namun mempunyai masa depan yang cerah,” kata pemain Belanda, Sem Verbeek, yang merupakan antara individu utama di sebalik penulisan surat tersebut.
“Cadangan ini akan memusnahkan kerjaya, sumber pendapatan dan impian.”
ATP mencadangkan pengurangan separuh bilangan pasukan beregu bagi kejohanan utama Masters 1000 kepada 16 pasukan, manakala kejohanan lebih kecil dikurangkan kepada lapan pasukan.
Peratusan hadiah wang tunai yang diperuntukkan bagi acara beregu pula boleh berkurang daripada 20 peratus kepada 10 peratus, dengan baki perbezaan tersebut diagihkan semula kepada pemain perseorangan.
Pada 26 Oktober, sekumpulan 137 pemain semasa, 28 legenda dan 20 persekutuan kebangsaan telah menandatangani surat yang diharapkan dapat memberi tekanan kepada ATP untuk menyemak semula cadangan tersebut.
Lembaga pengarah jelajah itu – yang dianggotai pengerusi, Andrea Gaudenzi, empat wakil kejohanan dan empat wakil pemain – akan mengundi bagi cadangan berkenaan pada Final ATP di Turin, Itali, pada November.
Langkah pembaharuan kepada acara beregu ini adalah sebahagian daripada semakan lebih menyeluruh oleh ATP, yang dikatakan bertujuan untuk “memperkukuh” jelajah berkenaan mulai 2028.
ATP menyasarkan untuk mewujudkan “model jangka panjang lebih mampan”, sambil menegaskan bahawa pihaknya ingin “mengekalkan peranan penting” acara beregu.
“Kejayaan komersial memang penting. Namun keadilan, kebajikan pemain dan kelangsungan jangka panjang sukan tenis juga tidak kurang pentingnya,” menurut surat daripada pemain berkenaan.
“Marilah kita memajukan sukan tenis bersama-sama, tanpa meminggirkan pemain beregu.”
Cadangan tersebut telah mencetuskan kemarahan kumpulan pemain beregu lelaki apabila ia didedahkan pada Julai.
Pasangan beregu Britain, Lloyd Glasspool dan Julian Cash, yang menjuarai Wimbledon pada 2025 serta bergelar pasangan nombor satu dunia, mendakwa ATP cuba “melenyapkan sebahagian daripada sukan itu”.
Sementara itu, pihak lain dalam arena tenis berpandangan pembaharuan sememangnya diperlukan.
Mereka berpendapat peruntukan 20 peratus daripada hadiah wang tunai untuk acara beregu adalah tidak seimbang dengan tahap minat yang ditunjukkan para penyokong.
Pemain beregu pula membidas kenyataan tersebut dengan berkata ATP sepatutnya berusaha lebih gigih mempromosikan disiplin mereka supaya dapat menarik lebih ramai penonton, sambil menegaskan ia merupakan format yang dimainkan oleh kebanyakan ahli kelab dan justeru lebih dekat di hati penyokong.
ATP menegaskan cadangan berkenaan dikeluarkan berpandukan analisis data yang memberi tumpuan kepada aspek kos, hasil pendapatan dan jumlah tontonan.
Dengan penyusutan bilangan pemain perseorangan yang beraksi dalam acara beregu ketika ini, badan induk itu percaya saiz semasa kejohanan beregu berasingan memberi bebanan kewangan serta logistik yang berat kepada pihak penganjur.
“Kami menyokong kemajuan. Kami juga memahami keperluan untuk mengembangkan sukan ini, memperkukuh kejohanan dan meningkatkan nilai komersial,” menurut surat pemain berkenaan.
“Namun, cadangan pembaharuan ini dilihat sudah melampaui batas.”
Mike dan Bob Bryan – pasangan kembar seiras yang dianggap sebagai pasangan beregu terhebat sepanjang zaman – menyatakan sokongan mereka terhadap kumpulan berkenaan yang kini mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi mempertahankan disiplin mereka.
Pada 2005, pasangan adik-beradik dari Amerika Syarikat itu pernah mengetuai barisan pemain untuk memfailkan saman terhadap ATP, ketika badan induk berkenaan merancang perubahan radikal terhadap acara beregu.
“Jelajah ini kini berada dalam kedudukan kewangan paling kukuh dalam sejarah – pada pandangan kami, ia sepatutnya membuka lebih banyak peluang,” kata Bob Bryan kepada BBC Sport dalam satu wawancara di Wimbledon pada Julai.
“Cadangan perubahan ini bersifat antipersaingan. Itulah pendirian yang terpaksa kami ambil pada 2005. Kami masih yakin dengan (nilai) acara beregu dan kami percaya kepada pemain yang sedang memperjuangkannya,” tambah Mike Bryan. – Agensi berita.