Topik diikuti
Pergi ke BHkuArnaldi bangkit mara ke suku akhir Terbuka Perancis, Osaka ambil iktibar dari kekalahan
Arnaldi bangkit mara ke suku akhir Terbuka Perancis, Osaka ambil iktibar dari kekalahan
Arnaldi bangkit mara ke suku akhir Terbuka Perancis, Osaka ambil iktibar dari kekalahan
PARIS: Matteo Arnaldi bangkit daripada ambang penyingkiran untuk menjadi pemain lelaki Italy ketiga yang mara ke suku akhir Terbuka Perancis pada 1 Jun, selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Frances Tiafoe, 7-6(5), 6-7(5), 3-6, 7-6(3), 6-4 dalam satu perlawanan mendebarkan.
Dengan sorakan penonton bergema di bawah limpahan cahaya lampu di Paris, pemain nombor 104 dunia itu bangkit daripada ketinggalan 1-4 dalam set keempat untuk meraih kemenangan pada mata perlawanan ketiganya selepas bertarung selama lima jam 26 minit dalam aksi sengit yang menguji ketahanan fizikal.
“Bagai mimpi dapat melangkah sejauh ini. Dalam set ketiga hari ini saya benar-benar keletihan,” kata Arnaldi, yang turut mengambil masa lebih lima jam untuk memenangi perlawanan pusingan ketiganya dan kini dianggap pemain paling lasak kejohanan tahun ini.
“Kami hidup untuk bermain dalam perlawanan seperti ini, dan saya sentiasa mahu beraksi dalam suasana malam seperti ini di Roland Garros.
“Ia bukan sekadar tenis, tetapi sesuatu yang luar biasa. Kami memberikan segala-galanya. Seseorang perlu menang. Mujurlah saya yang menang malam ini.”
Arnaldi kini telah menghabiskan 17 jam 42 minit di gelanggang di Paris, tempoh paling lama dicatatkan oleh mana-mana pemain yang mara ke suku akhir Grand Slam sejak Jelajah ATP mula merekodkan tempoh perlawanan pada 1991.
Pemain Italy itu mempamerkan pertahanan luar biasa untuk mengekang kekuatan Tiafoe, pilihan ke-19 kejohanan, sebelum pemain Amerika itu akhirnya kecundang apabila pukulannya tersangkut di jaring.
Arnaldi seterusnya akan berdepan rakan senegaranya, Matteo Berrettini, bagi merebut tempat ke separuh akhir, dengan kedua-duanya menyertai Flavio Cobolli dalam kelompok lapan terbaik selepas seorang lagi pemain Italy, Jannik Sinner, tersingkir secara mengejut pada pusingan kedua.
Sementara itu, beberapa tahun lalu, kekalahan di Grand Slam mungkin menyebabkan Naomi Osaka dibelenggu keraguan diri dan mengasingkan diri.
Namun kini, selepas melalui cabaran kesihatan mental, berehat panjang daripada tenis dan bergelar ibu, bekas pemain nombor satu dunia dari Jepun itu meninggalkan Roland Garros dengan pandangan yang lebih matang, bukannya dihimpit kekecewaan.
Dalam Terbuka Perancis, kempen Osaka berakhir pada pusingan keempat selepas tewas 7-5, 6-3 kepada pilihan utama Aryna Sabalenka pada 1 Jun, namun pemain berusia 28 tahun itu meninggalkan Paris dengan perasaan lebih matang dan berdamai dengan turun naik emosi yang pernah menguasai kerjayanya.
“Sebelum ini saya akan berasa sangat kecewa dengan diri sendiri selepas perlawanan seperti ini,” kata Osaka kepada wartawan.
“Jika saya kalah dalam perlawanan seperti ini ketika lebih muda, saya mungkin akan mengurung diri di dalam bilik. Tetapi kini saya sedar saya benar-benar mencintai tenis dan sedang melakukan yang terbaik untuk menjadi pemain terbaik yang mampu saya capai.”
Juara Grand Slam empat kali itu, yang pernah mendedahkan perjuangannya menghadapi kemurungan dan kebimbangan serta kembali beraksi pada 2024 selepas kelahiran anak perempuannya, berkata keutamaannya kini bukan lagi semata-mata keputusan dan ranking.
“Ia seperti ada waktu untuk tenis dan waktu untuk kehidupan peribadi,” katanya.
“Saya tidak sabar untuk pulang dan bertemu anak perempuan saya. Sejujurnya, itulah antara saat paling membahagiakan dalam hidup saya.”
“Saya perlu mengambil iktibar daripadanya. Saya bermain tiga perlawanan yang sangat baik,” ujarnya.
Osaka turut menyambut baik keputusan menjadualkan perlawanannya menentang Sabalenka pada sesi malam, kali pertama dalam tempoh tiga tahun perlawanan wanita diberikan slot waktu perdana kejohanan itu.
Katanya, beliau berharap penganjur akan terus memberikan ruang kepada perlawanan wanita dalam slot utama kejohanan. – Agensi berita.
